Fenomena ini begitu signifikan ketika negara diterajui Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein. Beliau telah merubah wajah luar bandar menerusi penggubalan Dasar Ekonomi Baharu. Kawasan luar bandar telah mendapat pelbagai projek dan program pembangunan berterusan. Hakikatnya, pelbagai dasar pembangunan kerajaan membolehkan Malaysia berkembang daripada sebuah negara pertanian, berge­rak kepada separa perindustrian, negara perindustrian dan kini sedang ditransformasi menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Namun begitu, kepemimpinan negara kini meneruskan ke­sinambungan dengan memberi komitmen tinggi bagi menjayakan pembangunan negara yang futuristik selari dengan dasar Transformasi Nasional 2050.

Dalam konteks ini, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diterajui menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pasukannya sedang merangka dasar pembangunan luar bandar yang meliputi kerangka dan hala tuju dasar pembangunan luar bandar yang komprehensif dan holistik untuk jangka pendek dan jangka panjang merangkumi pelbagai dimensi dan sektoral. ­Kesemua dasar, strategi dan langkah perlu diselaraskan pelaksanaannya de­ngan mengambil kira dasar pembangunan luar yang lalu.

Di samping itu, KKLW juga mengambil kira dasar-dasar kementerian yang lain bagi mensejahterakan kehidupan rakyat. Pelaksanaan dan penterjemahan dasar dalam konteks tempatan perlu disesuaikan dengan permasalahan dan potensi setempat. Sedang dunia memasuki era Revolusi Industri keempat, KKLW mengambil inisiatif untuk menyesuaikannya mengikut ke­perluan pembangunan luar bandar demi memakmurkan ekonomi luar bandar serta menjadikannya tempat hidup yang aman, sejahtera dan kondusif serta berdaya maju.

Bagi memperkasa pembangunan luar yang berimpak tinggi, Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) mencadangkan setiap peringkat pentadbiran kawasan luar bandar di setiap daerah dan mukim perlu mengambil kira dasar ini dalam melaksanakan pelan pembangunan masing-masing. Fokus utama pembangunan luar bandar secara konsisten untuk mewujudkan kawasan luar bandar yang sejahtera, berdaya tahan dan berinformasi.

Dalam menggubal DPLB, beberapa teras strategik diperhalusi yang menyumbang kepada pembangunan luar bandar yang holistik, mampan, berdaya maju, berinformasi, lestari dan merupakan kawasan yang paling kondusif untuk didiami.

Antaranya termasuklah memperkasa pembangunan belia, menjana ekonomi luar, mempro­mosi aktiviti keusahawanan, me­rangka pembangunan modal insan yang berkualiti, memajukan prasarana, memastikan kehidupan sihat dan sejahtera, pemuliharaan alam sekitar dan mengukuhkan sistem penyampaian dan tadbir urus yang berkua­liti.

Sehubungan itu, KKLW komi­ted melaksanakan enam fokus transformasi luar bandar iaitu prasarana, pembangunan belia, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian. Kesemua fokus dalam dasar pembangunan luar bandar ini juga berusaha menangani pelbagai cabaran masa kini dan masa depan yang menyaksikan proses transformasi berlaku dengan le­bih pantas dan berimpak kepada pembangunan luar bandar.

DPLB juga menjadi pemang­kin kepada pembentukan sebuah negara-bangsa Malaysia yang bersatu padu. Justeru, dasar ini melibatkan pembangunan ke­pimpinan khususnya dalam kalangan belia dan beliawanis. Dasar ini turut mempromosi penghayatan rakyat pelbagai kaum di negara ini menerusi hormati-menghormati dan mengukuhkan semangat toleransi antara pelbagai kaum, agama dan budaya.

Bagi menjayakan pelaksanaan DPLB, sistem penyampaian dan tadbir urus yang cekap dan berkesan amatlah diperlukan. Suatu cadangan utama ialah mewujudkan Majlis Tindakan Pembangunan Luar Bandar dengan menjadikan KKLW sebagai urus setia. Hal ini disebabkan pembangunan luar bandar melibatkan banyak kementerian dan agensi kerajaan.

Justeru, penyelarasan perlu juga dilakukan dengan PLANMalaysia berkaitan Dasar Peranca­ngan Fizikal Desa Negara 2030 di Semenanjung. DPLB juga memfokuskan secara khas dan istimewa kepada Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri mempunyai permasalahan yang berbeza dengan Semenanjung.

Dasar ini juga mencadangkan agar KKLW membangunkan sistem pangkalan data yang berpusat dan komprehensif bagi memantau pencapaian DPLB yang mampu menjadikan luar bandar berdaya saing. Natijahnya DPLB berusaha menjadikan kawasan luar bandar yang cantik dan lestari dan mengekalkan tempat tinggal penduduk yang kondusif.

Pada tahun ini, KKLW telah mendapat peruntukan sebanyak RM2.4 bilion. Pengagihan se­perti berikut, RM988 juta untuk pembangunan jalan luar bandar, RM423 juta (bekalan air), RM665 juta (bekalan elektrik), RM7 juta (lampu jalan), RM76 juta (program ameniti sosial) dan RM244 juta (rumah rakyat termiskin).

Kesemua ini menunjukkan komitmen kerajaan membangunkan kawasan luar bandar. Justeru, kawasan luar bandar juga mampu menjadi pusat pembangunan ekonomi menerusi ekosistem pe­lancongan desa, menjana perniagaan IKS dan keusahawanan, pembangunan bakat belia dan pelbagai inisiatif yang berimpak tinggi kepada pembangunan luar bandar.

Secara keseluruhannya, DPLB secara konsisten menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan yang berusaha menjalankan pelbagai inisiatif dan program menerusi kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama-sama pelbagai agensi dan kementerian serta pihak swasta.

Hasrat KKLW hanya satu iaitu memastikan kawasan luar bandar mendapat limpahan pemba­ngunan seperti mana dinikmati oleh penduduk kawasan bandar. Sesungguhnya penduduk luar bandar juga berhak mendapat lim­pahan pembangunan selaras de­ngan semangat demokrasi. Justeru itulah KKLW komited menjayakan tagline iaitu Membandarkan luar bandar.

DR. KASSIM THUKIMAN ialah Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga Penulis Tamu Majlis Profesor Negara (MPN).