1. Pemimpin-pemimpin politik Melayu di kedua-dua belah batas pemisah politik, tidak boleh sama sekali menggadaikan apa juga agenda berkaitan Melayu, termasuk agenda ekonomi. Mereka boleh berbeza ideologi politik tetapi roh Melayu mereka jangan tergadai. Walaupun majoriti mereka itu punyai roh Melayu, namun kehadiran ‘beberapa titik nila’ dalam kalangan mereka telah ‘merosakkan susu sebelanga’. Titik-titik nila inilah yang wajib ‘disekolahkan’ bagi pastikan mereka punyai roh Melayu.

2. Terima kasih kami kepada GLC, GLIC dan PEA yang selama ini diterajui kepemimpinan dan pengurusan yang kental roh Melayu mereka. Pun begitu, sejak akhir-akhir ini wabak yang melanda kepemimpinan politik turut merebak melanda mereka ini. Justeru, forum hari ini mendesak kerajaan lakukan rombakan besar-besaran kepada kepemimpinan dan pengurusan kanan di semua GLC, GLIC & PEA itu bagi pastikan setiap orang dari mereka itu kental roh Melayunya.

3. Kerajaan wajib dengan segera gubal dan kuatkuasakan Akta Kesaksamaan Peluang bagi membolehkan KEB bersaing dalam kancah ekonomi secara adil dan saksama. KEB, sekalipun majoriti adalah kerdil, mampu bersaing. Pun begitu, kerapkali mereka didiskriminasikan, terutama oleh bangsa mereka sendiri, termasuk oleh beberapa GLC, PLIC dan PEA.

4. Semua kepemimpinan dan pengurusan korporat dalam GLC, GLIC, PEA dan enabling agencies yang ada urusan dengan pemain industri KEB dan berperanan menjayakan agenda bumiputera, wajib menjalani latihan bina jati diri di OBS atau di institusi yang seumpama dengannya, bagi pastikan roh Melayu mereka dikembalikan.

5. Semua mereka juga wajib mengikuti kursus dan memiliki paling tidak Eksekutif Diploma Dalam Bidang Amalan Pengurusan Islamik dan wajib menganggotai Lembaga Pengurusan Institusi Islam Bertauliah. Mereka yang tiada kelulusan itu dan/atau tidak menganggotai lembaga itu tidak layak memegang apa-apa jawatan dalam kepemimpinan atau pengurusan GLC, GLIC, PEA atau enabling agencies itu. Ia bertujuan untuk memastikan kepemimpinan dan pengurusan semua institusi itu ditadbir urus dengan pengurusan yang benar-benar Islamik.

6. Mana-mana GLC, GLIC, PEA atau enabling agencies yang enggan mematuhi ketetapan di atas wajib diswastakan kepada KEB atau dibubar, tertakluk kepada kepentingannya.

7. Jika kerajaan memilih untuk mengekalkan juga mana-mana GLC, GLIC, PEA atau enabling agencies itu (menolak perkara keenam), KEB mendesak kerajaan menggubal secara menyeluruh locus standi setiap satunya yang hendaklah dengan jelas menyatakan peranan dan tanggungjawab mereka melaksanakan dengan jayanya tiga teras DEB dan tujuh teras PPEB itu, tanpa kompromi.

8. Setiap GLC, GLIC, PEA dan enabling agencies itu wajib telus dengan membangunkan pelantar-pelantar utama seperti SCDP & BDA atau dilengkapi dengan lain-lain fasiliti dan tools, bagi membolehkan KEB dapat akses dan menilai prestasi setiap satunya dalam real time, kerana sistem yang sedia ada kini terlalu kosmetik, kebanyakannya adalah ‘indah khabar dari rupa’.

9. Wajib ditubuhkan jawatankuasa bersama antara KEB dengan setiap kementerian, GLC, GLIC, PEA dan enabling agencies itu bagi pastikan keharmonian dan kesepakatan antara mereka sama-sama memacu pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara.

10. Sementara menunggu kesemua institusi itu diroh Melayukan semula, KEB mendesak kerajaan untuk bersamanya mentransformasikan salah satu institusi sedia ada (misalnya HDC) menjadi Islamic Industrial Development Corporation (IIDC), sebagai fraternity utama menjuarai agenda ekonomi bumiputera. Model pembangunan IIDC ini boleh guna pakai model pembangunan SIVA SF Norway yang terbukti amat berjaya memajukan small and medium enterprise (SME) di Norway.

Rumusannya, forum hari ini sepakat menyatakan bahawa semua institusi itu masih kekal relevan kepada pemerkasaan Agenda Bumiputera dan Masa Depan Negara, dengan beberapa syarat, terutamanya berkaitan:

  • Pastikan roh Melayu mereka kekal kental dan berani perjuangkan Agenda Bumiputera;
  • Disiplin dan budaya pengurusan mereka yang telus dan amalkan budaya tadbir urus yang Islamik;
  • Akui bahawa KEB, terutamanya dalam kalangan generasi muda dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), adalah berdaya saing tinggi dan komited laksanakan dengan jayanya tasking yang diberikan kepada mereka; dan
  • KEB lebih cenderung untuk berada dalam kancah ekonomi yang inklusif, bukan jadikan agenda bumiputera sesuatu yang eksklusif.