Usaha Malaysia menerajui Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) juga boleh dianggap salah satu matlamat bagi tujuan ini. Pun begitu jendela ekonomi Islam ini wajar dibuka seluas yang boleh.

Di Turki misalnya, pembangunan sektor ijtima’ij terutama waqf, adalah di antara yang termaju dalam kalangan negara-negara Islam. Di Malaysia, penubuhan Yayasan Waqf Malaysia (YWM), Perbadanan Waqf Selangor serta pemodenan pengurusan Lembaga Zakat Selangor misalnya wajar diangkat sebagai usaha murni Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Selangor ke arah itu.

Pun begitu gerakan kebangsaan (national movement) bagi menggalakkan umat Islam terlibat sama secara aktif dalam setiap inisiatif itu masih belum diusahakan. Pada hemat saya, kedua-dua gerakan ini - di pihak kerajaan dan rakyat - wajar digerakkan seiringan bagi memastikan rakyat bersama kerajaan dalam pelaksanaan sesuatu inisiatif untuk ia lebih berkesan.

Pada 18 Mei lalu, Tan Sri Abd. Aziz Rahman, Ahli Lembaga Penasihat MPM yang juga Pengerusi Panel Perunding Perpaduan Ummah YADIM menyarankan agar Majlis Agama Islam melihat kembali locus standi mereka dalam memajukan agama Islam dengan cara yang lebih holistik termasuk kemajuan ekonomi Islam.

Beliau menyarankan setiap Majlis Agama Islam Ne­geri menubuhkan Jabatan Hal-Ehwal Ekonomi. Kebetulan pula, Lembaga Penasihat MPM yang bersidang pada 18 Mei juga membincangkan agenda yang sama mengenai isu Tanah Simpanan Me­layu yang dilihat masih gagal ditangani dengan berkesan oleh kerajaan.

Di antara cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat itu termasuklah menge­syorkan kepada Institusi Ra­ja-Raja Melayu di setiap negeri supaya menubuhkan Perbadanan Pembangunan Ta­nah Simpanan Melayu.

Perbadanan ini diletakkan terus di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri, sekali gus perbadanan ini berada di bawah bidang kuasa Sultan.

Sayugia kita semua maklum, pentadbiran hal-ehwal Islam adalah bidang kuasa mutlak Sultan bagi setiap negeri. Bagi Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, ia adalah di bawah bidang kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Apa jua hal-ehwal berkaitan Islam, termasuk muamalat boleh diletakkan terus di bawah pentadbiran MAIN.

Ini bermakna bagi memajukan ekonomi masyarakat Islam, mereka ada dua ‘jendela’ yang boleh diterokainya melalui jendela pentadbiran kerajaan atau melalui jendela yang dibuka oleh Majlis Agama Islam. Pentadbiran kerajaan telah direncanakan untuk mentadbir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat termasuk hal-ehwal berkaitan ekonomi. Itu kita semua sedia maklum. Pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri pula memfokus kepada pembangunan ummah termasuk hal-ehwal muamalat mereka. Inilah jendela ekonomi umat Islam yang sebenarnya belum dibuka seluas yang mungkin untuk dimanfaatkan oleh umat Islam.

Pun begitu, bisnes adalah sesuatu yang universal dan inklusif. Tidak bermakna apabila sesuatu aktiviti ekonomi itu diletakkan di bawah pengurusan sesebuah perbadanan yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam, ia hanya boleh berurusan dengan masyarakat Islam sahaja.

Tidak begitu. Ia juga boleh berurusan dengan masyarakat bukan Islam. Itu sebabnya di zaman Rasulullah SAW, baginda menggubal Piagam Madinah, yang antara lainnya membolehkan mereka bukan Islam berurusan dengan masyarakat Islam dalam apa jua urusan termasuk muamalat. Ini kerana perundangan syariah tidak wajar dikenakan ke atas mereka bukan Islam. Maknanya, dalam konteks pembangunan ekonomi Islam, tiada sekatan atau larangan yang mengehadkan masyarakat Islam berurusniaga dengan bukan Islam, asalkan mereka akur dengan tata-cara ekonomi moral (ekonomi taqwa) dalam Islam.

Berbalik kepada jendela ekonomi Islam itu, jika di­terima peranan Majlis Agama Islam sebegitu luas. Ba­nyak perbadanan dan koperasi Islamik wajar diperbadankan di bawah Majlis Agama Islam di setiap negeri. Bukan sekadar perbadanan waqf dan zakat sahaja. Bayangkan, jika kita memilih untuk memajukan 16 sektor ekonomi yang utama dan setiap sektor itu ada perbadanan atau koperasi Islamik menerajuinya di setiap 14 negeri (termasuklah Wilayah Persekutuan), maka akan ada lebih 200 perbadanan ekonomi yang dikuasai Majlis-Majlis Agama Islam yang mampu memanfaatkan ekonomi masyarakat Islam.

Model-model pengurusan perbadanan ekonomi Islam yang berjaya untuk diteladani telah ada. Hanya yang perlu digerakkan ialah kesediaan kepimpinan semua Majlis Agama Islam Negeri terutamanya mengislahkan locus standi mereka dan menyerapkan lebih ramai golongan profesional dan iktisas menyertai majlis ini. Libatkan mereka untuk sama-sama menyediakan agenda kemajuan ekonomi Islam untuk diperkenankan oleh Sultan untuk dilaksanakan.

Dengan cara ini juga ia memberi kesempatan untuk Institusi Raja-Raja berperanan lebih aktif dan berkesan dalam pembangunan agenda kemakmuran rakyat di negeri masing-masing. Setiap inisiatif itu baginda boleh diberi peranan sebagai penaung. Malah setiap inisiatif itu boleh distatuskan sebagai Projek Diraja jika perlu.

Justeru, rakyat wajar didorong untuk tampil me­nyarankan setiap Majlis Agama Islam memberikan respon positif mereka kepada saranan Abd. Aziz itu. MPM bersedia menerajui peranan itu, dengan hasrat usaha ini akan dapat membuka lebih luas jendela ekonomi Islam yang begitu besar potensinya.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis

Perundingan Melayu (MPM).