Jika umat Islam memahami bahawa mereka adalah hamba Allah yang mempunyai tugas dan tanggungjawab maka setiap individu Islam akan menumpukan perhatian terhadap pembentukan peribadi dan personalitinya sebagai hamba Allah. Perasaan begini sukar untuk diterap dalam pemikiran dan sanubari setiap individu Islam jika konsep penciptaan manusia tidak difahami. Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah al-Mukminun ayat 115 yang bermaksud: “Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main sahaja, dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami”.

Apabila umat Islam memahami konsep ciptaan manusia ­seperti mana dijelaskan Allah maka ­perasaan ingin mengabdikan diri kepada Allah secara telus akan direalisasikan dalam kehidupan. Perasaan ­ingin membentuk dan mendidik anak bangsa menjadi orang yang berakhlak mulia, berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat semakin hari kian meningkat. Perasaan begini jika wujud maka konsep amar makruf dan nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) menjadi tradisi umat Islam di dunia.

Kerjasama dalam perkara ini memberi kesan yang paling baik terhadap struktur kemasyarakatan umat Islam yang mana perasaan cinta dan kasih sayang sesama umat Islam dapat dijalinkan secara kukuh berasaskan kepada kesatuan akidah iaitu mempercayai Allah Yang Maha Esa. Setiap individu Islam merasai kebaikan dan kebajikan yang disumbangkan kepada masyarakat sama ada dalam bentuk ilmu pengetahuan, tenaga, wang dan harta benda adalah pelaburan yang paling istimewa di hari akhirat.

Allah menjelaskan perkara ini dalam surah al-Imran ayat 185 yang bermaksud: “Setiap yang berjiwa akan merasakan kematian, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia akan beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”.

Umat Islam masa kini dilamun oleh kekayaan dunia sehingga lupa kematian itu semakin hari kian hampir kepada mereka. Hati nurani dan pemikiran yang terlalu cintakan kekayaan sering mendorong umat Islam mengabaikan hukum hakam dan sebagainya. Nilai penghormatan diri seseorang individu lebih tertumpu kepada kekayaan yang dimiliki olehnya. Budi pekerti dan tingkah laku yang mulia sepertimana di­gariskan oleh Islam tidak dijadikan sebagai penilaian penghormatan bagi setiap individu.

Apabila umat Islam menilai penghormatan dan kewibawaan seseorang berdasarkan kepada pangkat dan kekayaan maka konsep kehidupan mereka sama dengan masyarakat sekular. Matlamat dan konsep kehidupan sebagai insan yang mengabdikan diri kepada Allah bertukar menjadi orang yang sombong dan bertindak berdasarkan kepada hawa nafsu bukan berpandukan kepada ajaran Ilahi dan Rasul. Ajaran agama hanya dianggap sebagai salah satu tradisi dan budaya masyarakat konservatif bukan dilihat dalam perspektif nilai kehidupan yang paling mulia.

Jika suasana begini menjadi lumrah kehidupan masyarakat maka umat Islam tidak akan berjaya membentuk atau mendidik anak bangsa menjadi orang yang berjaya. Orang dewasa sepatutnya menjadi penasihat dan pendidik kepada anak-anak dan remaja tanpa mengira ahli keluarga dan seumpamanya. Mereka sepatutnya menjadi contoh kepada golongan remaja dengan menonjolkan keperibadian yang baik dan dihormati bukan bergaduh sesama sendiri sehingga ke tahap yang boleh menghilangkan kewibawaan diri.

Apabila yang dewasa bercakaran sesama sendiri kerana pere­butan kuasa dan kedudukan maka golongan remaja terumbang-ambing dalam arus kepincangan masyarakat. Ketika ini sukar untuk menentukan kumpulan dewasa yang manakah sepatutnya dijadikan contoh.

Dalam konteks hari ini, per­telingkahan sesama umat Islam semakin hari kian jelas tanpa mengira latar belakang pendidikan sama ada agama atau konvensional. Pertelingkahan adalah lebih menjurus kepada perebutan kuasa yang amat runcing yang mana ia boleh mengakibatkan kehilangan kewibawaan bangsa dan agama. Sebagai umat Islam yang mengabdikan diri kepada Allah, maka anutilah konsep kehidupan Islam seperti mana firman Allah dalam surah al-Nazi’at ayat 40-41 yang bermaksud: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”

Berdasarkan kepada firman Allah tersebut maka beruntunglah umat Islam yang menggunakan masa kehidupannya dengan ­me­libatkan diri dalam kegiatan ke­bajikan dan kemasyarakatan seperti membentuk dan mendidik anak bangsa menjadi orang yang menaikkan syiar Islam.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).