Maka persoalan yang timbul benarkah rakyat sebagai pengundi tidak menerima apa-apa kesan daripada pilihan yang dibuat dalam pilihan raya?

Perlu diingatkan keputusan pengundi untuk memilih wakil mereka di peringkat badan perundangan negeri ataupun di peringkat Parlimen Persekutuan memberikan kesan yang besar dalam aspek perundangan, belanjawan, polisi dan arah tuju negeri-negeri dan negara.

Kesan ini akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat untuk tempoh empat hingga lima tahun lamanya sehinggalah Parlimen yang dilantik dibubarkan. Maka, secara tidak langsung, kegagalan untuk memilih wakil yang berkemampuan akan memberikan kesan kepada masyarakat secara amnya.

Badan perundangan di Malaysia mempunyai peranan yang besar dan penting dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara. Berdasarkan doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia, badan perundangan atau legislatif, mempunyai peranan dan tugasnya yang tersendiri.

Wakil yang berada dalam badan ini diharapkan ­berupaya menjalankan tugas sebagai pembawa suara rakyat, mengimbangi serta memastikan badan eksekutif menjalankan polisi yang digariskan. Oleh itu, rakyat harus sedar peranan kecil mereka ketika mengundi dalam pilihan raya.

Misalnya Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan memberikan peruntukkan bahawa Perdana Menteri boleh dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong memperoleh sokongan majoriti.

Selanjutnya dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan juga menerangkan ­keadaan sekiranya Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian 4, Bab 4 menghuraikan secara terperinci berkenaan dengan perihal Badan Perundangan Persekutuan.

Ini boleh dilihat bermula dari Perkara 44 sehingga Perkara 65 yang meliputi keanggotaan, kelayakan, tatacara, saraan dan lain-lain. Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan contohnya menerangkan kuasa Perundangan Persekutuan yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis Parlimen yakni Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Keanggotaan Dewan Rakyat juga dinyatakan secara terperinci menerusi Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, yang ringkasnya meliputi setiap kawasan pengundian di dalam negara.

Selain itu, untuk menjamin kebebasan bersuara ahli-ahli Parlimen, Perkara 63 telah memperuntukkan keistimewaan yang diberikan kepada pengucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen semasa prosiding berjalan. Keistimewaan yang sama turut diperuntukkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Perkara 72.

Peruntukan mengenai kebebasan wakil rakyat bukanlah sesuatu perkara baharu. Banyak negara demokrasi telah mengamalkannya. Cuma yang berbeza mungkin kepada cara pelaksanaan.

Dewan perundangan adalah satu-satunya wadah yang diperuntukkan untuk menjalankan tugas-tugas menggubal undang-undang negeri dan negara.

Namun perlu ditekankan, sungguhpun badan perundangan Persekutuan dan negeri mempunyai tugas sebagai penggubal undang-undang, namun bidang kuasa badan perundangan masih terhad sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah bagi menghormati kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berperlembagaan.

Umpamanya, peruntukan dalam Perkara 73 Perlembagaan Persekutuan menggariskan bidang kuasa perundangan bagi peringkat persekutuan dan negeri, yang mana Parlimen dihadkan kepada penggubalan undang-undang untuk keseluruhan negara sedangkan undang-undang di peringkat negeri hanya boleh digubal oleh Dewan Undangan Negeri.

Seterusnya Perkara 74(1) Perlembagaan Persekutuan memberi satu peruntukan yang jelas mengenai bidang kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang seperti yang tersenarai dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Undangan Negeri pula mempunyai bidang kuasa untuk menggubal perkara yang tersenarai dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Melihat kepada kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, jelas seorang ahli Parlimen mahupun ADUN mempunyai mandat yang besar untuk menggerakkan badan legislatif.

Oleh itu, adalah menjadi satu keperluan kepada ­rakyat untuk memilih wakil yang mampu memahami aspirasi mereka, serta yang memahami undang-undang negara. Pemahaman mengenai subjek dalam Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama mampu membuatkan seorang ahli badan perundangan menjalankan tugasnya dengan baik.

Wakil rakyat yang dipilih tidak hanya terhad kepada tugas memotong reben perasmian atau yang hanya berswafoto dengan rakyat. Tetapi yang paling penting adalah berani menggunakan hak dan kuasa sebagai wakil rakyat di dalam dewan untuk membahaskan dan menjalankan peranan semak dan imbang badan legislatif.

Justeru sebagai rakyat kita mempunyai tanggungjawab besar kepada negara untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).