Penganalisis politik, JAILANI HARUN, menemuramah beliau bagi mendapatkan pandangan mengenai usaha untuk menjadikan Semenyih sebagai DUN yang dinamik dan progresif.

Apa pemerhatian saudara mengenai keadaan masyarakat Semenyih?

ZAKARIA: Rakyat mahukan janji dikota. Di bawah pentadbiran Barisan Nasional dahulu, mereka selesa, tidak kira apa bangsa pun.

Tetapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi titik tolak kepada ujian mereka yang ingin

ZAKARIA HANAFI
ZAKARIA HANAFI 

menukar kerajaan, inginkan pembaharuan, termakan dengan janji-janji manis Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.

Namun ia tinggal janji. Rungutan mengenai kenaikan harga barang makin kedengaran dan ia membebankan rakyat miskin. Yang berpendapatan tinggi juga mulai berjimat-cermat dengan keadaan ini.


Oleh itu, apakah keutamaan saudara dalam memperjuangkan hak dan suara mereka?

Paling utama ialah mendengar keluh-kesah mereka dan menyuarakannya kepada kerajaan. Kita perlukan saluran politik yang kuat ke arah itu.

Tidak perlu menjadi kerajaan untuk berbuat demikian. Suara wakil rakyat adalah suara mutlak pengundi berbilang bangsa.

Di banyak negara lain, suara pembangkang lebih kuat daripada kerajaan dan inilah yang melandaskan kita pada arah yang betul untuk berbuat demikian.

Hak rakyat perlu diperjuangkan dan kerajaan perlu peduli dengan masalah mereka.


Saudara tahu bahawa ini adalah satu ikhtiar untuk merampas kerusi yang sebelum ini disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Bagaimana saudara melihat senario ini?

Ia boleh menjadi milik mana-mana parti pun tetapi apa yang penting ialah menunaikan janji dan menyusuli kehendak rakyat.

Jika BN gagal melunaskan janjinya, maka mereka berhak menukarnya kepada parti lain. Zaman sudah berubah dan kehendak rakyat pula pelbagai.

Jika BN boleh meyakinkan kepada rakyat bahawa BN saja yang memperjuangkan nasib mereka selama ini, rakyat pasti menolak parti kerajaan.

Apa pula pandangan saudara mengenai peluang tiga lagi calon di Semenyih?

Saya hormati mereka. Semuanya ada kekuatan dan kelemahan. Peluang untuk menang bergantung kepada penerimaan pengundi, kesesuaian dan keakraban seseorang dengan pengundi yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Mereka perlukan seorang wakil yang sentiasa mengamalkan ‘pintu terbuka’ untuk berjumpa dan tidak memilih bulu.

Apakah saudara memiliki ciri-ciri itu?
Saya tidak mahu mendabik dada. Apa saja kegiatan kemasyarakatan dan kesukarelawanan yang dibuat selama ini pun adalah untuk penduduk.

Boleh dikatakan saya kenal mereka dan begitulah sebaliknya. Saya harap ini dapat diteruskan jika saya terpilih.

Anak-anak sudah besar dan saya boleh memberi tumpuan penuh kepada membantu penduduk di sini.

Ada yang menyebut saudara calon ‘berusia’ berbanding calon pemuda Bersatu dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Apa komen saudara?

Memang benar tetapi usia bukan pengukur kepada kelayakan seseorang calon. Kita ada ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen muda dan berusia. Mengapa? Tiada yang tua, tiada yang muda.

Yang berusia berbekalkan pengalaman dan ilmu manakala yang muda dibekalkan perahu untuk pelayaran yang mungkin membawanya jauh ke depan.

Tetapi calon berusia biasanya lebih matang dalam setiap gerak-geri dan tutur kata. Ini terbukti dalam kerajaan BN selama ini.

Saya amat faham dengan kemahuan rakyat dan tidak membuat janji kosong. Saya takkan kata apabila saya menang, saya akan selesaikan semua masalah. Itu tidak tepat.


Ini adalah kawasan Melayu tetapi pengundi keturunan Cina dan India juga adalah suara yang perlu diiktiraf. Apa pendekatan saudara?

Seperti diketahui umum, Semenyih adalah kawasan semi-urban atau separa-bandar. Ada juga kawasan pinggir bandar.

Sudah tentu ia amat berbeza dengan kawasan lain, misalnya Kajang atau Seremban. Kaum Cina sudah lama di sini dan bilangannya makin ramai. Begitu juga India.

Saya lihat mereka sudah mula suarakan kekecewaan terhadap PH. Di mana saja saya pergi dan berbual dengan mereka, penyesalan memilih PH makin kedengaran. Mereka perlu sedar.

Orang Melayu, terutamanya pengundi muda kena menghayati semula kejayaan BN membina negara dan menerapkan perpaduan kaum sejak merdeka. Kita jangan nafikan hal ini, malah tidak ada sesiapa pun dapat menafikannya.

Apa pula arah kempen bagi meyakinkan pengundi, khasnya bukan Melayu mengenai kerjasama UMNO-Pas?

Kerjasama sesama bangsa dan agama ini bukan bertujuan membela satu kaum tetapi semua kaum dan suku di Malaysia. Sejarah sudah membuktikannya.

Jika kita sudah hidup selesa di bawah BN, mengapa kita perlu mencuba kerajaan baharu? Adakah mereka ditindas dan hak mereka diketepikan di bawah BN dan di mana kedudukan Melayu sekarang?

Fikirkanlah dengan baik. Kita adalah rakyat satu negara, berbumbung langit yang sama dan berlantaikan bumi yang sama. Kini BN pembangkang, kita mahu jadi pembangkang yang berkesan.

Pandangan saudara mengenai tindakan ganas dan yang tiada tata susila seperti simbah cat.

Sebagai rakyat yang berbudaya dan bertatasusila, berkempenlah cara baik. Jangan amalkan berkempen yang tidak sihat termasuk bergaduh dan memaki hamun.

Saya hormat setiap calon dan tidak akan melakukan kempen yang tidak baik.

Apa pesanan saudara kepada pengundi Semenyih pada 2 Mac ini?

Ada pepatah Inggeris yang menyebut, regrets are as personal as fingerprints. Jadi, usahlah menyesal buat kali kedua.

Pengundi Semenyih perhalusilah dengan fikiran yang matang dan hati yang bersih.