Namun, aspirasi pembentukan Malaysia telah dicanai sebelum 1963 lagi melalui Penubuhan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Janua­ri 1962. Melalui suruhanjaya ini, satu referendum membabitkan rakyat Sabah dan Sarawak di­jalankan untuk melihat persetujuan mereka menyertai Per­sekutuan Malaysia ketika itu. Hasilnya, melahirkan sebuah negara yang dinamakan sebagai Malaysia melalui konsep federalisme – hasil gabungan 11 buah negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Prinsip federalisme pernah di­kemukakan oleh P.J. Proudhon sekitar 1863 menerusi bukunya yang bertajuk Du Principe federa­tif et de la necessite de reconstituer le parti de la revolution. Dalam buku itu, beliau mengemukakan beberapa prinsip penting bagi sesebuah kerajaan yang bersifat federalisme.

Harding & Chin (2014), dalam 50 Years of Malaysia Federalism Revisited menyatakan model fe­deralisme yang pertama sekali diguna pakai dalam sejarah politik dunia adalah diamalkan di Negeri Sembilan sekitar 1774 di mana pada waktu itu di negara-negara Barat konsep berkenaan masih belum diamalkan. Perkara ini turut dikongsi Wu Min Aun pada 1999 dalam Public Law in Contemporary Malaysia.

Sementara itu, sekitar 1895, melalui pemerintahan British, Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan digabungkan pemerintahannya di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Tanah Me­­layu pada 1948 dan seterusnya Persekutuan Malaysia pada 1963. Sejarah pembentukan Malaysia tidaklah semudah sebagaimana Malaysia yang kita lihat pada hari ini. Ia melalui fasa-fasa genting.

Antaranya, tindakan konfrontasi daripada tentera Republik Indonesia pimpinan Presiden Su­karno melalui kempen ‘Ganyang Malaysia’, sikap tidak se­nang Kerajaan Filipina terhadap pemgambilalihan Sabah yang didakwa adalah sebahagian daripada wilayah negara itu, tuntutan Brunei yang mahu melangkaui giliran menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai syarat kemasukan ke dalam Persekutuan Malaysia, di samping ancaman anasir komunis yang sememangnya sedang berleluasa pada ketika itu.

Sifat kegigihan, kesabaran ser­ta toleransi pimpinan negara pada masa itu di samping sokongan padu rakyat membolehkan agenda pembentukan Malaysia dapat direalisasikan biarpun dihalang pelbagai cabaran dalam dan luar negara.

Namun, persoalan yang wujud adalah mengapa hampir kebanyakan daripada rakyat tidak ambil kisah akan peri pentingnya tarikh 16 September itu?

Perkara ini berlaku berkemu­ngkinan daripada kurangnya pe­nghayatan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat khusus­nya golongan muda masa kini.

Dalam konteks hubungan ma­­syarakat antara kedua-dua wi­layah yang terpisah ini, masih ke­dengaran konotasi dan perka­taan ‘Orang Malaya’, ‘Orang Sabah’ dan ‘Orang Sarawak’, seda­ngkan istilah yang lebih sesuai untuk menggambarkan kesemua­nya adalah ‘Orang Malaysia’.

Dalam konteks politik, sifat sa­ling bergantungan antara Pusat dan negeri-negeri amatlah ti­nggi lebih-lebih lagi bagi Sabah dan Sarawak. Sebagai contoh da­­lam konteks pertahanan dan ke­selamatan, negeri-negeri amat me­merlukan sokongan Pusat. Penu­buhan Zon Eastern Sabah Security Command (Esscom) susulan da­ripada kes pencerobohan Lahad Datu pada 9 Februari 2013 adalah satu contoh utama.

Dalam pada itu, negeri-negeri khususnya yang di bawah pimpinan pembangkang disaran agar tidak mendahulukan kepentingan dan ideologi politik lebih utama berbanding kepentingan rakyat. Banyak agenda membantu rakyat terutama yang disalurkan daripada Pusat terbantut dek halangan kerajaan negeri lantaran perbezaan ideologi politik antara ne­geri de­ngan Pusat. Sikap konfronta­si yang ditunjukkan sebilangan ­ne­­geri ini kelak akhirnya merugikan rakyat keseluruhannya.

Sementara itu, pergantungan Pu­sat kepada negeri dijelmakan dalam bentuk penggumpulan (akumulatif) majoriti kerusi Dewan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Dalam konteks ini, fix deposit dibantu dari kerusi Sabah dan Sarawak dengan kelebihan 54 kerusi di PRU-2008 dan 47 kerusi di PRU-2013.

Pembentukan kuasa majoriti ini jangan dilihat dari segi keuntungan politik jangka singkat tetapi harus dihayati sebagai hubungan jangka panjang Pusat dan negeri serta kepentingan bersama win-win situation, yang wujud melaluinya.

Dewasa ini, pembentukan Malaysia sekali lagi diuji dengan satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai ‘Kumpulan Sabah-Sarawak Keluar Malaysia’ (SSKM) yang mencabar konsep federalisme. Situasi sebegini boleh mengundang ketidakstabilan politik dan ekonomi, sekali gus mengancam keselamatan dalam negara jika gagal dari segi pengurusan polemik ini.

Dalam memantapkan sistem federalisme dan hubungan antara negeri dan Pusat ini, disarankan beberapa langkah sepertimana yang berikut:

l Memupuk kefahaman rakyat mengenai pentingnya konsep dan fungsi federalisme dengan disulami penghayatan patriotisme yang dibentuk di peringkat ­paling bawah iaitu individu dan keluarga.

l Mendidik rakyat mengenai Se­­narai Persekutuan, Senarai Ne­geri dan Senarai Bersama ter­ma­suk Perjanjian Perkara 18 dan 20 Sabah dan Sarawak.

l Menyelesaikan isu jurang pem­­bangunan, pendidikan dan ta­raf hidup rakyat antara setiap ne­geri di samping meningkatkan tahap ke­selamatan di setiap negeri.

l Melahirkan tadbir urus lo­kal yang lebih efisien khususnya ter­­hadap bajet negeri yang te­lah diperuntukkan oleh Pusat.

l Menyediakan peluang yang sama rata antara setiap negeri dan menggalakkan bidang kelebihan dan penerokaan sektor baharu.

Federalisme dalam konteks Per­sekutuan Malaysia dapat dipertahan bahkan diperteguhkan me­lalui konsep federalisme itu yang disulami dengan penghayatan patrio­tisme yang mendalam.

Hanya melalui kefahaman serta penghayatan sejarah dapat membentuk rasa self of belonging yang akhirnya menelurkan rasa patrio­tisme kepada negara yang kita cintai ini.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah pe­nganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).