Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Membudayakan integriti melalui sastera

SASTERA  dan integriti  adalah ibarat aur dengan  tebing dan jika
SASTERA dan integriti adalah ibarat aur dengan tebing dan jika disalurkan melalui teknik latihan yang lengkap iaitu melalui kaedah audio, visual serta kinestatik ia mampu memberi kesan kepada emosi, jiwa dan pemikiran masyarakat.GAMBAR HIASAN/UTUSAN

TANGGAL 23 April lalu genap­lah 13 tahun Pelan Integriti Nasional dilaksanakan di Malaysia dengan misi besar utama menjadikan masyarakat Malaysia sebuah masyarakat yang berakhlak mulia, kukuh ciri-ciri moral dan kuat pegangan agamanya.

Sesuatu yang turut membanggakan ialah keterlibatan banyak pihak terutamanya golongan penulis yang bergabung di bawah payung Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) yang turut sama komited dalam membantu negara melahirkan masyarakat yang berbudi pekerti luhur melalui karya-karya seni dan sastera.

Berbekalkan tema, Transformasi Nasional dan Sastera Kebangsaan, Hari Sastera Ke-17 telah disambut meriah dengan kehadiran para penyair dan sasterawan yang datang dari seluruh pelosok tanah air, Singapura, Brunei dan Indonesia yang berkampung di Labuan selama tiga hari baru-baru ini dengan ukhuwah persaudaraan yang begitu erat yang hanya dapat dipaparkan melalui serangkap pantun indah, karya sasterawan ulung Khadijah Hashim yang berbunyi:

Lepas hujan bertambah cen­dawan,

Hasil kampung pisang dan nenas,

Makan sepinggan minum secawan,

Sama berpayung hujan dan panas.

Pantun ini mencerminkan semangat persaudaraan yang dipamerkan oleh para penulis dan sasterawan yang berkampung di keheningan Pulau Labuan yang tenang dan jauh dari hiruk pikuk kota metropolitan itu. Kebetulan penulis pula diundang sebagai Ahli Panel Forum bagi membicarakan satu tajuk yang cukup relevan iaitu, Penyemaian Nilai-Nilai Murni Melalui Sastera.

Membicarakan tajuk berkenaan kepada para sasterawan serantau bukanlah satu perkara yang mudah, tambahan pula antara yang hadir adalah para penulis ‘otai’ yang juga ‘sifu’ kepada penulis sendiri seperti Datuk Dr. Zainal Kling, Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu Gapena, Dr. A Ghafar Ibrahim dan ramai lagi. Sesungguhnya sastera dan integriti ibarat aur dan tebing dan jika disalurkan melalui teknik latihan yang lengkap iaitu melalui kaedah audio, visual dan kinestatik mampu memberi kesan pada emosi, jiwa dan pemikiran masyarakat.

Penggunaan sastera dan falsafah sebagai cara pembentukan akhlak dan sahsiah telah bermula sejak berkurun lamanya. Seorang ahli sejarah Barat George Sarton telah membahagikan tahap pencapaian tamadun ilmu kepada beberapa zaman antaranya:

* Tahun 450 SM-500 M - Zaman Plato (tamadun Yunani);

* Tahun 600-700 M - Zaman Kecemerlangan Tamadun Cina;

* Tahun 750-1100 M - Zaman Kegemilangan Islam, dan;

* Selepas 1100 M - Zaman Kegemilangan Tamadun Barat.

Dalam sejarah keilmuan dan kesusasteraan Islam, usaha-usaha penterjemahan hasil kesusasteraan Yunani telah digalakkan oleh Khalifah Bani Abbassiah iaitu Al Ma’mun (813-833). Sejajar dengan itu Baitul-Hikmah telah ditubuhkan sebagai pusat keilmuan dan kesusasteraan Islam bagi mendidik masyarakat tentang penghayatan dan pengamalan nilai murni dalam kehidupan.

Hasil pembudayaan ilmu ini maka lahirlah cendekiawan ter­kenal yang bernama Al Khindi atau dikenali dalam bahasa Latin sebagai Alkhindius yang telah menterjemah semua karya ahli falsafah ulung Yunani termasuk Plato, Socrates dan Aristotle.

