Mungkin ada yang berkata, bukankah Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik teladan? Adakah teladan dan ketinggian sahsiah baginda masih tidak memadai? Benar, baginda adalah contoh terbaik buat umat manusia. Maka kita selaku umatnya dan mahu meneladaninya dan tidak seharusnya mengambil mudah konteks dan cabaran hidup zaman ini.

Generasi sekarang terdedah dengan apa yang terpapar di medium sosial seperti Facebook, YouTube dan Twitter. Mereka lebih akrab dengan aplikasi WhatsApp dan Wechat. Akhirnya, kecintaan kepada dunia yang diajarkan oleh nilai-nilai kapitalis global telah membuatkan pemuda dan pemudi negara ini semakin jauh dari ajaran sebenar Islam, apatah lagi dari Rasulullah SAW.

Jika kita buka lembaran sejarah dan sirah nabawi­y­yah, pasti kita ingat betapa para rasul dan anbiya’ ialah insan-insan yang diutuskan untuk menyempurnakan karakter dan akhlak umat manusia. Misi mereka secara ringkasnya pernah diungkapkan dalam sebuah syair Indonesia - “bangunlah jiwanya, bangunlah badannya” yang bermaksud walau sekuat mana fizikal seseorang, ia tidak akan dapat mengatasi kentalnya karakter, pemikiran, jiwa, nurani, dan peri laku seseorang.

Sejarah bangsa di dunia harus kita jadikan sandaran. Kehancuran sesebuah peradaban bukan hanya kerana serangan dan ancaman luaran tetapi juga dari lemahnya rohani bangsa itu sendiri. Justeru, kita perlu melipatgandakan segala usaha demi membangunkan karakter terbaik bangsa kita.

Di Johor misalnya, saya melihat peranan yang begitu besar perlu dimainkan institusi agama.

Mencorak barisan ha­dapan dan memba­ngunkan karakter yang sangat kukuh nilai-nilai Islam terutamanya dari segi pembentukan ak­h­lak yang mulia.

Ini menjadi iltizam dengan harapan agar tanah bertuah ini nanti akan dibanjiri dengan susuk-susuk insan yang gigih berbuat kebajikan demi kepatuhannya kepada Allah dan Rasul. Saya yakin seruan ini senafas dengan misi risalah Nabi Muhammad SAW.

Institusi agama sedia ada seperti Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) mesti dipertingkatkan peranan dakwah dan tajdidnya. Ia mesti menjadi juara pencerahan ke arah pembentukan peradaban dan sistem nilai bangsa yang berkemajuan.

Kerana itulah institusi agama sewaktu dengan Marsah tidak boleh menjadi hanya sebuah institusi pendidikan biasa. Ia mesti memainkan peranan lebih besar dari ha­nya pusat pengajaran ilmu Islam. Ini perlu menjadi sebahagian daripada gerakan Islam yang menjadikan agama sebagai graviti hidup dan diangkat dengan penuh ke­taatan serta ketakwaan.

Ia juga perlu menjadi gerakan agama yang akan me­rangkul kembali anak muda Islam dari media-media alternatif agar tidak terus leka, terpesona dan hanyut dengan dunia yang fana. Agar mereka kembali kepada matlamat serta fitrah hidup yang sebenar.

Selain itu, Marsah juga perlu menjadi gerakan dakwah amar makruf nahi mungkar. Seruan serampang dua mata yang sering kita dengar. Namun, merealisasikannya tidak semudah yang disangka. Kita tidak punya pilihan. Ia mesti dilakukan. Ini kerana ikhtiar menyuburkan seribu kebaikan tidak akan menjadi kalau seribu kemungkaran terus dibiar berleluasa.

Di sinilah, pusat-pusat pendidikan Islam serta graduannya harus tampil sebagai satu gerakan tajdid atau ge­rakan pembaharuan. Gerakan yang memikirkan pembaharuan dalam sistem berbangsa dan amalan bernegara. Gerakan yang mengajak masyarakat untuk mengubah cara hidup dan berfikir agar dengan pemikiran yang berkemajuan itu, bangsa akan turut menjadi sebuah bangsa yang berkemajuan.

Kerana itu juga adalah menjadi keperluan untuk institusi pendidikan Islam diangkat menjadi arena yang mempunyai mandat dan peranan yang lebih besar. Ia tidak seharusnya kekal menjadi pusat yang melahirkan graduan jurusan agama semata-mata tetapi institusi yang menggalas tanggungjawab lebih besar dan strategik.

Bagi Marsah di Johor, saya telah cadangkan agar turut diberikan mandat menjadi institut melatih pendidik atau guru-guru agama. Ini kerana kita bukan sahaja memerlukan graduan pengajian Islam yang terbaik tetapi juga para pendidik dan guru agama yang terbaik.

Ini jugalah harapan kerajaan supaya kelahiran mereka kelak bukan sekadar graduan biasa tetapi graduan berpendidikan tinggi dalam bidang agama. Mereka akan tampil di dalam masyarakat, mendepani jangkaan serta harapan yang tentunya tersendiri. Mereka berpeluang untuk mencorakkan perjalanan pembangunan syiar Islam di tanah air ini.

Dengan ilmu yang bersandarkan wahyu dan tauhid, mereka berperanan besar untuk membangunkan bangsa dan umat Islam, menjadi benteng moral dan menjadi pendiri karakter bangsa. Masyarakat menyandarkan segala harapan agar tanah air ini dapat dicorakkan de­ngan ilmu, nasihat, kepakaran dan hikmah kebijaksanaan supaya kita menjadi masyarakat dan negara yang bukan sahaja maju, tetapi Islami.

Ini kerana jika bukan graduan jurusan agama, siapa lagi yang akan menyebar risalah agama ini? Siapa lagi yang akan memimpin moral masyarakat agar menyantuni fitrah bangsa dan masyarakat terbaik? Kita semua sangat mendambakan agar bangsa ini kembali dikenali sebagai bangsa yang besar dan disegani. Bangsa yang kembali bangkit dan bersinar menjadi bangsa terbaik.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN ialah Menteri Besar Johor.