--

Artikel yang disiarkan dalam ruangan Lekat di Hati Utusan Malaysia dari 2012 hingga 2016 memberi fokus kepada isu-isu kemasyarakatan, bahasa, komunikasi, hubungan etnik dan integrasi nasional.

Penulis bukanlah asing kepada penonton siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana wajahnya sering muncul di kaca televisyen sebagai penyampai berita slot Berita Dunia (kini BES Dunia).

Beliau juga pernah mengacarakan program Bicarawara [email protected], Sarapan 1Malaysia dan Selamat Pagi Malaysia.

Antara artikel tulisan beliau yang menarik untuk dibaca adalah mengenai keakraban hubungan penduduk berbilang kaum di negara ini.

Kisah-kisah mengenai hubungan positif antara kaum jarang dijadikan berita utama dalam media massa kerana masyarakat lebih tertarik untuk membaca isu-isu sensasi dan negatif.

Sepatutnya cerita-cerita po­sitif sedemikian yang ditonjolkan selaras dengan ungkapan dalam bahasa Inggeris yang sering digunakan oleh penceramah motivasi di Barat iaitu, “Your thoughts and emotions can create your reality.”

Sekiranya kita mahu kebaikan sahaja yang berlaku dalam hidup, pemikiran dan emosi kita perlu ditumpukan kepada perkara-perkara positif selama 24 jam sehari.

Antara kisah positif yang ditulis adalah mengenai Ah Koo iaitu pak cik beliau yang menetap di Gunung Keriang, Kedah.

Ah Koo sangat sayang kanak-kanak kaum Melayu yang menetap berhampiran rumahnya dan menganggap mereka seperti anak kandung sendiri.

Menjelang Tahun Baharu Cina, dia akan mengupah orang Melayu untuk membuat kuih-muih kegemaran masyarakat Melayu termasuk ketupat dan rendang yang dihidangkan bersama-sama air kelapa.

Tabiat yang agak asing itu menyebabkan penulis tertanya-tanya dan pada satu hari berkesempatan menyoal Ah Koo kenapa makanan Melayu yang dihidangkan dan bukan masakan kaum Cina.

Ah Koo menjawab: “Semua rumah orang Cina bagi makanan sama, aku nak jamu makanan Melayu, senang semua orang Melayu datang nanti tanpa rasa was-was kerana makanan dimasak oleh orang Melayu sendiri.”

Bagi penulis keikhlasan yang ditunjukkan oleh pak cik beliau yang melangkaui batas bangsa dan agama seharusnya dicontohi semua pihak.

Dalam pada itu, beliau sendiri pernah mengalami pengalaman positif yang sukar dilupakan sampai bila-bila apabila dilayan dengan begitu mesra oleh masyarakat Melayu walaupun berlainan agama.

Pengalaman itu dialami ketika bertugas sebagai guru selama dua tahun di Tandop Besar, Kuala Nerang, Kedah.

Beliau menulis: “Mereka menjaga saya bagai menatang minyak yang penuh. Jika ada kenduri di kampung, saya akan disediakan makanan tambahan.

“Tuan rumah akan bertanya, cikgu makan daging lembu tak, mak cik dah sediakan lauk ayam ini khas untuk cikgu.”

Menurut penulis, beliau cukup terharu kerana wanita berkenaan cuba menyelami isi hatinya dan berusaha melayan sebaik mungkin walaupun kedua-kedua mereka tidak kenal rapat.

“Di Tandop Besar saya menemui ramai manusia yang ikhlas dan berhati mulia.

“Kenangan berbuka puasa bersama orang Melayu di kampung memang dikenang sehingga kini.

“Kedatangan Ramadan mengingatkan saya kepada penduduk Tandop Besar.

Sayalah orang paling sibuk sebagai tukang rasa lauk-pauk yang dimasak untuk berbuka puasa nanti,” tulisnya.

Pengalaman sama turut dialami rakan penulis bernama Geetha, seorang guru berketurunan India yang bertugas di sebuah kampung di tanah air.

“Dia memaklumkan kepada saya bahawa dirinya dilayan sangat baik di kampung tempatnya mengajar.

“Mereka memahami budaya orang India dan ada penduduk kampung yang sanggup membeli kuali baharu, khas bagi memasak untuk Cikgu Geetha iaitu seorang vegetarian.

“Dia sangat terharu kerana masyarakat setempat begitu menghormati kepercayaan dan adat resam kaum India. Cikgu Geetha menganggap masyarakat di kampung itu sebagai keluarganya sendiri,” tulis beliau.

Menurut penulis, kisah-kisah yang dipaparkan itu membuktikan semangat 1Malaysia bukanlah asing dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Tumpuan sekarang adalah untuk membajai semangat itu supaya berkembang subur.

Penulis yakin langkah itu boleh dibuat sekiranya kerajaan, pihak swasta dan orang ramai sama-sama mengorak langkah untuk menganjurkan pelbagai program bagi memupuk perpaduan dan bukan sekadar melaungkan slogan kosong.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dianjurkan termasuk program keluarga angkat yang melibatkan golongan muda berbilang kaum.

Ketika program itu, anak angkat boleh didedahkan dengan perayaan dan budaya kaum lain.

“Saya percaya sepenuhnya kepada inti pati mutiara kata, tak kenal maka tak cinta. Apabila kita mencuba untuk mengenali sesuatu secara mendalam kita akan jatuh cinta,” tulis beliau.

Persoalannya, adakah saranan penulis telah dilaksanakan? Untuk mendapat jawapan, tanyalah diri masing-masing adakah kita sudah mempunyai keluarga atau anak angkat kaum lain.

Selamat membaca.