Sementara tumpuan akan diberikan kepada ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun apa yang ­lebih penting harapan untuk melihat dua parti terbesar orang Melayu itu bekerjasama dan bersatu bukan lagi satu mimpi sebaliknya sudah menjadi kenyataan.

Biarpun dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Selangor iaitu di kerusi Dewan Undangan ­Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia menyaksikan kedua-dua parti tewas, namun ini bukanlah bermakna harapan untuk memperkukuhkan kerjasama sudah berakhir.

Usahlah terpengaruh dengan hujah-hujah songsang dalam kalangan sesetengah pemimpin Melayu termasuk segelintir daripada UMNO yang menganggap kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak akan ke mana.

Berhujah kononnya keputusan di PRK itu membuktikan pengundi tidak mahu parti pembangkang yang secara terbuka memfokuskan kepada Melayu dan Islam menunjukkan pemimpin yang berkata demikian masih lagi bermimpi di siang hari iaitu mengharapkan sokongan kaum lain bagi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN), UMNO mahupun Pas.

Sudah terbukti buatlah apa pun pengundi-pengundi kaum lain tidak mungkin akan beralih arah kepada BN atau parti pembangkang kerana begitu yakin dengan DAP menjadi ‘taiko besar’ dalam Pakatan Harapan yang kini memerintah negara segala impian mereka akan tercapai.

Oleh itu, tidak payahlah ada dalam kalangan pemimpin UMNO berasa sangsi dengan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Pas. Kalau mereka sudah berasa tidak selesa, silakan sahaja keluar daripada parti dan bukannya terus mahu menjadi ‘duri dalam daging’.

Persoalannya, apakah ketika UMNO menjadi tonggak peme­rintahan negara bersama parti-parti komponen BN lain, nasib kaum-kaum lain tidak terbela? Sudah pasti tidak, tetapi apabila pilihan raya mereka tetap menolak UMNO. Oleh itu, adakah masih mahu mengharap kepada golongan itu untuk kembali kepada UMNO dan BN dengan cara ­meninggalkan perjuangan berteraskan Melayu dan Islam?

Tidak payahlah membuat hujah mengarut kalau pun pemimpin yang menerajui UMNO kini bukan daripada ‘kem kita’. Suka atau tidak, sudah sampai masanya UMNO dan Pas bekerjasama demi meneruskan usaha mempertahankan kuasa politik Melayu yang kini semakin terhakis.

Atas sebab itulah, kerjasama politik antara kedua-dua parti itu tidak boleh dilihat dari sudut sempit apatah lagi diselubungi dengan politik kebencian mahupun permusuhan yang sudah terbentuk sekian lama. Sampai bila orang Melayu khususnya dalam dua parti induk itu mahu bertelagah sesama sendiri ­sedangkan kaum lain bijak mengambil ­kesempatan untuk memper­kukuhkan kuasa politik mereka.

Hakikatnya, inilah masalah se­setengah pemimpin politik Me­layu, mereka masih melihat kerjasama antara UMNO dan Pas tidak akan ke mana. Pelbagai andaian mereka bentangkan bagi ‘menghalalkan’ hujah songsang mereka menentang kerjasama tersebut.

Justeru perwakilan di Muktamar Pas hari ini dan Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini tidak harus terpengaruh de­ngan sentimen politik kebencian atau mengungkit kisah politik silam yang tidak akan menguntungkan orang Melayu dan umat Islam.

Tidak mengapalah kalau ada dalam kalangan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan UMNO sudah habis dan beranggapan kerjasama UMNO dengan Pas tidak akan berjaya. Sudah tentulah mana-mana pun parti tidak akan berkata baik atau menyokong apa yang dilakukan oleh musuh politik mereka.

Tetapi hakikatnya, kenyataan seumpama itu menunjukkan me­reka bimbang kalau-kalau kerja­sama antara kedua-dua parti tersebut benar-benar menjadi ke­nyataan. Peningkatan undi diperoleh Pas ketika PRK Seri Setia telah menjadi bukti dan isyarat bahawa orang Melayu boleh menerima kerjasama ter­sebut.

Oleh itu, jangan biarkan cahaya di hujung terowong terpadam. Pemimpin, ahli dan penyokong kedua-dua parti perlu ikhlas untuk mengukuhkan kerjasama. Jangan terperangkap dengan hujah jumud parti mana yang akan untung melalui langkah tersebut.

Keuntungan yang paling utama dan perlu diberi perhatian bukanlah survival politik mana-mana parti sebaliknya bersama-sama mempertahankan kuasa politik orang Melayu dan kepen­tingan umat Islam.

Sebab itulah dalam memastikan kerjasama ini berjaya, tidak boleh ada sentimen kebencian antara satu sama lain. Di peringkat pemimpin sudah nampak dengan jelas komitmen mereka dan kini tumpuan diberikan kepada ahli-ahli dan penyokong akar umbi.

Sebagai seorang yang sudah lebih 20 tahun mengikuti perkembangan politik UMNO dan Pas, penulis sentiasa yakin bahawa atas nama Melayu dan Islam, tidak mustahil kedua-dua parti itu bersatu dan berjuang bersama-sama.

Kalaulah parti-parti dalam Pakatan Harapan yang berbeza ideologi boleh mengetepikan perbezaan sesama mereka untuk menumbangkan kerajaan BN dalam pilihan raya umum lalu, kenapa UMNO dan Pas yang sama-sama memperjuangkan Me­layu dan agama Islam tidak boleh bekerjasama?

Percayalah, kerjasama antara kedua-dua parti itu bukan sahaja akan menguntungkan orang Melayu tetapi juga kaum lain. Kepada mereka yang menganggap perjuangan untuk Melayu dan Islam sudah tidak relevan dalam suasana politik masa kini, hakikatnya merekalah sebenarnya sudah tidak relevan untuk digelar pemimpin Melayu.