Walaupun nasib tidak menye­belahi saya kerana tidak berpeluang melihat haiwan besar seperti tapir dan gajah di habitat semula jadi mereka, saya tetap berasa teruja apabila dapat melihat kongkang dan tupai terbang di waktu malam.

Tidur malam saya turut terganggu apabila bunyi kuat kedengaran di atas bumbung chalet saya, dipercayai datang daripada kera atau musang yang berkeliaran di waktu dinihari.

Saya juga berpeluang melihat ratusan ikan air tawar bersaiz besar termasuk kelah merah bersaiz besar bermain riang di santuari kelah di Lubuk Tenor, Sungai Tahan.

Ketika menyertai program tiga hari anjuran bersama Institut Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Tourism Pahang itu, saya berpeluang berjalan di atas titian kanopi Taman Negara, yang didakwa terpanjang di dunia. Saya seharusnya mendapat sijil penghargaan kerana mampu menamatkan perjalanan mencabar walaupun telah mencapai usia 72 tahun.

Selain itu, saya juga ‘berjaya’ melihat gajah daripada dekat apabila melawat kemudahan di Santuari Gajah di Kuala Gandah.

Keindahan semula jadi ini sebenarnya tidak akan dapat dinikmati oleh kita semua jika soal keselamatan diabaikan. Sebenarnya lawatan NIOSH ke Taman Negara bukan semata-mata untuk menikmati keindahan alam tetapi bertujuan menimbulkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan.

Dengan sokongan pihak Tourism Pahang, NIOSH turut berjaya mengadakan dialog KKP dengan wakil-wakil agensi kerajaan dan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan di Kuala Tahan dan Taman Negara.

Berdasarkan maklum balas yang diterima ketika dialog tersebut, boleh dikatakan semua yang terlibat sedar akan kepentingan aspek keselamatan dan beriltizam untuk meningkatkannya.

Lebih memberangsangkan apa­­­­bila persatuan yang mewakili pemandu pelancong yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda amat berminat untuk menyer­tai latihan yang mampu mening­katkan kemahiran mereka dalam bidang KKP.

Sebenarnya, insiden yang menyebabkan kecederaan atau kematian dalam sektor pelancongan sudah tentu akan menjejaskan nama baik negara selain mereka yang terlibat dalam bidang pelancongan.

Kejadian seperti lemas di kawasan rekreasi atau bot karam sebagai contoh, sudah pasti akan menimbulkan kebimbangan da­lam kalangan pelancong dan keluarga yang terlibat.

Apatah lagi jika ia melibatkan pelancong asing kerana berita me­ngenai tragedi tersebut akan tersebar luas dan berpotensi menjejaskan kedatangan pelancong asing ke dalam negara.

Saya percaya isu ini amat pen­ting bagi Malaysia yang mempunyai pelbagai destinasi menarik yang sering dikunjungi pelancong.

Insiden  yang menyebabkan ke­­cederaan dan kematian pelancong tempatan dan luar negara menjadi peringatan kepada mereka di dalam industri pelancongan mengenai kepentingan aspek KKP.

Pengurusan KKP dalam industri pelancongan sangat penting kerana ia bukan sahaja akan membawa kesan positif kepada aspek keselamatan dan melin­dungi pekerja tetapi juga untuk para pelancong.

Memandangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ingin membawa lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, adalah penting untuk memastikan amalan KKP yang baik dilaksanakan dalam industri pelancongan.

Tahun Melawat Malaysia 2020 merupakan satu misi nasional untuk melonjakkan nama Malaysia sebagai Top of Mind Destination dengan sasaran ketibaan pelancong seramai 36 juta orang dan sasaran pendapatan sebanyak RM168 bilion.

Industri pelancongan Malaysia merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.8 peratus atau RM182.4 bilion.

Industri ini juga merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan bernilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar.

Di samping itu, guna tenaga industri pelancongan juga telah mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang iaitu sebanyak 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada tahun 2016.

Bagi mendapatkan keperca­yaan pelancong tempatan dan asing, semua pihak yang terlibat dengan industri pelancongan dan hospitaliti perlu memahami dan mengamalkan budaya KKP yang baik di tempat kerja kerana ia juga penting untuk keselamatan orang ramai.

Agensi berkaitan serta mereka yang menyediakan kemudahan untuk pelancong mesti melakukan audit keselamatan secara kerap dan menyeluruh bagi memastikan semua kemudahan yang disediakan selamat sepanjang masa manakala kemalangan pula dapat dicegah.

Pihak berkuasa juga harus memastikan bahawa setiap operator mempunyai pelan kecemasan untuk menyelamatkan para pelancong dan kakitangannya jika kemalangan berlaku di tempat mereka.

Operator terbabit juga harus melaksanakan latihan keselamatan atau evakuasi sebagai sebahagian daripada rancangan pengurusan KKP mereka agar semua kakitangan bersedia untuk menghadapi sebarang jenis kecemasan.

Masanya telah tiba bagi semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan dan hospitaliti untuk mengambil serius mengenai kemalangan yang turut melibatkan pelancong dan orang ramai.

Saya percaya pengurusan KKP yang baik memainkan peranan penting dalam industri hospitaliti dan pelancongan kerana ia mampu mengelakkan kemalangan.

Kemungkinan berlakunya kemalangan sebenarnya boleh dikurangkan jika kita melaksanakan kerja dengan berhati-hati serta menjadikan amalan kerja yang baik sebagai sebahagian daripada budaya kita.

Penekanan terhadap aspek ke­selamatan mestilah dijadikan nilai teras bagi majikan dan pekerja dalam industri pelancongan dan hospitaliti.

Keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diubah menjadi budaya kita dan bukan semata-mata diterima sebagai satu keutamaan.

Ia dapat memastikan industri pelancongan dan mereka yang terlibat kekal selamat dan sihat manakala pelancong tempatan dan asing dapat terus menikmati keindahan alam semula jadi tanpa pe­rasaan bimbang atau ragu.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi NIOSH.