Jadikan musibah di negara-negara Islam lain sebagai ibrah atau teladan bahawa tanpa wehdah atau kesatuan berfikir dalam kalangan warga umat, musibah yang sama boleh terjadi kerana musuh perjuangan umat sentiasa menunggu kealpaan kita untuk melakukan dominasi.

Ini boleh terjadi kerana terdapat sebahagian warga umat Islam rela dijadikan kuda tunggangan didorong oleh sikap taksub, kegopohan membuat pertimbangan, rasa dendam dan kebencian yang mendalam sehingga lupa memikirkan nasib anak-cucu pada masa depan.

Musuh umat baik di dalam dan luar negara sentiasa mencari kesempatan dan bersekongkol dengan musuh dalaman supaya agenda peminggiran terjadi dengan tipu muslihat yang terancang.

Resam sejarah sifatnya mengulangi. Apa yang berlaku di Baghdad suatu ketika dulu diserang oleh tentera Tartar dan di Andalusia proses pengkristianan berlaku secara zalim menyebabkan tamadun Islam runtuh.

Apa yang sedang berlaku di Syria kini dan menyebabkan jutaan rakyatnya menjadi pelarian berakibat hilang­nya kesatuan umat dan akhirnya melibatkan kuasa besar seperti Rusia dan Amerika Syarikat mencetuskan malapetaka yang dahsyat.

Warga umat yang beriman dan dalam kalangan yang mempunyai kesedaran dan keinsafan yang tinggi harus tampil membuat pilihan yang betul supaya nasib anak-cucu akan datang terus terbela. Tanpa keinsafan ini bakal berlaku maksud pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Sekali kehilangan kuasa tidak mudah untuk didapatkan kembali kerana politik berasaskan fitnah dan dendam kesumat boleh berakhir dengan kerosakan dan kemusnahan seperti kata pepatah menang sorak kampung tergadai dan kalah jadi abu menang jadi arang.

Politik dendam kesumat bukan politik Islam. Politik Islam sentiasa memperjuangkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Menghina dan menaburkan fitnah semahu-mahunya adalah perbuatan mungkar. Akibat kekal dalam kemungkaran boleh menghasilkan musibah. Bila musibah terjadi warga umat bakal menerima padahnya.

Allah memberikan kita akal untuk berfikir dengan bijaksana. Allah kurniakan kita hati untuk membuat pertimbangan supaya pilihan yang dibuat adalah betul. Akal dan hati yang ditautkan dengan pedoman al-Quran bakal membimbing diri kita melakukan pencerahan. Pencerahan ini penting supaya maslahah ummah diutamakan dari maslahah peribadi dan kepentingan diri.

Maslahah ummah menuntut pertimbangan iman dan takwa dalam membuat keputusan dan pemilihan. Kalau keputusan yang dibuat mengambil kira maslahah masa depan generasi penerus ia adalah suatu keputusan yang bertanggungjawab.

Sebaliknya kalau pemilihan dibuat didorong oleh sifat benci dan dendam yang keterlaluan boleh menyebabkan malapetaka dan musibah. Jika ini terjadi akibat kealpaan dan kecuaian membuat pilihan, sesal kemudian menjadi tidak berguna.

Buatlah pertimbangan bahawa negara ini adalah milik kita satu-satunya. Warga umat adalah kelompok teras dan tidak menzalimi pihak lain. Amanah yang diberi membolehkan kita membantu kelompok teras di samping tidak melupakan pihak lain yang perlu dibantu.

Agenda memperkasa kelompok teras masih belum selesai. Tanpa punca kuasa ia bakal tinggal sebagai angan-a­ngan. Bayangkan sekiranya peluang pendidikan menjadi terbatas, meritokrasi dijadikan agenda mutlak tanpa mengambil kira situasi sosio politik ekonomi yang memerlukan kelompok teras dibela apa akan jadi kepada generasi umat pada masa depan.

Pertimbangan membuat pilihan berada di tangan kita. Sekiranya pemilihan yang dibuat berasaskan jiwa yang tenang dan tanggungjawab yang tinggi terhadap warisan masa depan, pilihan yang betul bakal terjadi.

Sekiranya niat kita mengundi dengan nafsul amarah yang tinggi dan tidak peduli akan apa yang bakal terjadi, kita bakal menyumbang kepada kehilangan punca kuasa dan ia menyebabkan musuh umat melakukan dominasi jangka pendek dan jangka panjang.

Kisah-kisah yang terkandung dalam al-Quran memberikan kita ibrah supaya teladan yang baik diikuti dan contoh yang buruk ditinggalkan. Inilah jalan selamat yang dipedomankan oleh Allah supaya warga umat terpandu daripada melakukan kesilapan. Iblis dan syaitan sentiasa mempengaruhi kita untuk melakukan kesilapan.

Membuat pilihan berasaskan iman dan takwa adalah jawapan terbaik supaya pemilihan dibuat berasaskan ­kesedaran dan keinsafan yang tinggi menjaga maslahah agama yang menjadi keutamaan kita.

Bila agama terpelihara kekuatan bangsa dan negara menjadi pelindung masyarakat teras. Inilah taklif atau amanah yang perlu disempurnakan dengan yakin supaya pemilihan yang silap tidak berlaku. Allah akan memberkati pilihan yang tepat demi kepentingan ummah dan Islam.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).