Bagi menampung permintaan yang tinggi tersebut, Malaysia telah mengimport lebih banyak daging kerana dicatatkan keperluan terhadap produk itu adalah sekitar 232,000 tan metrik setahun menjelang 2020.

Kadar pengeluaran dalam negara juga amat rendah dan tahap sara diri (SSL) bagi daging lembu di Malaysia adalah 23% pada 2010 dan unjuran permintaan daging meningkat daripada 1.4 juta tan metrik pada 2010 kepada 1.8 juta tan metrik pada 2020 dengan pertumbuhan 2.4 % setahun.

Hal itu menunjukkan permintaan domestik terhadap bekalan daging halal terus meningkat terutamanya ketika musim perayaan.

Sebelum ini pemain-pemain utama dalam bidang tersebut banyak mengimport lembu hidup dari negara jiran seperti Thailand untuk dijual semula menerusi kaedah fidlot.

Pun begitu, permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat negara ini menyebabkan Thailand mula mengeksploitasi keadaan tersebut dengan menaikkan harga lembu hidup sewenang-wenangnya.

Jika dibandingkan dengan negara-negara pengeluar daging, Malaysia masih jauh ketinggalan untuk menjadi pengeluar utama daging halal di peringkat global.

Dalam usaha mahu menjadikan usaha itu satu realiti, negara terlebih dahulu perlu memenuhi permintaan domestik dan kualiti produk daging halal untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, daging tempatan dilihat sentiasa bersaing sengit dengan daging import dari segi harga dan kualiti menambahkan cabaran buat pemain-pemain utama industri tersebut.

cabaran industri ternakan

Mendepani cabaran tersebut, Kementerian Pembangunan Usahawan tampil dengan Road Map baharu bagi memperkasakan semula industri ternakan lembu daging sekali gus menempatkan Malaysia sebagai hab utama produk daging lembu halal dunia.

Menurut menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, permintaan produk halal dunia terutamanya produk berasaskan protein amat besar dan dicatatkan meningkat sejajar dengan pertambahan umat Islam di peringkat global.

Oleh yang demikian potensi industri penghasilan daging halal dilihat amat besar.

Buat masa ini ujar beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Wan, industri ternakan dan daging dikuasai negara-negara besar dan maju seperti Amerika Syarikat (AS), Brazil, China, India, Argentina dan Australia.

Jika Malaysia mahu bersaing dengan negara-negara tersebut terutamanya dalam segmen daging halal, seluruh rantaian industri tersebut perlu diperkasa secara menyeluruh dan efektif.

Oleh itu ujar beliau, untuk fasa pertama Malaysia bakal membawa masuk negara pengeluar seperti Australia dan Argentina untuk turut sama melabur dalam industri ternakan di negara ini, sekali gus terlibat sebagai pengeksport bagi pasaran Asean malah dunia selain memenuhi permintaan tempatan.

“Untuk itu industri lembu daging dalam negara mampu dikembang luas dan ia bukan sahaja dapat menampung keperluan daging domestik malah turut mewujudkan rantaian pekerjaan dan perkhidmatan yang meluas khusus untuk industri tersebut.

“Ia juga dijangka dapat memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mendapatkan daging lembu ini pada harga lebih murah termasuklah daging wagyu yang kita sedia maklum harganya amat mahal dan hanya mampu dibeli oleh mereka yang berada sahaja.

“Ini dapat membantu golongan B40 di negara ini dalam memenuhi rantaian dan limpahan perniagaan yang bakal wujud hasil pengembangan industri halal hub terutama dalam industri daging halal.

“Bayangkan golongan B40 ini boleh menjadi pengeluar dan pembekal makanan untuk ternakan lembu. Atau mereka ini boleh dihantar ke Jepun sebagai contoh untuk dilatih sebagai pelapah daging (butcher),” ujar beliau dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Malah katanya lagi, ia juga membantu menjenamakan Malaysia sebagai hab halal produk daging lembu nombor satu dunia apabila segala kemudahan, perkhidmatan dan tenaga kerja telah tersedia secara menyeluruh.

mewujudkan sektor pekerjaan baharu

Hal itu perlu bermula daripada pengeluar, pengimport dan pengeksport, pengedar, ejen, pakar penyediaan, pengangkutan darat, perkhidmatan veterinar, perkhidmatan depot pra-eksport, perkhidmatan kawalan kualiti, penghasil makanan haiwan ternakan dan penanam makanan haiwan ternakan (rumput dan sebagainya).

Seterusnya industri yang sama turut mampu membangunkan sektor pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor.

Ini antaranya perkhidmatan penghantaran haiwan ternakan, tenaga kerja baharu seperti krew perkapalan yang khusus untuk mengendalikan hal-hal eksport produk tersebut.

Selain itu, ejen perkapalan, pemilik kapal, petugas veterinar di atas kapal, perkhidmatan agensi-agensi kerajaan berkaitan, insurans, perbankan dan kewangan turut menerima limpahan.

Selain itu ujar beliau, dalam fasa kedua pula, tulang lembu juga berpotensi untuk dikembangkan untuk penghasilan produk halal seperti geletin. Semua sedia maklum industri gelatin hanya sedikit sahaja terlibat halal.

“Hanya sedikit sahaja gelatin yang halal dan ramai di antara kita sebenarnya tidak sedar akan perkara ini. Oleh itu rantaian hab halal ini mampu berkembang kepada pengeluaran gelatin halal untuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa terutama di negara-negara Islam.

“Selain gelatin, produk dari lembu ini juga boleh digunakan dalam pembuatan keju serta produk porselin yang sudah semestinya perlu dikuasai oleh rakyat negara ini sebagai langkah memenuhi permintaan di seluruh dunia,” ujar Pak Wan.

Oleh itu potensi bidang ini perlu diteroka sebaik mungkin untuk mendapat manfaat terbaik daripada industri ini.

Malah penglibatan pelbagai sektor dalam membangunkan industri tersebut dilihat amat besar sementelah ia dapat mengembangkan ekonomi dan imej negara di mata dunia.

Jika ia benar-benar dilaksanakan tidak mustahil kos sara hidup juga menurun kerana keupayaan untuk mendapatkan harga produk lembu pada kos yang lebih murah dan rendah.