Katanya, kerajaan kena pen­tingkan rakyat, bukan nak seronok tunjukkan pada dunia. Itu dunia lain, kerana yang penting rakyat pilih kita dan kita menjaga mereka.

Kini berperanan sebagai Pe­ngerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim berkata, kerajaan sebelum ini tidak mempedulikan rakyat: “Waktu harga barang naik, mereka peduli pun tak, dia marahkan rakyat pula, dia kata Singapura lagi mahal, kita bukan tinggal di Si­ngapura, kita tinggal di Malaysia.”

Tegasnya lagi, Malaysia pernah mengalami krisis sebelum ini iaitu pada 1986 dan 1998 tetapi pada ketika itu rakyat tidak bising kerana pada waktu itu, kerajaan pentingkan kebajikan rakyat. Arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepadanya pada masa itu adalah “jaga rakyat dahulu”.

Prinsip “kepedulian rakyat” atau keprihatinan kepada kebajikan rakyat yang disebutkan oleh Daim itu kini nampaknya menjadi pegangan dalam kalangan menteri baharu yang dilantik oleh Dr. Mahathir. Prinsip kepedulian ini selaras dengan Teras 1 Manifesto Pakatan Harapan iaitu “Meringankan bebanan kehidupan rakyat”.

Janji ketujuh dalam senarai “10 Janji 100 Hari” manifesto Pakatan Harapan menyatakan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja akan ditubuhkan bagi 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji. Rakyat negara ini yang telah meneliti manifesto tersebut (setebal 203 halaman) kini menunggu ia ditunaikan termasuklah mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang telah melakukan jenayah. Rakyat juga berharap segala aset atau harta institusi berkenaan yang telah diseleweng atau dicuri akan dikesan dan diambil balik.

Kepedulian rakyat merupakan sifat paling utama yang mesti ada pada setiap pemimpin. Seorang pemimpin yang baik akan segera mengambil tahu masalah rakyat dan bertindak segera menyelesaikannya. Kepedulian ini ketara apabila Dr. Mahathir menubuhkan Majlis Penasihat (Council of Elders) terdiri dari lima tokoh tersohor dalam bidang masing-masing.

Pelantikan Majlis Penasihat ini membuktikan komitmen kerajaan memulihkan semula maruah negara ini yang telah tercalar apabila dipanggil oleh masyarakat dunia sebagai negara pencuri (kleptocracy). Selain itu, Majlis juga dikehendaki merangka strategi mengatasi masalah beban hutang negara (yang kini dikatakan mencatat jumlah RM1 trilion).

Seperti rakyat kini tahu, Maj­lis Penasihat ini kemudiannya telah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Institusi untuk memastikan urus tadbir (gover­nance) negara ini menjadi lebih baik dan adil di masa depan.

Selain pelantikan majlis tersebut, kerajaan telah juga melantik satu badan petugas khas baharu diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail serta dua anggota lain mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat salah laku 1MDB. Dalam masa sama, kerajaan membatalkan status “Rahsia Rasmi” yang dikenakan oleh kerajaan lama kepada laporan audit 1MDB, sekali gus membolehkan dokumen rahsia itu kini dibaca dan diketahui oleh semua orang di negara ini.

Prinsip kepedulian rakyat menghendaki kerajaan mengurangkan hutang negara dan me­minimumkan beban rakyat di masa depan. Untuk tujuan itu, kerajaan terpaksa memastikan mana projek mega kita yang boleh diteruskan dan mana projek yang terpaksa ditangguhkan, diperkecilkan atau dibatalkan.

Kesudahannya, kerajaan memutuskan perjanjian projek ECRL (projek kereta api menghubungkan Port Klang dengan Kota Bharu dijangka siap pada 2024) akan dirunding semula manakala projek HSR (projek kereta api laju menghubungkan Bandar Malaysia dengan Tuas di Singapura, dijangka siap 2026) dibatalkan.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram (salah seorang ahli Majlis Penasihat) menyatakan bahawa projek ECRL “bukan satu pelaburan” dari China tetapi adalah sebenarnya satu pinjaman besar dari Bank Import/Export China untuk membiayai 85 peratus kos projek tersebut.

Mengikut Daim, kos projek ECRL ini bukan berjumlah RM55 bilion kerana angka itu hanyalah untuk fasa pertama manakala fasa kedua akan menelan kos seba­nyak RM11 bilion. Bila diambil kira jumlah faedah yang dikenakan, jumlah keseluruhan kos projek ini akan menjadi lebih tinggi lagi.

Membantah pembatalan projek mega HSR itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menandatangani Memorandum Persefahaman pada 19 Julai 2016 dan Perjanjian Rasmi pada 13 Disember 2016 bagi pihak kerajaan Malaysia dengan kerajaan Singapura) menyatakan bahawa mengikut Kajian Institut Ekonomi Membangun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (IDE-JETRO), projek HSR mampu menjana RM4 bilion kepada ekonomi negara setiap tahun apabila ia beroperasi.

Selain itu, Malaysia akan kehilangan pendapatan negara kasar sebanyak RM209 bilion dan 70,000 peluang pekerjaan sekiranya projek ini dibatalkan. Beliau berpendapat pembatalan projek itu adalah satu kesilapan besar.

Dilihat dari aspek perunda­ngan dan kepedulian rakyat, amalan kita selama ini mengenai projek ECRL dan HSR tidak setara dengan amalan pihak berkuasa di California, Amerika Syarikat dan di Britain. Di California, sebelum badan yang diberi kuasa melaksanakan projek itu (California High Speed Rail Authority) dibenarkan melaksanakan projek, satu referendum telah diadakan di mana 52.7 peratus rakyat menyetujui (memberi mandat) projek itu dilaksanakan. Selepas itu barulah Kongres meluluskan dana untuk projek tersebut.

Di Britain, kerajaan mendapatkan mandat terlebih dahulu dari rakyat menerusi wakil mereka di Parlimen sebanyak dua kali iaitu menerusi High Speed Rail (Preparation) Act 2013 dan High Speed Rail (London – West Midlands) Act 2017. Walaupun dua Akta Parlimen ini telah memberi lampu hijau kepada projek kereta api laju di negara itu, petisyen dari rakyat yang menentangnya terus diterima oleh kerajaan.

Kesimpulannya, sewaktu perjanjian rasmi mengenai projek ECRL dan HSR hendak dimeterai oleh kerajaan kita dengan kerajaan asing berkenaan, kerajaan Malaysia gagal (atau terlepas pandang) mencontohi prinsip kepedulian rakyat seperti yang dihayati di California dan Britain.

Mengikut satu kajian oleh Reason Foundation pada 2013, kebanyakan projek kereta api laju merugikan dan berasaskan data dari Eropah dan Asia, kebanyakan kereta api laju di Amerika Syarikat akan hilang dana mereka (Most high-speed rail lines are major money losers. Based on data from Europe and Asia, most HSR lines in the United States are expected to lose substantial amounts of funds...”) (https://reason.org/wp-content/uploads/files/high_speed_rail_lessons.pdf)

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.