Dalam mukadimah Resolusi 70/1 bertarikh 25 September 2015, PBB menyebut antara mereka yang dianggap sebagai golongan rentan adalah orang kurang upaya (OKU) yang perlu diberikan ruang dan peluang untuk menambah baik kelangsungan hidup mereka. Untuk matlamat ini, SDG 2030 berikrar memerangi sebarang bentuk diskriminasi berlandaskan ketidakupayaan seseorang bagi memastikan OKU mampu keluar dari rencah kemiskinan untuk sama-sama serta dalam pembangunan ekonomi, sosial dan budaya. Buat masa ini, kajian PBB menunjukkan hampir 80 peratus OKU sedunia hidup dalam kemiskinan.

Di Malaysia, hak-hak golo­ngan OKU dimartabatkan dalam peruntukan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) yang mentakrifkan OKU sebagai ‘mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat’. Bagi tujuan pendaftaran OKU pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyenaraikan tujuh kategori OKU: i) pendengaran, ii) penglihatan, iii) pertuturan, iv) fizikal, v) pembelajaran, vi) mental, dan (vii) pelbagai. Bahagian IV Akta 685 memaktubkan peruntukan perihal ‘Penggalakan dan Pembangunan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Orang Kurang Upaya’ yang antara lain menyebut tentang hak-hak OKU ke atas kemudahan khas di tempat-tempat awam, hak pendidikan, pekerjaan dan maklumat.

Walaupun penulis memuji langkah-langkah yang disediakan kerajaan dalam menyantuni hidup golongan OKU, namun masih ada beberapa penaikan taraf yang harus dipandang serius bagi memulihara hak-hak yang digendong melalui undang-undang. Antara yang paling jelas adalah hak OKU terhadap akses kepada kemudahan pengangkutan awam. Pada 2017 saja, terdapat beberapa kemalangan di kawasan pengangkutan awam yang mengakibatkan kecederaan serius kepada OKU. Antaranya, pada Mac 2017, seorang lelaki cacat penglihatan terjatuh ke landasan monorel sehingga menyebabkan patah bahu, pinggang dan paha.

Pada November 2017, Mohd. Hanapiah Yeop Shaharudin, juga OKU cacat penglihatan, koma selepas jatuh ke landasan monorel. Dua hari selepas kejadian itu, seorang lelaki OKU maut dilanggar komuter di Padang Besar. Kejadian ini seharusnya tidak dipandang ringan dan tatacara syarikat pengendali pengangkutan awam harus diperkemas untuk memastikan kemalangan melibatkan OKU tidak berulang.

Selain itu, golongan OKU juga belum mendapat penghormatan yang memadai menurut Seksyen 29 Akta 685 berkenaan dengan akses OKU kepada pekerjaan. Umum diketahui, di negara ini, golongan OKU menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan sehinggakan ramai yang menjadi penjual jalanan.

Rentetan kekangan hidup ini, timbul beberapa kisah tular me­ngenai penjual tisu di kalangan OKU. Misalnya, pada Januari 2017, seorang wanita cacat penglihatan dikecam netizen dengan tohmahan kononnya dia boleh melihat dan menggunakan status OKU semata-mata untuk meraih simpati. Namun selepas diselidiki, ter­nyata wanita itu adalah pemegang kad OKU yang sah. Penerimaan dan kepekaan masyarakat juga haruslah diberikan penekanan agar golongan OKU tidak terus dipinggirkan dalam pe­nyempurnaan agenda pemba­ngunan SDG 2030. Antara yang sering dibangkitkan oleh golongan OKU adalah sikap kurang prihatin mereka yang sempurna upaya.

Contohnya, tidak memberikan laluan kepada OKU untuk bergerak dengan selamat dan mengetepikan hak OKU ke atas kemudahan yang disediakan khusus untuk OKU seperti tandas, tempat parkir dan lif. Malahan ada juga penunggang motosikal yang mementingkan diri sendiri sehinggakan tergamak meletak motosikal mereka di atas laluan khas OKU cacat penglihatan. Ini menyukarkan pergerakan golongan OKU terutama di kawasan awam.

Penulis amat berharap ahli ma­­syarakat yang memiliki tubuh sihat yang sempurna untuk membuka pandangan mata dan minda untuk meletakkan hak-hak golongan OKU melebihi hak mereka sendiri sebagai menghormati pihak yang lebih memerlukan. Janganlah dek kerana sikap pen­tingkan diri sendiri, sehinggakan golongan OKU dipencilkan dan lebih teruk lagi, dianiaya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.