Itulah suasana yang boleh dilihat di Pasar Buku Bangi di tempat letak kereta Perpustakaan Awam Bangi, Selangor pada setiap Sabtu kedua dan keempat. Pasar ini diadakan dengan kerjasama pihak perpustakaan berkenaan. Sudah berlangsung hampir dua tahun, pasar buku ini membuahkan beberapa pasar lain misalnya Pasar Buku Kota Bahru pada setiap Sabtu akhir bulan dan Pasar Buku Rumah Pena pada setiap Sabtu pertama. Akan datang Pasar Buku Melaka dan Pasar Buku Ipoh.

Pasar buku? Macam lekeh dan marhaen tarafnya. Memang benar pasar buku yang menjadi fenomena sekarang kelihatan lekeh. Tetapi jangan lupa, hanya di pasar seperti ini pemburu buku dan pembaca tegar boleh mendapat buku langka dalam pelbagai bidang; daripada sastera, pemikiran Islam, ketenteraan hinggalah komik. Harga dalam lingkungan RM800 dan RM5 senaskhah.

Ini menunjukkan buku bukan sahaja tidak boleh dinilai dari kulitnya malah di mana buku itu dijual. Pemburu buku langka lebih memilih pasar buku berbanding kedai buku mewah kerana di sini lubuk buku langka yang bernilai dan berharga tinggi. Harga bukan halangan bila hati terpikat pada buku yang dicari selain usianya.

Buku yang baik tidak pernah ada luput tarikh. Ilmu di dalamnya tidak pernah ketinggalan zaman. Malah sentiasa memberi manfaat kepada pembaca sekalipun sudah jauh dari lingkaran zamannya. Tentu amat merugikan kalau ilmu yang sarat dalam sesebuah buku terperap di rak atau stor. Jadi, pasar bukulah tempatnya.

Membaca itu pemangkin menjadikan manusia berjiwa dan beradab. Orang bijak pandai ada berpesan, untuk membezakan antara seorang dengan yang lain lihatlah buku yang dibaca dan kawan yang didampingi. Maknanya pilihan buku boleh menjadi petunjuk tahap peribadi dan pemikiran.

Di Pasar Buku Bangi menghimpun lebih 20 orang penjual dan kolektor buku. Walaupun sifat Pasar Buku Bangi marhaen sifatnya tetapi ada dalam kalangan penjualnya terdiri daripada pensyarah, profesor, wartawan juga sasterawan. Ini kerana sifat buku itu sendiri merentas sempadan pangkat, kedudukan dan ideologi

Buku yang baik dihasilkan oleh pengarang yang hebat. Sementara pengarang yang hebat pula mesti seorang pembaca yang tegar dan arif menghadam yang dibacanya. Oleh hal yang demikian hanya orang yang memburu ilmu sahaja yang tidak pernah dijajah pemikirannya. Salah satu kaedah memburu ilmu ialah dengan membaca.

Kerana itulah ketika tentera Tartar yang dipimpin oleh Kazan menyerang Damsyik pada tahun 699 Hijrah, antara tindakan utama yang dilakukan selain membunuh orang Islam dan mencabul wanita ialah memusnahkan perpustakaan. Ini tempat menyimpan buku untuk dibaca oleh rakyat. Tentera Tartar berbuat demikian kerana orang yang membaca buku sukar untuk ditawan rohani dan jasmaninya

Demikianlah relevannya inisiatif komuniti penggemar buku menganjurkan pasar buku. Fenomena ini kian berkembang dan memperlihatkan buku sebenarnya mempunyai khalayaknya tersendiri. Di pasar buku pemburu dan penggemar tegar bertukar maklumat mengenai dunia buku. Macam tidak percaya ada kegilaan yang sangat unik terhadap buku. Inilah “kegilaan” yang membuatkan seseorang itu sentiasa dalam keberuntungan.