Selain anak tempatan, Si­ngapura menjadi tumpuan anak-anak Melayu Semenanjung de­ngan kesedaran nasionalisme yang mahu berada dalam suasana lebih bebas untuk bertindak dan bersuara dalam perjuangan menentang penindasan dan penjajahan tanpa sekatan feudalisme, perkauman dan agama.

Seorang peguam muda pintar yang baru pulang dari pengajian di England dan mempunyai cita-cita besar politik melihat kesedaran nasionalisme dalam kalangan orang Melayu yang dijuarai dengan bera­ninya oleh akhbar Utusan Melayu sebagai jambatan perjuangannya.

Kuan Yew mungkin telah pun mengkaji keadaan ini atau mendapat maklumat mengenainya sebelum pulang ke Singapura untuk memulakan karier politiknya. Beliau mendekati Utusan Melayu dan wartawan kirinya, Samad Ismail yang dalam tahanan British untuk menjadi pembe­lanya. Beliau kemudiannya menjadi peguam pertama Utusan Melayu yang menyebabkan beliau dite­rima dan mulai popular dalam kalangan kesatuan sekerja dan pejuang antipenjajah.

Kalau dilihat dari awal penubuhan PAP yang dirancang dan di­bincang antara Samad dengan Kuan Yew dan beberapa lagi pemim­pin Melayu daripada kesatuan sekerja, nampak kecende­rungan mendiang untuk menjadikan orang Melayu sebagai rakan perkongsian politiknya di Singapura.

Samad berperanan aktif mem­bangkitkan sokongan o­rang Me­­layu kepada PAP menerusi tulisan-tulisannya di Utusan Melayu dan membawa masuk orang Me­layu dan wartawan Utusan Melayu ke dalam PAP seperti Othman Wok dan Baharuddin Mohamed Arif.

Jika ideologi tidak menjadi punca perpecahan antara golo­ngan pelampau kiri dan sederhana dalam perjuangan sosialisme PAP di Singapura, Samad mungkin telah berada dalam barisan pucuk pemerintahan Singapura tetapi Samad kerana radikalnya dibuang ke Jakarta sebagai wartawan Utusan Melayu. Beliau membantah dengan berhenti dari Utusan Melayu pada 1958 dan ditawarkan bekerja dengan Straits Times (ST) Kuala Lumpur.

Ketakutan Kuan Yew terhadap Samad tidak berakhir. Beliau cemas apabila melihat Samad berjaya membawa rakan-rakan Marxistnya mengelilingi Tun Abdul Razak Hussein seperti Abdullah Majid menjadi setiausaha akhbarnya dan James Putucheary yang berperanan membantu me­rangka Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ketakutan ini menyebabkan beliau mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Hussein Onn sebaik sahaja kematian Abdul Razak untuk menahan Samad di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sejak penyertaan PAP dalam Pilihan Raya Malaysia 1964, Utusan Melayu beralih memusuhi Kuan Yew dengan membakar nasionalisme Melayu di Singapura.

Walaupun peningkatan peranan politik Kuan Yew di Si­ngapura bukan atas permainan isu perkauman tetapi untuk mendapat sokongan orang Cina dan bukan Melayu di Malaysia, mendiang memainkan sentimen mereka dengan menentang kedudukan raja-raja Me­layu, menuntut persamaan hak dan memomokkan sesuatu yang berbau Melayu sehingga Tunku Abdul Rahman yang sedang berubat di London membuat keputusan dari katil hospital untuk menying­kirkan Singapura dari Malaysia.

Walaupun Samad tidak lagi berada dalam Utusan Melayu, beliau tentunya bergembira dengan sikap Utusan Melayu memusuhi Kuan Yew dan kerana peranannya yang berkesan dalam membangunkan sentimen ke arah penyingkiran Si­ngapura dari Malaysia yang sekali gus mematahkan cita-cita dan impian besar mendiang.

Bagaimanapun, Samad tidak menyangka bahawa Kuan Yew akan terus memburunya walaupun beliau telah membawa diri ke Kuala Lumpur.

Perpisahan antara Singapura dan Malaysia, telah memberikan kekuatan baharu kepada Kuan Yew untuk mengalihkan tragedi menjadi suatu peluang besar untuknya membangunkan visi, mengambil inisiatif dan menjadi lebih kreatif dan inovatif untuk membina Singa­pura yang lebih baik, lebih kuat dan dapat mendahului Malaysia menjadi negara maju.

Beliau berjaya membangunkan kekuatan suatu bangsa baru yang melampaui batas kaum dan agama dan dalam hal ini beliau tidak sahaja menekan perkauman Melayu tetapi juga membunuh institusi-institusi perkauman Ci­na termasuk sekolah Cina dan universiti Cina, menghapuskan kegiatan samseng dan mengemukakan kepada dunia sebuah Singapura yang bersih, cekap dan amanah (BCA) di bawah kepimpinan yang tegas menolak rasuah dan skandal dalam kerajaan dan juga pembangkang.

BCA yang pernah menjadi janji pilihan raya Malaysia, menerima impak berbeza kerana tidak menggunakan ‘tangan besi’ seper­ti Kuan Yew.

Apapun mahu dikatakan tentang Kuan Yew, beliau tidak me­ninggalkan Singapura yang miskin dan pincang sebaliknya Singapura yang aman makmur yang dapat melimpahkan kekayaannya kepada Malaysia di samping wa­risan kematangan kepimpinannya yang mengutamakan kerjasama ekonomi dan keselamatan antara kedua-dua negara walaupun perselisihan timbul dari semasa ke semasa.

Kuan Yew pernah mengama­natkan sekiranya berlaku penyelewengan dalam pemerintahan Singapura maka beliau akan bangun dari kuburnya (lihat The Best Of Lee Kuan Yew di Google). Siapakah yang akan terus memegang amanat ini selepas anaknya Lee Hsien Loong?

Demikianlah sekadar untuk mengenang suatu zaman besar yang telah berlalu dalam hubu­ngan Kuan Yew dan Utusan Me­layu yang penuh dengan gelora.

Saya turut merasakan kehila­ngan pemergiannya kerana saya telah mengikuti jejak perjuang­an­nya sejak awal dan mengaguminya sebagai seorang pemimpin besar yang berjaya menghadapi pelbagai cabaran dan dapat membangunkan suatu bangsa dan negara yang kuat dan bermaruah di tengah-tengah Nusantara Melayu.

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN 
yang banyak menulis tentang Kuan Yew sejak menjadi Ketua Pengarang 
Kumpulan Utusan dari 1983 hingga 1992 ialah bekas Menteri Penerangan. Tulisan penuh beliau boleh diikuti dalam blog ­zamkata.blogspot.com