Biar apa sekalipun sumber yang dirujuk, tidak dapat dinafikan bahawa formula perpaduan yang diperkenalkan oleh pemimpin terdahulu telah diganggu-gugat oleh tindakan melampau yang didorong matlamat politik sempit - yang hampir menjerumuskan tanah air dicintai ini ke arah kebinasaan.

Akhirnya dengan kebijaksanaan serta kematangan, dijelmakan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi yang menjadi panduan hidup bernegara sehingga kini.

Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara tersebut masih lagi utuh berdiri sebagai pegangan yang mendasari perancangan negara dan lain-lain konsep yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuklah yang terkini 1Malaysia Negaraku.

Dokumen Rukun Negara yang diisytiharkan ini mempunyai dua komponen iaitu Kepercayaan dan Prinsip Rukun Negara. Kepercayaan yang diisytiharkan merujuk kepada cita-cita Malaysia untuk mencapai lima matlamat berikut:

1. Perpaduan yang erat dalam kalangan seluruh rakyatnya;

2. Memelihara satu cara hidup yang demokratik;

3. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;

4. Menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak.

5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Ke arah mencapai cita-cita tersebut, maka lima prinsip Rukun Negara dijelmakan sebagai pega­ngan melalui ikrar berikut:

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

l Kepercayaan kepada Tuhan;

l Kesetiaan kepada Raja dan Negara;

l Keluhuran Perlembagaan;

l Kedaulatan Undang-Undang;

l Kesopanan dan Kesusilaan.

Ketika di sekolah, saya diajar untuk menghafal prinsip Rukun Negara tanpa penekanan kepada nilai kepercayaan yang sebenarnya juga amat penting untuk difahami dan dihayati khususnya dalam meniupkan sense of purpose kepada Rukun Negara.

Maka lafaz Rukun Negara yang biasa diperdengarkan bermula dengan “MAKA KAMI Rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut.”

Persoalannya, tidak pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri perkataan ‘cita-cita tersebut’ merujuk kepada apa sebenarnya?

Bukankah agak canggung lafaz yang sedemikian tanpa menyebut lima nilai kepercayaannya sepertimana diisytiharkan di dalam dokumen asal Rukun Negara?

Penjelasan mengenai perkara ini seharusnya menyedarkan kita bahawa melafaz dan memahami Rukun Negara perlulah secara menyeluruh dan bukan hanya sekadar menghafal lima prinsip Rukun Negara.

Pengalaman ketika meneliti tulisan Tan Sri Omar Abdul Rahman dalam buku The Essential Science, Technology and Innovation Policy (2013) membuatkan saya tercari-cari apakah yang dimaksudkan penulis dengan komitmen Malaysia untuk melaksanakan agenda sains teknologi dan inovasi telah sedia ada sejak 1970, yang dizahirkan secara nyata di dalam Rukun Negara.

Rupa-rupanya yang dimaksudkan beliau adalah nilai kepercayaan yang kelima iaitu membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. Begitulah besarnya aspirasi Rukun Negara jika kita amati - tidak hanya tertumpu kepada aspek penyatuan masyarakat tetapi memandu ke arah pembentukan sebuah negara maju dan sejahtera.

Sesungguhnya, pengalaman ini telah menjadi satu pukulan yang menimbulkan kesedaran mengenai jurang pemahaman Rukun Negara di peringkat individu, yang saya percaya berpunca daripada ketidaksempurnaan lafaz yang diamalkan sejak di bangku sekolah.

Kebimbangan mengenai perkara ini sebenarnya telah dibangkitkan dalam salah satu laporan yang ditulis pada 1971 yang ditemui di Arkib Negara. Laporan tersebut antara lain menyebut penceramah yang menyampaikan syarahan mengenai Rukun Negara kepada pegawai-pegawai kerajaan lebih menumpukan kepada penjelasan lima prinsip Rukun Negara dan tidak menjelaskan nilai-nilai kepercayaan Rukun Negara dengan berkesan.

Justeru, bagi memastikan pemahaman Rukun Negara yang mantap dapat diwujudkan, laporan tersebut mencadangkan agar pelaksanaan latihan mengenai Rukun Negara ini perlu mencakupi kedua-dua elemen prinsip dan nilai kepercayaan Rukun Negara.

Perkongsian ini bukan bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi diilhamkan ikhlas daripada naluri seorang warganegara yang ingin menyumbang ke arah pemantapan ketertiban melafaz dan memahami Rukun Negara kita.

Sewajarnya tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan untuk menyemak semula amalan lafaz Rukun Negara di peringkat organisasi, sekolah dan majlis-majlis rasmi. Ini bagi membolehkan garis panduan yang betul disediakan ke atas perkara ini.

Cadangan ini mungkin kecil pada pandangan sesetengah pihak, tetapi biarlah kita mulakan dengan yang kecil tetapi betul.

Marilah kita bekerjasama ke arah membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul dalam melafaz dan seterusnya memahami Rukun Negara. Salam 1Malaysia Negaraku.

PENULIS dari Kaohsiung, Taiwan.