Oleh itu terlalu banyak kebimbangan yang dilahirkan tentang himpitan masyarakat bukan Islam terhadap kekuatan Islam, agensi-agensinya, hukum hakamnya, malah kedudukan umat Islam sendiri mutakhir ini. Hal ini adalah isu kritikal bagi masyarakat Islam yang ditimbulkan di luar sempadan ajaran agama Islam sendiri dan peruntukan undang-undang yang dilindungi oleh institusi diraja serta Perlembagaan negara, malah sememangnya hal ini perlu diberikan perhatian serius.

Namun begitu hal ini juga sebenarnya adalah isu yang dimainkan oleh ahli politik yang bertenta­ngan ideologi dan ali­ran masing-masing. Malah lebih mengeruhkan suasana apabila ia berjaya menarik perhatian ahli agama untuk menyokongnya termasuk fatwa yang dikeluarkan oleh mufti, yang dalam istilah yang longgarnya bolehlah diibaratkan sebagai gabungan ulama dan umarak yang menjadi penggempurnya.

Sekiranya umarak dan ulama bersengketa atas dasar peribadi, kroni, taksub dan emosi sempit masing-masing, maka negara seluruhnya tidak akan mendapat sebarang faedah daripada perbalahan ini, malah negara atau bangsa itu tidak memerlukan musuh dari luar untuk merosakkannya kerana permusuhan dan konflik dalaman atau intra-conflict antara dua golongan ini sudah cukup untuk menimbulkan permusuhan, perpecahan dan se­kurang-kurang menimbulkan kepelbagaian salah faham.

Dalam keadaan biasa, sememangnya penguasa atau umarak, pewaris Nabi atau ulama, tidaklah seharusnya terperangkap di dalam permainan yang amat berbahaya itu. Umarak dan ulama tidak seharusnya bersaing de­ngan para selebriti untuk mencari populariti. Tugas ulama dan umarak bukanlah tugas peribadi, untuk mencari kekuatan sendiri, tetapi tugas mereka adalah bersama untuk melaksanakan konsep amar maaruf nahi mungkar, mendidik generasi ini dan akan datang, mengawal masyarakat dan menyelesaikan masalah.

Pengalaman penulis sebagai Duta Malaysia di Arab Saudi dari 2005 sehingga 2008 amat membanggakan ketika Malaysia dan Turki sering ditonjolkan sebagai dua buah negara Islam contoh yang aman serta yang memba­ngun pesat dalam teknologi dan industri. Sememangnya Malaysia yang terdiri dari kepelbagaian kaum ini tidak sangat menghadapi krisis perkauman atau penindasan agama sama sendiri, kecuali pada 1969 ketika berlaku krisis, yang sebenarnya lebih merupakan krisis perkauman dan ekonomi dan bangsa Malaysia telah mengambil pelajaran yang paling berguna dari peristiwa keganasan itu.

Rakyat Malaysia tidak pernah mengangkat senjata bagi me­lakukan keganasan sama sendiri. Malah hingga kini keadaan ini masih terkawal dan perpaduan kaum berlaku dengan baik, juga perbezaan agama masih dapat dikawal pada umumnya.

Hingga saat ini, dalam situasi inilah kita berasa amat ajaib bahawa rakyat kita yang cintakan perdamaian, tiba-tiba akan terpengaruh dengan pergerakan Daesh yang menganggap bahawa Malaysia kini diperintah oleh Raja dan pemimpin negara yang tidak berlandaskan syiar Islam seperti ke­nyataan yang diterbitkan oleh pihak polis dan terpapar di dalam akhbar negara kita pada 20 Julai 2018.

Malah kita seharusnya segera menyedari akan kedudukan Islam di negara ini, tentang pendidikan umum dan agama, tahfiz dan pondok yang dinamik serta agensi agama yang perlu kepada perubahan yang terkini. Malah sikap umat Melayu dan Islam yang seharusnya lebih dinamik dan bertamadun dalam menghayati nilai dan etika serta asas akhlak Islam dalam masyarakat plural yang holistik, merangkumi dunia akhirat yang serba maju ini.

Mungkin keseluruhan dunia Islam sedang mengalami krisis identiti yang menggerunkan, agenda pembangunan manusia yang salah, maka Malaysia ha­ruslah bangun membetulkan ke­adaan mengikut acuan sendiri.

Generasi baharu haruslah berada dalam landasan keluarga dan budaya yang betul, pendidikan rasmi dan tidak rasmi yang penuh dengan visi dan misi yang sihat. Inilah Malaysia baharu yang kita perlukan. Inilah matlamat kebangkitan negara Islam dan Melayu ini yang seharusnya sekali lagi akan terus menerus menjadi contoh kepada dunia luar khususnya negara-negara Islam di seluruh dunia.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).