Warga merdeka tidak saja mampu membebaskan diri daripada mentaliti penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan budaya tetapi harus mempunyai tekad yang tinggi untuk membawa perubahan dan kemajuan berasaskan acuan kita sendiri.

Acuan kita sendiri tidak menolak faktor positif dari pihak lain tetapi keupayaan warga merdeka untuk membangunkan sumber daya berasaskan pendekatan pendidikan yang sifatnya transformatif menjadi suatu kewajipan.

Pendidikan transformatif menjadikan nilai dan etika asas integrasi supaya pendidikan bertatahkan nilai terjelma. Sumber nilai sangat penting dalam membangunkan pemikiran dan hati manusia supaya pembangunan akal budi manusia terjadi.

Fikrah merdeka mendidik warga yang bermaruah, ­sayangkan negara, kesediaan melakukan pengorbanan, mempertahankan imej negara dari dirosakkan, teguh dengan amanah untuk maju, keteguhan jati diri serta sentiasa bertekad melaksanakan agenda perubahan supaya kemajuan tercapai dan kesejahteraan hidup dirasai bersama.

Bagi menuju ke arah cita-cita tersebut proses keilmuan dan pendidikan menjadi fokus utama. Ilmu dari pelbagai disiplin perlu dikuasai dan pendidikan yang sifatnya menyeluruh perlu terjadi supaya kualiti manusia yang dihasilkan mampu mendepani cabaran perubahan.

Ini termasuk mempunyai sumber daya upaya strategik yang tinggi, faham maksud keutamaan dan maslahah, merintis jalan kesatuan dan perpaduan, dilatih berbeza pandangan secara sihat, menghargai kebaikan orang lain serta berlumba-lumba melakukan kebaikan supaya masyarakat rasa terbela dan negara berada dalam keadaan aman.

Mentaliti subsidi harus cuba diatasi supaya jiwa mandiri terserlah. Dalam dunia yang pantas bersaing warga merdeka harus mempunyai daya fikir tangkas dan kreativiti yang tinggi supaya setiap cabaran mendatang mampu didepani dengan bijaksana.

Oleh itu, persiapan yang perlu dimiliki tidak sekadar ilmu dan kemahiran tetapi juga kekuatan peribadi yang menjadi sumber kepada integriti diri. Ini sangat penting kerana integriti diri adalah prasyarat utama menghasilkan wibawa pengurusan yang amanah, telus dan tulus.

Warga merdeka tidak harus bersikap apologetik dengan ­situasi. Pepatah mengungkapkan, pelanduk sering lupakan jerat tetapi jerat tidak akan melupakan pelanduk. Muslihat anasir-anasir dalam negara dan petualang luar negara tetap ada dan menunggu kealpaan kita untuk bertindak. Jiwa kesiapsiagaan perlu dimiliki sepanjang masa supaya antara cabaran dan strategi, warga merdeka berada dalam keadaan bersedia.

Melaungkan slogan merdeka suatu cara, mengibarkan Ja­lur Gemilang adalah cara lain. Tetapi cara yang lebih memberi makna kepada kemerdekaan adalah sumbangan ber­terusan ke arah memperkasa martabat negara dalam semua lapa­ngan, tekad yang tidak pernah padam untuk maju dan berubah dan pada masa sama bersedia menginsafi ­kelemahan serta segera mengatasinya.

Jangan hanya mengambil pendekatan menyalahkan dan memfitnah yang didorong oleh penyakit nafsu amarah, sebaliknya tampil memberi penyelesaian yang membina supaya antara kelemahan dan cabaran terdapat jalan keluar yang lebih positif.

Terlalu banyak iktibar boleh dipelajari supaya warga merdeka mempelajari kesilapan terdahulu dalam mengambil langkah membuat keputusan. Harus wujud kebijaksanaan supaya cintakan negara diikuti dengan usa­ha berterusan membangunkannya terjadi.

Kewaspadaan warga merdeka harus lebih tinggi supaya tidak terjebak sama dalam strategi pecah-belah musuh terutama di zaman aplikasi media sosial. Jiwa tabayyun (kaji selidik) harus peka supaya kita bukan menjadi ­penyebab fitnah tersebar dan akhirnya orang terpengaruh dan boleh menjejas dukungan terhadap sikap bernegara.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Dunia Melayu dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).