Tabika ini mengguna pakai Kurikulum Standard Pra-Sekolah Kebangsaan iaitu memperkembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani dan rohani.

Usaha ini bertujuan melahirkan pewaris cemerlang negara yang dibimbing dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang sihat, ceria dan selamat di samping kerjasama erat dengan ibu bapa atau penjaga.

Ternyata produk yang dihasilkan amat bermakna untuk seorang kanak-kanak berusia 7 tahun memulakan dunia persekolahan mereka. Sekurang-kurangnya mereka dapat menguasai kemahiran asas 3M (menulis,membaca dan mengira). Di samping punya jati diri yang kental, saling menghormati dalam pelbagai ragam budaya dan agama, yang menjadi tunjang utama dalam pendidikan negara.

Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan Tabika Kemas seluruh negara amat dialu-alukan oleh rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah mahupun sederhana.

Masyarakat telah lama sedar betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak. Dan masyarakat juga semakin menaruh keyakinan terhadap mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah Tabika kemas.

Berbekalkan guru-guru terlatih daripada institusi pengajian tinggi negara dan sukatan pelajaran yang sentiasa ditambah baik, secara tidak langsung ini telah menaikkan taraf dan mutu pendidikan di tabika kemas.

Dewasa ini sambutan terhadap Tabika Kemas begitu menggalakkan, hingga tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin ramai. Sampai masa Kementerian Luar Bandar memikirkan untuk menambah peruntukan membina dan menambah lebih banyak lagi kelas Tabika Kemas di seluruh negara.

Memandangkan kehidupan semakin mencabar dan kanak-kanak amat terdedah dengan pelbagai maklumat, suatu anjakan paradigma perlu dilakukan terutama dalam kalangan guru pembimbing, ibu bapa, malah terhadap kurikulum Tabika itu sendiri.

Tidak dinafikan cabaran terhadap nilai dan keperibadian bangsa dewasa ini semakin tipis dan susut. Kesusutan atau kemerosotan moral ini adalah kerana kurangnya suri teladan yang baik dalam kalangan masyarakat .

Terjadinya hal yang demikian bukanlah salah ibu mengandung. Tetapi putaran dunia dan cabaran globalisasi yang sukar dibendung. Walaupun pendidikan awal itu bermula daripada rumah, tetapi kawalan dan bimbingan perlu diberikan agar kanak-kanak ini benar-benar dapat dibentuk mengikut acuan negara.

Pepatah Melayu mengatakan, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Justeru, kita perlu membuka kembali lembaran sejarah dan sirah nabawiyyah. Di mana para Rasul dan para nabi, adalah mereka yang diutuskan untuk menyempurnakan keperibadian dan akhlak umat manusia di muka bumi ini berpandukan kalam suci.

Oleh itu, tidak salah jika sukatan pelajaran sekolah-sekolah Tabika ini diserap atau ditambah dengan pelajaran fardu ain dan bacaan al-Quran secara khusus.

Percubaan telah pun dilakukan oleh kerajaan Johor sebelum ini. Program yang dipanggil IQFA, akronim bagi Iqra dan fardu ain. Subjek agama yang dibuat selepas kelas terakhir selama satu jam pada setiap hari. Iqfa ini menekankan bacaan al-Quran dan hafazan, termasuk doa-doa pendek, asas fardu ain dan solat juga bahasa Arab dan tulisan jawi.

Program Iqfa ini telah berlangsung selama 4 tahun bermula pada 2014 melalui peruntukan Kerajaan Negeri Johor. Sehingga kini ribuan anak-anak Tabika Kemas yang terpilih untuk program ini telah menerima manfaat hasil didikan muallim dan muallimah Iqfa yang gigih dan beriltizam melahirkan insan rabbani dan celik rohani.

Memandangkan permintaan dan sambutan yang begitu menggalakkan daripada ibu bapa terhadap program Iqfa, adalah diharapkan kementerian berkenaan dapat memikirkan untuk memperluaskan program ini di semua tabika kemas seluruh negara.

Sekurang-kurangnya dapat dijadikan tapak-tapak semaian untuk menyediakan benih-benih yang baik, seterusnya membesar mengikut acuan Malaysia yang baharu.

PENULIS ialah bekas guru bimbingan dan kaunseling, fasilitator dan aktivis masyarakat.