Seringkali apabila tahanan wanita dan kanak-kanak tiba di kem ini, mereka akan terus dibunuh manakala yang terselamat akan menanggung kesengsaraan hidup akibat kebuluran, menjadi buruh paksa dan menghidap pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Wanita hamil pula akan dibawa ke bilik gas beracun dan mereka dijanjikan makanan dua kali ganda banyak daripada biasa jika sanggup dijadikan bahan uji kaji Dr. Josef Mengele yang digelar sebagai ‘malaikat maut’.

Di sini, golongan wanita langsung tidak mempunyai harapan untuk hidup apatah lagi jika mereka hamil namun seorang bidan, Stanislawa Leszczynska secara sembunyi berjaya membidankan 3,000 wanita untuk melahirkan bayi mereka dalam bilik yang dipenuhi tikus.

Beribu-ribu lagi wanita hamil berjaya diselamatkan seorang lagi wanita, pakar ginekologi, Dr. Gisella Perl daripada menjadi bahan uji kaji Mengele apabila dia melakukan prosedur menggugurkan kandungan secara sembunyi tanpa sebarang peralatan dan ubat bius.

Perl dipercayai melakukan 3,000 pengguguran bayi tanpa pengetahuan Mengele namun walaupun usahanya itu mendapat kritikan, dia percaya tindakan itu dapat menyelamatkan ibu dan bayi yang belum dilahirkan daripada melalui prosedur lebih menyakitkan.

Kisah dua wanita berkenaan menjadi inspirasi dalam perjuangan mereka melakukan sesuatu yang mustahil dalam kawasan neraka tersebut. Leszczyńska berjaya membidankan 3,000 bayi sepanjang dua tahun dalam tahanan di Auschwitz dan ajaibnya kesemua ibu bayi berkenaan berjaya diselamatkan.

Bidan berkenaan dan anak perempuannya, Sylwia, 24, dihantar ke kem tersebut pada 1943 selepas ditangkap semasa menghantar dokumen palsu dan makanan kepada jirannya yang berbangsa Yahudi di Lodz, Poland.

Mereka disoal siasat oleh polis rahsia Nazi Jerman dikenali sebagai Gestapo yang kemudian mencacah tubuh mereka dengan nombor banduan 41335 dan 41336 sebelum dihantar ke kem berkenaan.

Leszczyńska yang dihantar bekerja di sebuah hospital wanita atau Revier menyifatkan hospital itu hanyalah sebuah berek kayu yang dindingnya dipenuhi lubang bekas gigitan tikus.

Kebanyakan wanita hamil di Auschwitz dihantar terus ke bilik gas namun ada di antaranya dipilih untuk menunggu melahirkan bayi dalam bilik kotor yang diubah suai oleh Leszczyńska menjadi sebuah wad.

Ibu kepada empat anak itu juga mengakui dalam satu laporan pada 1957 bahawa kira-kira 20 peratus `rumpai busuk yang dimasak terlalu lama’ yang menjadi makanan pesakit sebenarnya dicampur dengan najis tikus.

“Wanita hamil akan dibawa ke dalam pendiang untuk melahirkan bayi mereka dan di sini saya membidankan 3,000 bayi. Walaupun keadaan kotor dengan kutu dan tikus, penyakit berjangkit, kekurangan air dan pelbagai kejadian ngeri namun berlaku sesuatu yang luar biasa di sini,’’ katanya.

Menurut Leszczyńska, sehingga Mei 1943, majoriti bayi yang dilahirkan akan dilemaskan dalam tong berisi air oleh dua ‘jururawat’ Jerman, Schwester Klara dan Schwester Pfani.

Ini juga tugas yang perlu dilakukan Leszczyńska namun dia menolak sekeras-kerasnya malah wanita itu sendiri yang menegaskan kepada `malaikat maut’ agar tidak membunuh kanak-kanak malang ini.

Sebaliknya, dia bertungkus lumus menyelamatkan seramai mungkin wanita dan kanak-kanak walaupun mengetahui bayi yang dilahirkan akan dibunuh beberapa jam selepas kelahiran.

“Setiap kali selepas wanita bersalin, akan kedengaran bunyi bising dan air membuak dari dua bilik dan kemudian kedengaran lagi curahan air, kadang kala dalam tempoh yang lama,’’ katanya.

Tidak lama kemudian katanya, ibu bayi terbabit akan menyaksikan sendiri bayi mereka dicampak ke bahagian hadapan bangunan dan tubuh mereka dicarik-carik oleh tikus.

Leszczyńska tidak berputus asa sebaliknya berusaha memberi keselesaan kepada ibu dan bayi walaupun masing-masing mengetahui hayat mereka tidak lama.

Daripada 3,000 bayi yang diselamatkan, dipercayai sekurang-kurangnya separuh dilemaskan, 1,000 lagi mati akibat kebuluran, 500 bayi dibawa keluar dari kem dan seramai 30 lagi bayi berjaya diselamatkan dan masih hidup.

Pada awal 1945, tahanan Auschwitz dipaksa berjalan kaki ke kem Nazi lain namun Leszczyńska enggan meninggalkan kem itu dan terus tinggal sehingga negara itu bebas daripada cengkaman Nazi.

Wanita itu kembali bertugas sebagai bidan di Lodz selepas perang namun hanya menceritakan kisahnya di Auschwitz selepas bersara pada 1957.

“Antara memori ngeri saya di tempat itu, hanya satu yang masih terus berlegar dalam fikiran saya iaitu kesemua bayi berkenaan dilahirkan hidup dan mereka semua mahu terus hidup,’’ katanya.

Leszczyńska menghembuskan nafas terakhir pada 11 Mac 1974 di Lodz, Poland manakala Perl meninggal dunia pada 1988 di Israel.