Malaysia dengan jelasnya telah mengambil keputusan bahawa hanya Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dibenarkan menjadi pegangan umat Islam. Maka sebab itulah kemasukan para pemikir Islam yang beraliran liberal, ateis dan agnostik segera mendapat perhatian pihak berkuasa agama.

Bagaimanapun, Malaysia boleh menghalang dan menyekat kemasukan pemikir Islam liberal ke dalam negara tetapi pada masa sama, pemikir Islam kelahiran Malaysia turut mengembangkan aliran pemikiran baharu untuk mencabar umat Islam termasuklah fahaman Syiah, liberal, ateis, agnostik dan faham kebebasan (berdasarkan prinsip hak asasi manusia).

Golongan ini semakin meningkat dan giat melaksanakan wacana ilmiah mereka manakala kumpulan ateis (tidak mempercayai kewujudan Tuhan) dan agnostik (mempercayai wujud Tuhan tetapi tidak beriman) dalam pelbagai bentuk dari perjumpaan tahunan hinggalah majlis makan malam dengan atur cara yang bertentangan dengan Islam.

Perkembangan tersebut bukan sahaja merisaukan banyak pihak dan atas kesedaran itu juga kerajaan negeri Terengganu mengambil satu usaha dan inisiatif untuk menganjurkan Kolokium Ahli Sunnah Wal Jamaah esok (22 Oktober 2017) dengan kerjasama Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW).

Kolokium yang bakal berlangsung di Taman Tamadun Islam itu akan disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Majlis sehari itu turut membincangkan empat kertas kerja utama yang merangkumi tiga negara terbesar penganut Islam di Asia Tenggara (Nusantara), iaitu Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Norarfan Zainal akan membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Brunei Darussalam Dalam Mempertahankan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Profesor Dr. Sudirman M. Johan dari Universiti Sultan Syarif Kassim (Pekan Baru, Indonesia) akan melihat perkembangan sejarah Islam Asia Tenggara berasaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malaysia akan diwakili Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Wan Zahidi Wan Teh dengan kertas kerja bertajuk Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia: Sumbangan dan Cabaran Masa Kini serta seorang lagi panel yang tidak asing di negara ini, Profesor Datuk Dr. Zakaria Setapa yang menyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim Intitut Abdullah Fahim UKM akan menbentangkan tajuk Penghayatan dan pengukuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ghazali Taib, kolokium tersebut dijangka dihadiri seramai 2,500 peserta yang terdiri daripada guru-guru agama, aktivis sosial, pemimpin masyarakat dan penjawat awam negeri selain beberapa orang pengamat Islam nusantara.

Beliau yang juga pengerusi kolokium berkata, kerajaan Terengganu bersedia menganjurkan kolokium tersebut sebagai usaha untuk memugarkan rakyat Terengganu khususnya supaya terus mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana itulah sebenarnya yang menjadi kekuatan umat Islam. Dan bukannya aliran-aliran pemikiran yang bersifat sekular dan sektarian.

Dr. Johan Effendi, dalam satu tulisannya pernah menukilkan keluhan seorang rakannya mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam: “Tuhan kita tetap satu, Nabi kita Muhammad SAW juga satu, Kitab Suci kita pun satu, tetapi kita tidak pernah satu dalam segala hal. Kita terpecah-pecah dalam pelbagai fikrah politik dan mazhab fikih dengan tingkat fanatisme yang tidak masuk akal.

Akibatnya, kita mudah dikalahkan oleh golongan lain yang lebih kecil tetapi terurus lebih baik. Jadilah kita umat dengan pengakuan masa lalu yang jaya, tetapi menemukan diri dalam sudut masa kini yang miskin.” (Menemukan Makna Hidup, 2001: 101-102)

Perpecahan orang Melayu atas makna kepelbagaian pendapat turut melebarkan jurang sosial, politik, ekonomi dan hubungan sesama Islam. Orang Melayu, dalam keadaan apa sekalipun di Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan Islam, tetapi oleh kerana terus berperang dengan perbezaan pendapat dan cita-cita politik, ada yang sanggup melabelkan kelompok yang berbeza itu sebagai musuh dan lebih dahsyat lagi halal dibunuh.

Kemelut perbezaan dan pertentangan pemikiran dalam kalangan umat Islam jika dibiarkan berterusan akan merugikan umat Islam itu sendiri. Jika selama ini kita mungkin menyalahkan sejarah atas timbulnya permasalahan ini, maka pada hari ini berilah peluang kepada sejarah untuk menyatakan kebenarannya bahawa tiada untungnya melanjutkan persengketaan aliran pemikiran.

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Setiausaha Analisa Dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).