Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

TIDAK keterlaluan dikatakan bahawa rata-rata mereka yang berusia 40 tahun ke atas yang berjaya dalam kerjaya atas faktor kelebihan mendapat pendidikan tertinggi sehingga ke menara gading. Atas tiket segulung ijazah tidak kira sama ada ijazah pertama mahupun kelayakan profesional, ramai antara mereka ini berjawatan tinggi di sektor awam mahupun sektor swasta. Maka, tidak hairanlah ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak ke sekolah dan ­mengharapkan mereka ini berjaya pada masa hadapan.

Dahulu, ketika era 1960-an dan 1970-an, tidak ramai yang berpendidikan tinggi sekurang-kurangnya memiliki ijazah pertama. Pada waktu itu, hendak cari yang memiliki ijazah kedoktoran boleh dibilang dengan jari. Itu pun, rata-rata mereka yang mengajar di universiti-universiti awam sahaja yang memiliki ijazah kedoktoran atau PhD.

Era Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memungkinkan ramai anak muda ketika itu dihantar ke luar negara untuk menggenggam segulung ijazah mahupun kelayakan profesional dalam pelbagai bidang. Kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk menghantar mereka atas faktor pendidikan adalah ejen perubahan sosioekonomi sesebuah keluarga. Bagi yang sudah memegang jawatan tinggi pada masa kini, usah malu untuk mengaku bahawa dahulu pun pernah hidup susah.

Jadi, apabila sudah berjawatan tinggi sehingga ada yang bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah dan pemegang saham syarikat terkemuka, maka apalah salahnya mereka juga membantu orang lain. Begitu juga bagi yang sudah berjawatan tinggi di sektor awam. Masa untuk mereka membantu orang lain. Ingatlah, orang yang berguna adalah orang yang paling memberi manfaat kepada orang lain. Bantulah pihak yang memerlukan bantuan sebagaimana kita pernah dibantu oleh orang lain suatu ketika dahulu.

Ramai anak muda yang berlatarbelakangkan keluarga miskin dan berpendapatan rendah memerlukan bantuan. Ramai antara mereka ini bijak. Cuma kerana kekangan kewangan menyebabkan mereka tidak mendapat pendidikan sempurna sebagaimana anak orang kaya raya. Malah tidak keterlaluan dikatakan jika mereka ini diberi peluang, insya-Allah mampu bersaing dengan anak-anak orang kaya yang menetap di bandar-bandar besar.

Maka, dalam hal ini, memang wajarlah program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) dilaksanakan. Program ini perlu mencari anak-anak keluarga miskin yang memiliki potensi masa hadapan untuk pergi ­lebih jauh dalam sistem pendidikan Malaysia dan global.

Usah biarkan seorang pun rakyat Malaysia ter­pinggir. Bantulah mereka yang ingin belajar meskipun keputusan peperiksaan biasa-biasa sahaja.

Lagipun Transformasi Nasional 2050 (TN50) memberi penekanan terhadap sistem pendidikan negara. Hal ini cukup penting, jika mereka ini kini berumur dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun, maka ketika tahun 2050, umur mereka dalam lingkungan 40 hingga 45 tahun. Sepatutnya pada waktu itu, mereka sudah menjadi pemimpin di pelbagai peringkat. Tidak kira sama ada pemimpin organisasi, syarikat, pertubuhan, negeri mahupun negara.

Malah, mungkin sahaja menjadi pemimpin peringkat global dalam pelbagai bidang.

Jika ini berjaya dilakukan, baharulah elemen keterangkuman atau inklusif itu berjaya. Sudah tentu kita tidak mahu melihat anak-anak generasi tahun 2050 itu mewarisi sosioekonomi ibu bapa yang berpendapatan rendah. Kita juga tidak mahu melihat hanya segelintir sahaja generasi 2050 yang berjaya dalam sudut ekonomi ekoran ibu bapa yang kaya raya mampu menyediakan pendidikan terbaik. Jika inilah yang berlaku, maka keterangkuman itu sudah menjadi eksklusif buat segelintir golongan sahaja.

Sebab itulah, roh DEB perlu diteruskan meskipun kini TN50 menjadi sasaran negara. Sememangnya JPB yang dilaksanakan sekarang menepati roh DEB. Jelas kelihatan TN50 adalah kesinambungan DEB. Cuma bezanya cara pendekatan agar lebih ampuh dalam menjayakan agenda pendidikan golongan berpendapatan rendah. Bukalah peluang seluas-luasnya kepada mereka, meskipun tinggal di ceruk mana pun di negara kita.

Sistem pendidikan masa kini sememangnya begitu ke hadapan. Murid-murid sekolah rendah pun diajar dengan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Maka, dalam hal ini, anak-anak golongan miskin dan berpendapatan rendah sewajarnya memiliki KBAT. Mereka juga wajar diajar untuk kreatif dan inovatif selain yakin dan tidak mudah berputus asa dalam menempuh arus pendidikan negara dan cabaran mendatang.

Motivasi yang tinggi wajar diberikan agar sentiasa bersemangat untuk menuntut ilmu meskipun selepas tamat pengajian di peringkat sekolah.

Jika inilah dapat dilakukan, insya-Allah masalah-masalah sosial yang melanda generasi muda kini akan berkurangan. Justeru, usaha berterusan ke arah memperkasakan pendidikan masa hadapan wajar diteruskan bagi memenuhi semangat TN50 untuk merea­lisasikan sebuah bangsa Malaysia yang terbaik.

Sistem pendidikan tidak boleh sekadar memberi kelebihan kepada segelintir golongan sahaja yang mudah mendapat akses pendidikan. Dengan kata lain, ia perlu menyeluruh merangkumi seluruh generasi muda dan rakyat Malaysia. Barulah, bangsa Malaysia 2050 boleh diangkat sebagai bangsa maju, terulung dan terunggul dalam setiap bidang yang diceburi.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain