Confirmed! Saya mengingati Riad kerana orangnya bersaiz 'comel’ dan bila berdiri di sebelah Syed Zainal Abidin, mereka berdua akan pantas menarik perhatian. Cuma komunikasi saya ketika itu lebih dengan Syed Zainal Abidin, yang suka mengutus SMS 'takziah’ bila kelabnya menewaskan Liverpool FC.

“Saya belajar banyak daripada Syed Zainal,” akui Riad ketika diwawancara Mingguan Malaysia pada Rabu lalu iaitu hari ke-91 beliau dilantik ke jawatan baharu itu.

Baru-baru ini, bekas ketua dan bekas staf itu bertemu dalam satu mesyuarat perniagaan. Syed Zainal Abidin kini di Petronas sebagai Naib Presiden Pemasaran. “Tahukah awak (Riad) bahawa AirAsia kini adalah pelanggan terbesar Petronas?,” katanya dalam mesyuarat tersebut.

Ini kerana AirAsia sekarang memiliki 84 pesawat, dengan tambahan tujuh lagi menjelang akhir tahun ini. Kumpulan AirAsia yang antaranya, AirAsia Indonesia, Thailand, Filipina memiliki 197 pesawat setakat 31 Disember 2017.

Jadi, tidakkah anda dengan latar belakang sektor automotif, berasa gerun bila ditawarkan jawatan menguruskan sebuah syarikat penerbangan? (Disebabkan sudah mengenali Riad lebih sedekad, saya diberi 'lesen terbang’ untuk mengemukakan soalan manja-manja tajam).

Rasanya Riad sendiri sudah mengagak akan kena soalan ini, beliau menyusun jawapannya dengan teratur dan cermat.

“Tidak terlalu sulit kerana bukannya bermakna saya kena ambil kursus jadi juruterbang. Tetapi ya, saya perlu belajar dan melalui proses kelayakan Accountable Manager oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang antara lain, memastikan seseorang ke jawatan peneraju penerbangan boleh membuat keputusan secara berwibawa, contohnya.

“Saya bawa balik buku-buku berkaitan dan menelaah di rumah sehinggakan anak perempuan berusia 15 tahun menyoal saya siapa sebenarnya akan ambil peperiksaan PT3 tahun ini.

“Alhamdulillah, saya berjaya selesaikan semua program CAAM tersebut dalam tempoh 30 hari, dan memang mahu meraikannya tetapi kena jumpa awak hari ini,” katanya secara berseloroh.

Menurut Riad, sektor penerbangan adalah sebuah industri yang cukup rapi peraturannya bagi menjamin keselamatan dan kualiti. Dan pelanggan pula adalah begitu pintar. Walaupun berasaskan operasi tambang murah, mereka tetap mahukan perkhidmatan yang memuaskan.

Turun padang

Beliau telah dilaporkan 'sering kelihatan berada di terminal’ iaitu meninjau operasi penerbangan, dan dengan cara berpakaian ringkas (kemeja T kolar merah logo AirAsia) tiada siapa menyangka lelaki berjambang ini peneraju syarikat penerbangan.

Menurut satu sumber sahih, pernah satu kejadian seorang pelanggan dari luar negara tidak mahu begnya ditimbang telah ditahan kakitangan AirAsia di pintu masuk sebelum melalui pengimbas X-Ray. Had berat beg boleh dibawa masuk ke kabin ialah tujuh kilogram. Berat beg pelanggan itu 30 kilogram.

Tidak puas hati ditahan, pelanggan itu menuntut kakitangan di depan pintu itu memanggil 'bosnya’. Tahu siapa yang menahan lelaki itu? Riad.

Kisah di atas menjadi 'heboh dalam diam’ dalam kalangan kakitangan dan agensi berkaitan di KLIA2. Dan difahamkan, Riad melakukan 'lawatan ke tapak’ secara berseorangan.

“Saya kena turun ke padang untuk mengetahui sebenar-benarnya apa yang berlaku. Misalnya jika berlaku penangguhan pesawat, bila saya di lokasi, saya akan dapat lihat sendiri di situ.

“Turun ke padang ini, saya belajar dari Syed Zainal termasuk semasa mengetuai pasukan F1 Caterham. Seorang ketua kena turun seawal 6 pagi, memastikan segala-gala persiapan adalah lengkap dan bersama-sama kakitangan, yang bila melihat adanya ketua, pasti memberi inspirasi tambahan,” jelasnya.

Peranan baharunya di AirAsia, ternyata lebih berat. Riad berkomunikasi saban hari dengan pengasas dan pemilik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Bo Lingam, Timbalan CEO Kumpulan AirAsia Berhad.

Apa sasaran KPI yang ditetapkan oleh Tony kepadanya?

“Kami mahu AirAsia berterusan menjadi pilihan utama orang ramai terbang. Sebuah syarikat penerbangan yang orang mahu bila terbang ke Johor, Kelantan, Sarawak atau Indonesia.

“Kami mahu menjadikan AirAsia lebih besar. Jika tidak, bermakna saya tidak menjalankan tugas saya.

“Saya menerima tugas ini dengan mata dan minda terbuka. Malah 'mewarisi’ pasukan sedia ada yang kuat dan ia memberi manfaat kepada saya. Sekarang, ini adalah mengenai langkah memimpin pasukan bagi mencapai matlamat utama iaitu pertumbuhan. Bagi saya, ini juga adalah suatu pengembaraan,” kata Riad.

Meneruskan metodologi Merrepak, berikut adalah perkara menarik mengenai Riad yang anda mungkin tidak tahu:

Riad dilantik sebagai CEO AirAsia Malaysia (AirAsia Berhad) pada 10 Januari lalu, menggantikan Aireen Omar yang naik ke jawatan Timbalan CEO Kumpulan AirAsia.

Memulakan kerjaya sebagai pegawai di Pejabat Pengarah Urusan Proton Holding dari 2006 hingga 2010.

Dilantik sebagai CEO Caterham Automotive. Berperanan menubuhkan Pasukan F1 Caterham dan Caterham Racing-GP2 yang meraih banyak kemenangan podium di Monaco, Singapura dan beberapa lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga mewujudkan program sokongan bersama Arden Racing dan menubuhkan pasukan yang bersaing di dalam Siri Dunia oleh Renault, dan meraih tempat kedua di dalam Kejohanan Pembina 2012.

Menyertai Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. sebagai Pengarah Perancangan, Strategi dan Pembangunan Perniagaan dari 2014 hingga 2017.

Merupakan pemegang ijazah Sarjana Perhubungan Awam dari Western Michigan University Kalamazoo, Michigan.

Lahir pada 1971, sudah beristeri dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara 15 hingga 21 tahun.

Kaki kayuh yang cukup dikenali dalam kalangan penggemar basikal dan satu basikal disimpan di bangunan RedQ, ibu pejabat AirAsia untuk beliau mengayuh bila masa mengizinkan.

Kini berjinak-jinak dengan sukan luncur air dan menyarankan lebih ramai rakyat Malaysia mencubanya kerana terdapat beberapa pantai di negara ini yang sesuai seperti di Terengganu dan Sabah.

10 Penyokong setia Tottenham Hotspurs. (Tidak mengapa. Tiada siapa sempurna).