Sesuatu usaha itu sifatnya adalah ibadah sekiranya ia menepati empat unsur. Pertama, kembali kepada niat. Apakah niat mengundi untuk menghasilkan sebuah kerajaan yang jejak rekodnya terbukti memberi ruang umat Islam memajukan dirinya.

Kedua, matlamat mengundi. Apakah ia semata-mata untuk menjatuhkan sebuah kerajaan akibat didorong oleh kebencian dan dendam yang melulu. Atau undi diberi menginsafi perlunya kesinambungan punca kuasa supaya generasi hari depan turut terbela dan tidak dipinggirkan.

Ketiga ialah proses. Mengundi menuntut pemikiran tenang dan matang hasil kajian mendalam berasaskan fakta dan data benar supaya keputusan dibuat adalah betul dan tepat. Bayangkan keputusan salah akibat maklumat salah boleh menyebabkan kesan buruk terjadi dan pe­ngundi bersubahat dengan apa yang berlaku.

Keempat ialah natijah iaitu hasil daripada pendirian dibuat. Sekiranya niat mengundi adalah jujur dan ikhlas dipandu oleh matlamat bagi menjaga kepentingan maslahah umat dan Islam setelah melalui proses tabayyun atau kaji selidik jiwa tawakal bakal membawa kepada barakah dan rahmah bukannya malapetaka dan musibah.

Niat mengundi harus jelas, tulus dan telus. Apakah mengundi kerana hendakkan kuasa tetapi lupa mengenai agenda kesatuan umat. Senario umat Islam di Malaysia memerlukan fikiran tajam dan jiwa tenang untuk menilainya. Apa makna sesuatu kemenangan dicapai sedangkan ia menyumbang kepada perpecahan ummah dan akhir­nya dipinggirkan.

Secara makro negara kita masih dalam keadaan aman, ruang untuk kehidupan berkembang maju tetap wujud. Secara mikro pasti ada kelemahan yang perlu diatasi kerana sebuah negara majmuk seperti Malaysia kerenah ­warganya sudah tentu pelbagai.

Pendekatan politik Malaysia harus sifatnya menyantuni. Meruntuhkan asas bernegara yang sedia ada bukanlah jawapan terbaik. Dalam konteks umat Islam berpolitik mestilah berhemah supaya hubungan sesama umat terpelihara dan bukan Islam pula sentiasa dalam persefahaman yang tinggi. Ini menjadi syarat kerukunan politik terjadi. Ajaran Islam manakah yang menyuruh umat Islam melakukan fitnah kepada lawan politik sehingga ukhuwah hancur? Ajaran Islam yang mana yang menyuruh manusia taksub kepada tokoh sehingga apa saja yang terkeluar dari mulut ibarat kata-kata seorang ‘wali’ dan mempunyai karamah? Ini bukan ajaran Islam.

Mana lebih penting, faktor syarak atau pertimbangan politik dalam hal-hal berkaitan Islam. Kalau faktor Islam diketepikan dan faktor politik didahulukan bayangkan apa bentuk kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti. Bila Islam ditolak ia memberi kesan kepada umat dan Islam tidak dilihat sebagai elemen penting dalam pembinaan negara.

Kerajaan yang ada tidak mendakwa bahawa proses pengislamannya sudah sempurna. Tetapi ruang untuk Islam berkembang sangat nyata. Hanya orang yang tidak bersyukur kepada Allah saja yang menafikannya. Lalu dituduh kerajaan yang ada menolak Islam dan berlaku zalim terhadap rakyatnya.

Orang yang waras akalnya akan mengatakan ruang untuk beribadah dan melakukan dakwah di Malaysia amat terbuka luas. Tidak berlaku kezaliman terhadap mereka melakukan dakwah tetapi malangnya apabila mereka dapat tempat di masjid dan surau ia disalahgunakan sebagai tempat mengembangkan politik sempit dan mengelirukan.

Oleh itu, amat penting bagi warga umat dan masyarakat berfikir sejenak dan lakukan istikharah supaya pilihan yang betul dibuat. Tentunya pilihan yang betul dipandu oleh kepentingan ukhuwah dan wahdah sesama warga umat. Kuasa politik adalah satu-satunya kuasa yang masih tinggal berbanding kemampuan ekonomi dan pendidikan.

Justeru amat penting faktor kesinambungan terjadi. Pemerintahan yang dikendalikan oleh manusia tetap ada kelemahan. Tetapi trek rekod masa lalu harus dijadikan ukuran. Pilihan yang betul itu adalah suatu amanah.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).