Kenderaan elektrik tidak mengeluarkan sebarang pencemaran dan sebahagian daripada usaha mewujudkan alam sekitar yang lebih bersih bagi menjamin persekitaran lestari dan mampan. Tanggungjawab mempromosikan EV ini dikendalikan oleh Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia).

Kenderaan ini tidak dijual kepada awam, sebaliknya ditawarkan dalam skim sewaan untuk tempoh dua hingga empat tahun atau skim sewa beli kepada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC ), syarikat swasta senaraian awam (PLC) dan syarikat-syarikat multinasional (MNC) yang menyertai agenda hijau.

Matlamat program ini adalah untuk membiasakan golongan terbabit merasai sendiri kelebihan EV dan meluaskan skop penggunaan kenderaan terbabit di Malaysia bagi mengembangkan tindak­an mobiliti elektrik.

Menurut laporan, 10 unit Tes­la Model S telah dibawa masuk ke Malaysia akhir tahun lalu, dan kesemua unit tersebut telah dise­rahkan kepada pelanggan.

Melalui ujian yang diadakan, sebuah kenderaan Tesla yang telah dicaj sepenuhnya mampu bergerak sejauh hampir 500 kilometer, dalam keadaan pemanduan normal, sebelum memerlukan kenderaan itu dicaj semula di rumah caj yang mendapat bekalan elektrik melalui sumber tenaga solar.

Model terbaharu Tesla Model S P100D dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam di bawah tiga saat. Ia cukup menggambarkan kenderaan dengan motor elektrik adalah setanding atau lebih baik daripada kendera­an yang menggunakan enjin petrol atau diesel yang mencemarkan alam sekitar selama ini.

Usaha yang dijalankan oleh Greentech Malaysia untuk memperkenalkan penggunaan EV di Malaysia seharusnya disokong dan disambut oleh sektor swasta yang lain di negara ini, khususnya yang menumpukan usaha dalam bidang teknologi hijau.

Penulis bukan sekadar mempromosikan kenderaan Tesla, sebaliknya mahu menyatakan betapa penting usaha ke arah mempromosi dan mempergiatkan lagi pembangunan teknologi hijau digerakkan mulai sekarang di Malaysia.

Usaha mempromosikan tek­nologi hijau kelihatan agak perlahan mungkin kerana memerlukan kajian dan pembangunan yang memakan belanja besar, sedangkan pulangan yang dijangkakan masih samar.

Bukan hanya di Malaysia, senario yang sama turut berlaku di banyak negara di seluruh dunia kerana pelaburan tinggi yang perlu dibuat sebelum mampu menghasilkan pulangan lumayan.

Ketika kos kehidupan semakin tinggi, harga minyak atau bahan bakar dijangka terus meningkat, usaha ke arah membangunkan EV adalah satu opsyen yang perlu disegerakan oleh pemain-pemain dalam industri teknologi hijau.

Kebimbangan pemain industri pula mungkin berkisar di sekitar kesediaan pengguna menerima apa yang bakal dihasilkan, dite­rima oleh pasaran kerana EV kini masih bertaraf premium.

Jika kita mengambil kira kenya­taan yang dibuat oleh seorang menteri berhubung cadangan melarang motosikal berkuasa kecil (kapcai) memasuki bahagian tertentu di Kuala Lumpur atas alasan untuk mengurangkan tahap pencemaran, baru-baru ini, sudah cukup membayangkan terdapat potensi untuk membangunkan motosikal kuasa elektrik.

Bagaimanapun jika isunya me­ngurangkan pencemaran dan menangani kos bahan api yang kian meningkat, pilihannya ialah untuk menghasilkan motosikal elektrik. Mengapa tidak?

Bayangkan jika ada antara usahawan di Malaysia mampu menghasilkan motosikal elektrik pada kos yang seakan sama dengan kos motosikal kecil, tiada sebab pasaran tidak boleh menerimanya.

Sebagaimana yang dilakukan Tesla, stesen caj motosikal elektrik ini juga boleh dibuat dengan mendapatkan bekalan elektrik daripada tenaga suria atau di rumah masing-masing.

Penulis cuma melontarkan cadangan dan biarlah jurutera yang bertanggungjawab memikirkan perincian EV yang bakal mereka lahirkan.

Bermula daripada hanya motosikal elektrik, jika berjaya, potensi untuk dikembangkan ke varian EV yang lain amat luas. Bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia Tenggara atau juga dunia.

Pasaran EV yang belum dite­rokai ini amat luas kerana kese­daran terharap penjagaan alam sekitar semakin meningkat dalam kalangan warga generasi muda yang terdidik.

Dalam konteks Tesla, keretanya hebat tetapi bukan murah berbanding kereta konvensional, dan penerimaannya hanya untuk segmen atau golongan tertentu.

Cabarannya bagaimana menjadikan situasi itu sebaliknya, murah dan boleh diterima ramai. Usaha GreenTech Malaysia memperkenalkan Tesla kepada pemain industri yang menyertai agenda hijau harus disokong oleh industri tempatan khususnya yang menceburi bidang teknologi hijau.

Usaha ini tidak seharusnya terhenti setakat memandu kereta berkenaan sahaja sebaliknya menjadi ‘pembuka mata’ kepada mereka ini membiasakan diri dengan kelebihan teknologi hijau.

Mungkin tidak keterlaluan jika dicadangkan syarikat-syarikat swasta yang terbabit de­ngan teknologi hijau menganjurkan pertandingan mereka cipta perkakasan atau barangan atau juga EV di peringkat sekolah dan universiti.

Wujudkan satu tema penciptaan yang dipertandingkan dan sesuatu hasilan perlulah tulen, bertaraf dunia dan berkeupayaan mengubah kehidupan manusia ke arah yang lebih lestari.

Kerajaan melalui kementerian yang dipertanggungjawabkan pula mungkin boleh mempertimbangkan penyaluran geran pembangunan di peringkat awal terhadap apa juga produk yang dihasilkan sebagai sokongan bagi mendorong kejayaan penciptaan.

Mungkin juga pihak-pihak berwajib boleh mempertimbangkan usaha mewujudkan masyarakat berilmu, berinovasi dan kreatif dalam menyebarluaskan penggunaan teknologi hijau sebagai salah satu tunggak Transformasi Nasional 2050 ke arah memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Kita perlu berkongsi inspirasi Nicola Tesla, seorang jurutera elek­trik berbangsa Croatia yang berhijrah ke AS pada 1884 dan menghasilkan pelbagai keajaiban pada zaman beliau.