Sebagaimana tradisinya, persidangan yang turut menjadi pentas muhasabah terpenting untuk menilai prestasi sekali gus merencana pendekatan terbaik bagi menangani pelbagai isu yang melingkari bukan sahaja parti bahkan yang lebih penting segala kemelut umat yang melanda di persada negara kini.

Hakikatnya semangat untuk sentiasa merenung sejenak ke belakang sambil memperhalusi dan memperbaiki keterlanjuran silam amat menepati prinsip muhasabah Islam yang sentiasa menyeru umat agar mengambil iktibar daripada kisah-kisah silam agar perencanaan lebih teratur dan kesilapan tidak diulangi.

Walaupun UMNO sentiasa dihimpit dan digasak dengan pelbagai manipulasi persepsi dan mainan sentimen pembangkang, parti ini tetap didambakan rakyat untuk terus fokus dan istiqomah di atas landasan agar pelbagai agenda ummah lebih besar tidak di kesamping dan diabaikan.

Memanglah tidak mudah untuk mengemudi parti dalam persekitaran mencabar zaman teknologi tular maklumat yang serba canggih masa kini. Apa yang pernah disebut oleh Guru Megatrend sekitar 1990-an John Naisbitt dalam bukunya High Tech High Touch ternyata menjelma kini.

Beliau pernah mengandaikan satu zaman yang dinamakan ‘zaman pencemaran teknologi maklumat’ sehinggakan manusia pada waktu itu sukar membezakan yang mana benar dan yang mana palsu.

Sememangnya andaian beliau kini benar-benar menjelma di hadapan kita sehinggakan maklumat begitu mudah tular dengan pantas hanya dengan gerakan jari-jemari sehinggakan kita sukar membezakan antara fakta dan auta.

Ramai yang khuatir bahkan ada juga yang bersifat skeptikal terhadap keupayaan UMNO untuk terus bertahan menjelang PRU akan datang. Ini disebabkan persepsi yang hebat dimainkan bahkan dicorakkan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menghancurkan kredibiliti UMNO berdasarkan pelbagai berita-berita palsu dan penuh fitnah.

Namun harus juga diingat, ini bukanlah kali pertama UMNO sebagai sebuah parti ulung mewakili Bumiputera Melayu Islam dipalit dengan kontroversi dan dihodohkan imej kepemimpinannya.

Sejak sebelum merdeka lagi, pelbagai ranjau dan dugaan terpaksa ditempuh oleh para pemimpin dan ahli UMNO dalam usaha membangunkan negara dan memartabatkan ummah. Bahkan tidak kurang juga pelbagai pergolakan dalam parti UMNO itu sendiri terpaksa ditangani dengan penuh hikmah sejak UMNO ditubuhkan pada 1946.

Alhamdulillah UMNO tetap teguh hingga berjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam pilihan raya yang bermula dari PRU pertama pada tahun 1955 hinggalah PRU-13 lalu dengan segala dasar dan polisi yang konsisten bagi menzahirkan suara hati rakyat.

Walau bagaimanapun dalam dunia teknologi maklumat yang serba canggih dengan pengisian-pengisian yang mudah disalah-gunakan untuk menjahanamkan kredibiliti pemimpin-pemimpin utama parti, setiap pendokong mestilah mengambil iktibar dengan kembali semula ke atas landasan perjuangan yang benar.

Pertembungan

Adalah dikhuatiri dalam kesibukan mengurus persepsi dan menangani isu-isu dalaman organisasi yang tampak bagaikan tiada berkesudahan, pemimpin-pemimpin parti terlepas pandang hingga orang lain yang mengambil kesempatan mencorak dan menentukan hala tuju negara.

Lebih membimbangkan jika kelompok minoriti berkepentingan mengambil tanggungjawab UMNO di atas kelemahan parti dengan mengetengahkan idea-idea songsang yang boleh menghancurkan struktur asas yang menerasi kekuatan agama, bangsa dan negara selama ini.

Lihatlah sahaja pelbagai contoh kelompok-kelompok elitis minoriti yang berfikiran liberal dengan pelbagai wajah cuba melobi dan mempengaruhi penggubal dasar agar Malaysia kembali ke era lampau yang hakikatnya terpesong daripada roh dan prinsip Islam yang hakiki.

Malah makin ramai dalam kalangan mereka berkulit sawo matang ini yang mula terpengaruh bahkan sanggup bersekongkol dengan puak-puak cauvinis DAP yang daripada awal penubuhannya tidak pernah berganjak daripada matlamat untuk meruntuhkan segala struktur asas negara yang terbina melalui Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan istimewa Islam, Raja-Raja Melayu dan kepentingan Bumiputera.

Mereka lupa hakikat betapa kestabilan dan keamanan yang dikecapi negara sepanjang 60 tahun merdeka adalah berteraskan prinsip penghormatan kepada tiang-tiang seri yang terpateri di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun semenjak landskap politik tanah air berubah dengan sedikit kuasa dinikmati oleh puak cauvinis ini, tampak kegelojohan mereka semakin terzahir hingga berani mempersoalkan perkara-perkara asas yang disepakati oleh semua warga sejak merdeka.

Justeru sudah tiba masanya, seluruh kepimpinan dan warga parti bersatu tekad dan bergerak sederap untuk berhadapan dengan puak-puak ini dalam pertembungan persepsi dan emosi yang menentukan jatuh bangun agama dan masa depan negara.

Selaku parti tunjang Bumiputera Melayu Islam yang mengemudi Barisan Nasional semenjak merdeka, kita harus meyakini bahawa tiada parti lain yang dapat menandingi pencapaian dan sumbangan ikhlas UMNO dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Malah kebijaksanaan UMNO yang menakhodai 13 parti komponen pelbagai kaum dan agama di bawah lembayung BN jugalah yang telah berjaya mempertahankan prinsip kebersamaan dan kesalingan atau dalam Islam dipanggil ‘taayush’ sehinggakan semua agama dan kaum dapat hidup dengan aman dan sejahtera sepanjang 60 tahun merdeka.

Tidak dinafikan kelemahan dan kesilapan di sana-sini itu adalah lumrah kerana UMNO bukanlah parti yang dikemudi oleh malaikat yang tiada cacat-celanya. Selagi namanya manusia, kita sentiasa terdedah kepada pelbagai kepincangan yang menggambarkan tabii ketidaksempurnaan hamba-hamba-Nya yang serba kekurangan.

Namun, UMNO bukan bergerak atas sentimen individu, jauh sekali pemujaan kepada personaliti sebagaimana yang berlaku dalam parti-parti lain. Sebaliknya UMNO adalah sebuah jemaah yang bergerak atas semangat permuafakatan kental bersifat kolektif yang saling tampung-menampung bagi memastikan agenda rakyat dan negara terus diperkasakan.

Apa yang paling mustahak untuk UMNO terus istiqomah dalam memainkan peranannya memperkasa agenda ummah dan menyantuni suara hati dan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat agar tidak berterusan berpolemik isu-isu picisan yang hanya merugikan agama, bangsa dan negara.

Sebab itulah Perhimpunan Agung UMNO kali ini amat mustahak untuk setiap warga dicanai dengan satu semangat dan jiwa winning mentality atau mentaliti menang dalam menghadapi PRU-14 yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi.

Mentaliti menang ini amat mustahak agar seluruh pendokong dan pejuang UMNO tidak mengecewakan 32 juta rakyat Malaysia yang majoritinya inginkan negara terus ditadbir secara bijaksana bagi menjamin kelangsungan kesejahteraan, keharmonian dan keamanan negara yang unik dan dinamik ini.

 

Penulis ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.