Sebagai Ketua Baitul-Hikmah, pengaruhnya terhadap pembudayaan ilmu dan sastera amat besar dalam kalangan umat Islam ketika itu dan mendapat kedudukan yang tinggi dalam kalangan pemerintah seperti Al Ma’mun, Al-Mu’tasim dan Al-Wathiq tetapi nasibnya berubah semasa peme­rintahan Khalifah Al-Mutawakkil (847-861 M) yang kembali menyokong firqah ASWJ berban­ding dengan fahaman Muktazillah yang disokong oleh pemerintah terdahulu yang mana natijahnya Al Khindi telah ditangkap, dipecat daripada mengepalai Baitul-Hikmah, dikenakan 50 sebatan di khalayak ramai dan kesemua buku dalam perpustakaannya yang dinamakan Al-Khindiyyah dirampas dan dibakar.

Kegemilangan dunia kesusasteraan Islam selepas itu dinobatkan pula oleh para penyair dan ilmuwan seperti Al-Farabi yang te­lah menterjemahkan karya ulung Aristotle iaitu Anima dan Physica ke bahasa Arab.

Al-Farabi yang mendapat gelaran Aristotle Kedua menyuarakan pendapat bahawa matlamat hidup manusia ialah bagi mendapat kebahagiaan sebenar yang hanya akan dapat dicapai melalui nilai-nilai intelektual.

Seterusnya dunia keilmuan Islam dimeriahkan lagi dengan kelahiran Ibnu Sina, ahli falsafah dan perubatan ulung yang terkenal dengan karyanya, Bukti Kenabian (Proof of Prophecies).

Kegemilangan itu diteruskan pula dengan kelahiran Hujjatul Islam, Imam Abdul Hamid Al-Ghazali yang terkenal dengan karya agungnya, Ihya Al Ulumuddin dan Arbain Fi Usulludin. Kecemerlangan falsafah dan kesusasteraan Islam ini diperlengkapkan dengan kelahiran tokoh terakhir yang bernama Ibnu Rushd atau dikenali Barat sebagai Averroes.

Beliau mendapat tempat di hati kepimpinan negara Islam di Andalusia iaitu Khalifah Abu Ya’qub Yusuf. Namun demikian beliau juga menerima nasib yang sama seperti Al Khindi di zaman pemerintahan Khalifah seterus­nya bila mana karyanya mengundang kritikan daripada golongan ahlul naqli hingga menyebabkan karya-karyanya dibakar dan beliau melarikan diri ke Maghribi dan meninggal dunia di sana.

Begitulah catatan sejarah dunia kesusasteraan Islam yang mendapat pengaruh begitu meluas sehingga berjaya mencorakkan firqah pemikiran dan cara hidup masyarakat ketika itu. Mudah-mudahan dunia kesusasteraan negara kita hari ini akan terus berkembang dengan kelahiran ramai para penulis muda dengan nilai pemikiran dan hasil karya kesenian alaf baharu.

Apa yang paling utama ialah hasil-hasil karya ini kelak akan mampu mendidik manusia melalui kata-kata indah sejajar dengan apa yang Allah SWT unjurkan me­lalui firman-Nya: “Dan ucapkanlah kata-kata yang menarik kepada manusia.” (Surah al-Baqarah ayat 83). Dalam ayat yang lain Allah SWT mengulangi pesanan itu melalui firman-Nya: “Dan ucapkanlah kata-kata yang manis kepada mereka.” (Surah An–Nisa ayat 5).

Perumpamaan lama mengatakan bahawa ‘mata pena itu adalah lebih tajam daripada mata pedang’. Semoga hasil-hasil karya sastera kita dalam dekad-dekad yang akan datang membawa mesej utama iaitu menyeru manusia ke arah kebaikan sebagaimana pantun yang dinukilkan oleh Pendeta Zaaba, atau Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (1895-1973), anak kelahiran Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dalam karyanya yang bertajuk, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Penulis ingin menutup bicara kali ini dengan pantun sinikal beliau yang mempunyai makna mendalam:

“Buatlah baik ayuhai kawan,

Ke dalam laut engkau campakkan,

Walaupun tidak disambar ikan,

Tuhanmu tahu ya ke bukan.”

PENULIS ialah Timbalan Pengarah dan Penyelaras Program Institusi Pentadbiran Awam di Institut Integriti Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain