Saya tidak mahu menyentuh tentang remaja yang memandu melawan arus itu kerana mahkamah akan menentukan sama ada dia wajar dihukum atau dibebaskan.

Saya juga tidak mahu mengulas lanjut berkaitan usa­ha pihak tertentu mempertahankan remaja pemegang kad orang kurang upaya (OKU) itu mahupun pendekatan mencari salah orang lain termasuk polis kononnya lambat memberi rawatan kerana saya lebih memikirkan perasaan keluarga mangsa yang maut dan cedera.

Apa yang saya mahu kupas adalah peruntukan hukum­an di bawah akta-akta sedia ada kerana jelas sekali tidak menyediakan hukuman setimpal bukan sahaja dalam kes ini malahan kebanyakan kes melibatkan kemalangan maut atau kecederaan hilang upaya kekal.

Walaupun kes ini boleh didakwa di bawah beberapa akta dan peruntukan undang-undang berbeza melibatkan dadah, pemanduan berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan lain-lain, sangat mengejutkan apabila hukuman maksimum hanya penjara 10 tahun dan mungkin ‘sedikit’ denda.

Sebelum ini Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mencadangkan pindaan peruntukan hukuman pesalah memandangkan banyak akta sedia ada sudah ‘lapuk’ dan tidak menggambarkan situasi semasa khususnya berkaitan kadar denda dan hukuman penjara setimpal.

Kes kemalangan ini menjadi contoh terbaik kenapa pindaan akta-akta tersebut perlu disegerakan. Jika dahulu hanya penunggang motosikal berani melawan arus, kini semakin ramai pemandu termasuk pemandu kenderaan berat berani melawan arus di jalan dan lebuh raya.

Tindakan ini bukan sahaja memperjudikan nyawa sendiri malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain. Apabila ada yang maut disebabkan kecuaian mereka, adakah wajar hanya dikenakan denda dan penjara beberapa minggu?

Terpulang kepada Pejabat Peguam Negara mempertimbangkan peruntukan denda dan penjara baharu tetapi saya ingin cadangkan cara tambahan untuk membela nasib wa­ris mangsa yang terbunuh atau mengalami kecacatan kekal.

Jika kesalahan ringan boleh dihukum menjalankan kerja komuniti, kesalahan berat seperti menyebabkan kematian (tanpa niat) perlu bertanggungjawab ke atas nafkah waris-waris mangsa khususnya ibu bapa, pasangan dan anak-anak di bawah umur 18 tahun.

Pihak yang didapati bersalah menjadi puncanya perlu menggantikan tempat mangsa memberi nafkah bulanan de­ngan mengambil kira jumlah pendapatan terakhir mangsa.

Berbanding denda dibayar kepada mahkamah dan penjara beberapa minggu, pampasan bulanan sehingga anak mencecah umur minimum 18 tahun atau sekitar 240 bulan lebih membela nasib waris mangsa walaupun tidak dapat menggantikan tempat dan kasih sayangnya dalam keluarga.

Mungkin ada yang berpendapat cara ini umpama ‘membeli nyawa’ mangsa dan tidak ada satu jumlah pun yang setimpal jika kehilangan ahli keluarga mahupun jika mereka cacat kekal.

Berapa ramai pekerja yang kemalangan ketika pergi dan pulang dari tempat kerja? Berapa ramai yang maut dan cacat kekal? Apa nasib waris mereka khususnya anak-anak kecil?

Memang ada kemudahan pencen Pertubuhan Keselamat­an Sosial (Perkeso), insurans nyawa, pampasan daripada majikan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan derma kilat rakan sekerja jika tragedi menimpa tetapi perlu diingat, bukan semua golongan pekerja menikmati kemudahan serupa.

Kes kemalangan yang mendapat liputan meluas mungkin menerima jumlah derma besar daripada orang ramai dan bantuan orang kenamaan tetapi bagaimana kes terpencil pekerja sokongan, buruh kasar dan golongan miskin?

Terpulang kepada pihak berwajib untuk menilai tetapi saya harap balasan setimpal dan pembelaan waris menjadi keutamaan dalam sebarang pindaan perundangan.

Golongan pekerja pula perlu memastikan waris tahu semua maklumat dan individu boleh dihubungi di tempat kerja untuk membantu urusan pampasan, insurans, Perkeso, KWSP dan lain-lain jika sesuatu tidak diingini berlaku.