Namun bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sesukar manapun tugas, berundur bukan satu pilihan. Apatah lagi dari segi aset APMM dilihat agak terkebelakang dan sangat memerlukan penambahbaikan.

Bagi mendapatkan pandangan lanjut wartawan Mingguan Malaysia AZMAN ANUAR, HAFIZAHRIL HAMID dan KHAIRUNNISA SULAIMAN telah mewawancara Ketua Pengarah APMM LAKSAMANA MARITIM DATUK SERI ZULKIFILI ABU BAKAR sewaktu mengunjungi ibu pejabat Kumpulan Utusan baru-baru ini.
 

MINGGUAN: Apabila memperkata mengenai APMM ramai persoal tentang pemilikan aset yang kebanyakkan sudah lama. Boleh Datuk komen mengenai hal ini?

ZULKIFILI: Itu satu perkara yang saya telah bangkitkan, iaitu buat masa ini kita lihat keperluan mothership (kapal induk). Kalau kita ada mothership, saya rasa itu adalah satu keberkesanan kepada penguatkuasaan dan juga untuk tujuan search and rescue (mencari dan menyelamat). Kita lihat mothership ini sesuai dalam dua keadaan, mothership adalah kapal yang besar 100 meter yang boleh membawa enam bot sekali gus serta uav (pesawat tanpa pemandu) dan ia juga mempunyai kemudahan sebagai platform helikopter.

Helikopter boleh datang sekiranya diperlukan untuk membawa apa-apa perkara yang diperlukan atau tujuan balik ke stesen. Atau dengan ada platform untuk helikopter kemudian bila kita deploy (berpecah mengatur kedudukan) mothership ini pada satu kawasan misalnya 100 batu nautika dari pantai kita sampai dan turunkan enam bot sekali gus.

Boleh juga dilancarkan uav jadi kalau katakan dia ambil radius 50 batu, cuba bayangkan kawasan yang boleh cover (liputi) adalah kawasan yang besar. Maknanya mothership duduk tengah-tengah dan akan bekalkan minyak, makanan, air dan sebagainya. Bot boleh berada di laut dalam kawasan lingkungan 50 batu keliling mothership. Itu kalau kita kira keluasan, banyak kawasan yang kita boleh cover. Itu dari segi penguatkuasaan.

Kemudian dari segi menangkap bot-bot nelayan asing, memerlukan lebih daripada satu vessel untuk tangkap sebab nelayan asing menggunakan cara pukat gading atau patrolling. Patrolling ada dua vessel, jadi kita pun kena ada dua untuk tangkapan. Tidak boleh satu vessel untuk tangkap dua vessel.

Kita ada masalah evidence (bukti) jadi dengan adanya UAV ini bolehlah mengambil gambar dan memberi kita evidence tersebut. Jadi nelayan ini tidak boleh berdolak-dalik lagi sebab kita sudah dapat gambar. Itu kelebihan mothership.

Sudah tentu penambahan aset penting untuk misi seperti mencari dan menyelamat?

ZULKIFILI: Memang benar, dalam masa sama sekiranya berlaku search and rescue (mencari dan menyelamat) di mana bayangkan satu kapal mengalami masalah dan tenggelam, jadi kita kena mencari orang-orang yang perlu diselamatkan dan kita hantar mothership dan lancarkan uav.

Uav boleh membantu mencari lokasi di mana berlakunya insiden tersebut dalam masa sama bila kita sudah dapat roughly (secara kasar) di mana datumnya kita boleh lancarkan enam bot itu dan kita boleh buat search (pencarian) sekali gus, Ini dipanggil shooting search. Kita buat sektor, kita patah balik search (cari) lagi dan patah balik.

Bila kita buat penambahan aset baru dan diketuai oleh Majlis Keselamatan, pencarian akan lebih terancang, lebih teratur, lebih terkoordinasi. Jadi pencarian boleh dibuat lebih tepat dan kos akan berkurangan daripada banyak agensi yang terus pergi lakukan operasi.

Kita tidak pernah ambil kira kos semua ini. Bagus memang bagus tetapi bila cerita pasal kos, kerajaan terpaksa menanggungnya jadi elemen itu kena difikirkan. Jadi dengan cara koordinasi, saya rasa kosnya akan menjimatkan dan pencarian akan lebih efisien.

