Realitinya, dalam arus pembangunan negara yang kian pesat, pelbagai masalah sosial dan kemasyarakatan mulai timbul dan ia tidak terhad kepada sesuatu golongan sahaja.

Keberadaan profesion kaunseling di Malaysia yang melebihi tempoh lima dekad sewajarnya menetapkan satu asas yang kukuh untuk menjadikannya profesion yang gah dan dihormati. Apatah lagi dengan wujudnya Akta Kaunselor 580 yang telah diwartakan hampir dua dekad lalu, perkhidmatan membantu yang disediakan kaunselor tempatan sudah pasti menjadi elemen penting dalam menyokong pembinaan komuniti yang sejahtera.

Namun, apakah perkhidmatan yang tersedia dalam profesion ini benar-benar cukup perkasa untuk menjadi pemangkin kesejahteraan komuniti Malaysia? Apakah pula tindakan yang wajar diambil untuk merealisasikan hasrat ini dengan sebaiknya?

Natijahnya, profesion kaunseling di Malaysia berhadapan dengan pelbagai isu yang wajar diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia boleh menjadi wadah pengukuhan kesejahteraan komuniti yang diterima luas oleh masyarakat umum. Daripada isu remeh seperti hak cipta penggunaan nama profesion (yang malangnya kini dipegang oleh entiti yang sama sekali tiada kaitan dengan amalan) sehinggalah kepada isu-isu lebih besar seperti kerenah birokrasi dalam urusan pendaftaran menyebabkan segelintir pengamal kaunseling tempatan kurang berkeyakinan dengan hala tuju profesion sendiri.

Sebagai contoh, kewujudan piawaian semasa telah meminggirkan serta menafikan hak pendaftaran kepada golongan kaunselor yang memperoleh kelayakan sebelum tempoh piawai dikuatkuasakan. Pelbagai syarat dan keperluan khusus dikenakan, mengakibatkan golongan pe­ngamal ini berasa jemu dan hilang motivasi untuk mendaftarkan diri.

Selain itu, isu baharu seperti amalan pembangunan profesionalisme berterusan yang seolah-olah berorientasikan keuntungan dengan memanipulasi ahli-ahli sendiri me­nyebabkan golongan kaunselor berdaftar sedia ada turut mempersoalkan kewajaran tindakan ini. Selagi isu-isu yang menggugat keyakinan pengamal profesion ini tidak ditangani, hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendaftaran kaunselor untuk memenuhi keperluan komuniti mengikut nisbah yang disasarkan barangkali sukar untuk dicapai.

Selain itu, kerjasama erat dengan rakan-rakan profesion lain seperti ahli-ahli psikologi, pakar-pakar psikiatri dan kumpulan pekerja sosial perlu diwujudkan agar satu gerak kerja bersepadu untuk membantu masyarakat yang memerlukan dapat direalisasikan. Budaya bekerja secara bersendirian (in-silo) kurang relevan dalam profesion ini kerana penglibatan lebih ramai individu dengan kepakaran yang pelbagai akan dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan dengan lebih baik.

Jika peranan ini dapat digalas dengan baik terutamanya oleh persatuan-persatuan pengamal kaunseling tempatan, ia bukan sahaja akan meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada perkhidmatan ini, malahan akan memartabatkan kaunseling sebagai pemangkin kesejahteraan komuniti Malaysia secara holistik, insya-Allah.

DR. ABU YAZID ABU BAKAr ialah Pensyarah Kanan Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).