LinkedIn adalah perkhidmatan rangkaian sosial berasaskan pencarian pekerjaan dan perniagaan yang beroperasi menerusi laman web. Baca kata kunci di atas 'pencarian pekerjaan’. Ya, anda boleh meninjau peluang kerja, dan ditinjau oleh bakal majikan.

Menerusi profil dalam akaun, LinkedIn akan secara automatik mengenal pasti industri yang anda berkecimpung atau pendidikan. Kemudian, anda akan dipadankan dengan tawaran pekerjaan industri berkaitan.

Jika berminat, anda hanya perlu menekan butang yang seterusnya disambungkan kepada syarikat tersebut. Mereka kemudian akan membelek butiran peribadi anda, dan jika mengagumkan, anda akan dipanggil untuk temu duga bersemuka.

Benar, Linkedln kurang glamor seperti Facebook atau Instagram, malah se­ca­ra peribadinya saya membiarkan akaun Lin­ked­In dorman agak lama, kerana tidak mengerti ke­lebihannya ketika itu. Ada sahabat yang ditanya pun mengaku tidak aktif ke­rana menganggap Lin­kedIn sebagai sesuatu yang profesional, serius dan Facebook lebih s­eronok.

Dan itulah hakikatnya LinkedIn yang lahir pa­da 5 Mei 2003 iaitu plat­­form jalinan para profesional, lokasi bagi majikan mengiklankan kekosongan jawatan dan bagi individu seperti anda, mengiklankan diri be­serta butir-butiran penga­laman kerja.

Menurut kenyataan ras­mi LinkedIn, ke­ba­nyakan perolehannya pada 2015 diraih daripada pe­njualan akses kepada maklumat mengenai peng­guna kepada ejen pencari pe­kerja dan profesional jualan.

Dan sehingga September 2016, LinkedIn kini memiliki lebih 467 juta akaun, dan 106 juta daripadanya adalah pengguna aktif.

Teknik LinkedIn adalah sama sahaja dengan Facebook. Mula-mula, anda membuka akauan di mana profil peribadi andalah menjadi tarikan utama.

Kemudian anda boleh 'pelawa untuk jadi rangkaian’ orang lain sama ada daripada industri yang sama atau berkaitan, sekali gus mencipta suatu hubungan profesional.

Ruang utama LinkedIn juga sama seperti Facebook di mana anda boleh menyiar atau berkongsi berita atau pernyataan. Beberapa tahun lalu, hampir keseluruhannya berkaitan industri atau tawaran peluang kerja.

Pendekatan

Sejak kebelakangan ini, pendekatan tradisional seumpama itu sudah tidak diendahkan. Semakin ramai pula yang mengutuskan pernyataan yang menyerupai apa yang mereka buat di Facebook, Twitter atau Instagram.

Beberapa pemerhati telah mengulas perkara ini. Ada yang menyifatkannya sebagai 'kelaziman baharu’ atau the new normal.

Ada pengguna tegar LinkedIn tidak selesa dengan perubahan ini. Mereka menyatakan, cukuplah Facebook menjadi diari terbuka individu di alam maya. Serba-serbi, segala-gala apa anda lakukan seharian, 'mesti’ disiar dalam Facebook.

Lantaran Facebook sudah merubah gaya hidup manusia hari ini. Facebook adalah ruang meminta simpati, ruang meluah geram, ruang berniaga, ruang menyebar berita, ruang menayangkan kemewahan, ruang menunjukkan destinasi pelancongan dan paling berat serta amat menyedihkan, menjadi medan perdebatan politik.

Maka sebilangan yang rimas dengan fungsi Facebook, beralih ke platform lain seperti LinkedIn, yang sepatutnya fokus dan tradisional. Tetapi kini tidak lagi. Saban masa ada sahaja yang tampil dengan pernyataan 'comel’ sama seperti dalam Facebook.

Lebih mencuit hati, orang itu tertera jawatannya dalam syarikat. Sekurang-kurangnya dalam Facebook, ada nama dan gambar sahaja. Boleh lagi sorok.

Walaupun saya aktif menggunakan LinkedIn, tidaklah disebabkan faktor mahu mencari kerja lain. Ini kerana:

* Sudah berapa tahun pun aktif, tiada siapa datang meminang. Saya faham, kelayakan rendah tetapi mahu gaji tinggi telah menakutkan ramai calon majikan.

* Saya gunakan LinkedIn ini paling utama adalah sebagai wadah untuk berkongsi dan menyebar luas artikel setiap Ahad saya dalam ruangan Merrepak di Mingguan Malaysia.

* Ini adalah sebahagian usaha menambah lagi capaian pembaca akhbar ini.

* Cuma artikel ini hanya dimuat turun ke LinkedIn selepas seminggu disiar dalam akhbar, dan disambung ke Facebook serta Twitter. Ini pun usaha agar pembaca setia Merrepak, membacanya di dalam akhbar terlebih dulu.

Anda yang belum ada akaun LinkedIn, saya syorkan buatlah. Tidak rugi mencuba.

Banyak maklumat berguna di dalamnya, walaupun ada gaya-gaya Facebook mula masuk.

Fungsi utamanya ialah membantu individu mencari kerja dan majikan mencari calon pekerja.

Contoh terdekat ialah laporan akhbar New York Times baru-baru ini bahawa para pelajar lepasan sekolah tinggi mereka, membuka profil LinkedIn untuk dimasukkan ke dalam permohonan kolej. Cubalah! Tak kena bayaran apa pun.