Dengan adanya kapal-kapal baru dan lebih besar mungkin kita boleh menangani dengan lebih efektif isu pencerobohan di Sabah contohnya.

ZULKIFILI: Ini boleh dilakukan, dalam masa yang sama juga kita guna untuk tujuan pengawasan di perairan Sulu atau Sabah, Sabah timur. Mothership dengan bot-bot ini bagus ada bantuan UAV. Memang bagus tidak ada masalah sebab kita boleh berada lama di laut.

Kalau tidak, apa yang berlaku sekarang, bot saya daripada tepi pantai hendak pergi ke kawasan operasi mengambil masa setengah hari untuk sampai. Sebenarnya bot itu boleh beroperasi dua hari saja kalau sendirian.

Kalau nak pergi setengah hari hendak balik lagi setengah hari habis dalam perjalanan tinggal sehari di kawasan operasi lepas itu kena balik kecuali kalau kapal lain datang berikan bekalan air, minyak dan makanan. Sekarang ini dengan adanya mothership dia bawa enam bot, jaga kawasan jadi lebih selamat boleh berada sampai 20 hari.

Baru-baru ini kerajaan mendedahkan tentang kerugian hasil maritim antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun.Mungkin kita perlu lebih tegas dalam soal ini sekali gus wang kutipan itu boleh digunakan untuk menambah aset APMM?

ZULKIFILI: Saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan kalaulah kita dapat buat penjimatan katakan 20 peratus daripada RM3bilion - RM6 bilion setahun, itu saja dah cukup untuk menampung kos membeli aset maritim bagi menangani masalah. Sebanyak 20 peratus ke 30 peratus daripada RM6 bilion sudah cukup untuk membeli mothership dan sebagainya.

Kalau kita ambil kos untuk satu mothership lengkap dengan kelengkapan sekitar RM500 juta. Mungkin kita boleh dapat dua atau tiga mothership dari kerugian kita hadapi dan ambil contoh sekitar kita berjaya kutip 10 atau 20 peratus dari jumlah kerugian sebanyak RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun.

Kita hadapi masalah ini sudah lama. Kehadiran bot nelayan Vietnam bukannya baru, untuk tahun ni orang nampak bahawa memang penguatkuasaan kita lemah dan kerana itu dia orang berani datang malah secara bersindiket.

Bagaimana Datuk Seri mahu menangani isu rasuah dan integriti dalam APMM. Mungkin ini akan menjadi antara agenda utama di bawah kepimpinan Datuk Seri?

ZULKIFILI: Saya mengambil pendekatan bahawa mereka ditangkap hasil kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bermakna kita sendiri memang tegas dan mahu agensi ini bersih. Siapa yang tidak bersih memang patut ditangkap dan didedahkan sebab itu kita bekerjasama dengan SPRM.

Sebagai contoh saya boleh katakan ini bermula daripada awal lagi. MoU yang ditandatangani dengan pihak SPRM pada 15 Februari, kemudian saya mengambil alih pada bulan Jun. Pada bulan Julai saya mengadakan majlis Ikrar Bebas Rasuah. Kemudian pada Hari Terbuka kita adakan gerakan revolusi anti rasuah dengan SPRM.

Lepas itu kita bekerjasama untuk menangkap mereka-mereka yang terlibat dalam rasuah ini bermula awal tahun ini seperti diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kerjasama itu bermula awal tahun ini. Kita sendiri tidak boleh tangani kes-kes rasuah ini sendiri biarlah agensi yang pakar melaksanakannya. Kita beri kerjasama kepada SPRM selain daripada menangkap orang luar dapat kita tangkap pegawai kita sendiri, namun ia lebih kepada satu kolaborasi.

Kalaulah kita tangkap pegawai kita sahaja mereka diberhentikan dan ganti yang baru namun kalau sindiket di luar pemberinya masih ada, tidak berguna juga. Kerana itu kita bekerjasama dengan SPRM supaya mereka boleh tangkap pegawai kita dan tangkap sindiket dalam masa yang sama. Jadi kita boleh asuh pegawai-pegawai kita yang baik sebagai penyamar.

Ada pegawai-pegawai kita yang bertugas sebagai undercover agent yang bila kita tangkap bot pesalah ini, dia orang datang bersama ejen dan minta dilepaskan dan setuju membayar sejumlah bayaran.

Jadi untuk mengelakkan pegawai kami ditangkap kerana rasuah lebih baik kami latih mereka untuk menyamar dan berkongsi maklumat dengan SPRM. Malah semua pihak yang terlibat akan turut sama ditahan bukan seperti sekarang yang memberi terlepas tanpa sebarang tindakan pun. Dalam soal rasuah kadang-kadang orang yang bagus pun akan gelap mata. Jadi dengan cara ini ia dilihat lebih berkesan.

Malah ada sekali kita tangkap mereka dan rampas RM3 juta tunai atas kapal. Dia jual minyak di laut. Bekalan minyak ini dijual kepada nelayan-nelayan Vietnam. Masa kita tangkap tidak ada minyak tapi pengakuan dia memang jual minyak. Jadi duit tunai RM3 juta dirampas dan pegawai kita bawa balik. Mereka bawa balik semua termasuk kapal. Kalau hendak kata pegawai kita semuanya jahat, dia tidak akan balik dengan duit RM3 juta.

Dari sudut perundangan, bagaimana kita mencegah pencerobohan nelayan asing serta pendatang haram. Adakah kita perlu tingkatkan hukuman seperti dilakukan Indonesia?

ZULKIFILI: Itu satu perkara yang perlu dilihat secara serius. Ini melibatkan soal perundangan malah saya sendiri mempunyai ijazah undang-undang dan mempunyai kepakaran undang-undang antarabangsa.

Undang-undang antarabangsa dalam konvensyen undang-undang laut tidak membenarkan sesebuah negara itu sewenang-wenangnya mengenakan hukuman penjara kepada nelayan kerana asas nelayan ini adalah untuk mencari makan atau mencari kehidupan. Jadi sekarang ini isunya kerana melanggar batasan, sehingga benda ini jadi satu sindiket dan boleh jadi jenayah. Apabila melibatkan elemen rasuah, membayar dan sebagainya itu adalah rasuah dan sudah menjadi kepada jenayah.

Jadi perkara-perkara begini boleh dipertimbangkan tentang bagaimana boleh dipertingkatkan lagi hukuman kepada nelayan. Begitu juga kalau pencerobohan sudah terlalu berleluasa jadi saya rasa wajar difikirkan bagaimana untuk meningkatkan hukuman tapi ia tetap tertakluk kepada pengurusan dan kajian pakar terutama daripada pihak berkuasa.

Adakah kita perlu mengikut jejak langkah Indonesia membakar bot mereka?

ZULKIFILI: Kita sedang menuju ke arah itu dan kita telah buat pembakaran dua bot di Tok Bali, Kelantan baru-baru ini dan ada lagi lima bot menunggu untuk dibakar.

Bagaimana Datuk Seri melihat isu pencerobohan Pulau Spratly melibatkan China serta hubungan baik dengan negara itu?

ZULKIFILI: Hubungan kita dengan negara China baik malah saya sendiri baru balik dari China melawat China Coast Guard. Saya tengok hubungan mereka dengan kita dianggap berbaik-baik. Namun itu tidak melunturkan niat tentang tuntutan Spartly dan sebagainya, hak kita, kita tidak akan lupa.

Saya rasa mana-mana negara tidak akan mahu berperang tetapi kita kena menanganinya dengan cara baik. Kalau dia menunjukkan sifat baik kita kena tangani dengan baik itu yang saya lihat. Bukan hanya China, dengan negara jiran indonesia pun sama. Mereka nak kuatkuasa undang-undang kita pun sama tetapi hubungan kita tetap profesional.

Kita memang ada masalah persempadanan dengan Indonesia, tetapi kita bersikap profesional dan tidak sampai hendak berperang atau sebagainya. Namun kita mahukan penyelesaian terbaik. Malaysia mengamalkan silent diplomacy dengan China maknanya kita tidak uar-uar mereka ini penceroboh atau sebagainya. Kita tidak mahu timbulkan sebarang isu dan mereka juga sama malah menghormati kita.