Pertuduhan pecah amanah itu dibuat di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang (jika sabit kesalahan) membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat dan didenda.

Manakala pertuduhan rasuah pula dibuat di bawah seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694), yang (jika sabit kesalahan) membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Beliau telah dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pagi itu dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya, sehari selepas ditangkap pada Selasa 3 Julai.

Beliau tampil di mahkamah berpakaian lengkap dan kemas seperti seorang Perdana Menteri yang diiringi pegawainya masuk ke pejabat. Rakyat negara ini pastinya dapat melihat bagaimana layanan yang diberi kepadanya pada pagi itu.

Pada hemat saya, fakta ini menjadi petunjuk awal bahawa perjalanan kes terhadap Najib ini akan menghormati ciri-ciri keadilan sepenuhnya.

Susulan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dramatik pada pagi itu, beberapa pihak telah menyatakan pandangan mereka mengenainya.

Bagi peguam Syahredzan Johan, keputusan SPRM mengizinkan Najib memakai pakaian sendiri (tanpa tangannya digari) menunjukkan proses pendakwaan dan perbicaraan kesnya akan dijalankan secara tertib dan adil.

Menyentuh 'layanan yang berbeza ini' (jika dibandingkan dengan kes-kes terdahulu), peguam itu berkata ia sesuatu yang 'positif' dan berharap ia akan terus menjadi amalan pihak berkuasa untuk kes-kes lain pada masa hadapan.

Bercakap kepada wartawan pada pagi itu, Peguam Negara Tommy Thomas (selaku Pendakwa Raya dalam kes ini) menyatakan empat pertuduhan ini adalah hasil 'kertas siasatan pertama' yang diterima olehnya selepas bertugas sebagai Peguam Negara.

Beliau tidak menafikan kemungkinan ada kertas siasatan lain di masa depan. Satu sesi pengurusan kes telah pun dijadualkan pada 8 Ogos depan, manakala perbicaraan kes ini akan bermula pada Februari 2019 depan.

Pada pagi itu juga, peguam bela Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah (yang mewakili Najib) telah memohon secara lisan satu gag order (perintah larangan mengulas kes ini) dari mahkamah, bertujuan menghalang mana-mana pihak membuat kenyataan, komen atau ulasan secara tidak adil terhadap empat kes ini.

Mengikut Shafee, perintah larangan ini perlu dipatuhi oleh semua platform media termasuk pengguna laman sosial.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak (hakim bicara pagi itu) telah meminta Shafee mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Mahkamah Tinggi.

 

Berhati-hati

Tidak senang dengan gag order itu, Tommy Thomas menyatakan pihaknya akan mengemukakan bantahan mengenainya nanti (sewaktu pengurusan kes pada 8 Ogos) kerana ia tidak jelas, selain tidak ada alasan yang diberi oleh Shafee bagi menyokong permohonan itu.

Beberapa pengamal undang-undang berpendapat perintah larangan itu bertentangan dengan kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka disebabkan kes Najib ini pasti menarik perhatian media seluruh pelosok dunia, larangan ini akan hanya mengekang media tempatan manakala media luar negara akan terus bebas membuat ulasan serta laporannya seperti 
biasa.

Pendapat seperti ini selari dengan pendirian Pendakwa Raya pagi itu “What is the point of issuing a gag order when the whole world will talk about it?

Ramai berharap segala terma perintah larangan sementara (interim gag order) ini akan dapat diperincikan dan dimaklumkan oleh mahkamah.

Ini penting supaya pengamal media (wartawan akhbar, penggiat media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya) mampu memahami tentang batas dan sempadan mereka ketika menyatakan pendapat atau ulasan mengenai kes ini.

Bagi warga media di negara ini yang telah berpeluang menghadiri kursus kefahaman undang-undang media seperti Program Zamalah anjuran Institut Akhbar Malaysia (Malaysia Press Institute, MPI) pastinya mereka tahu bahawa apabila suatu kes itu telah menjadi subjudice (sudah sampai di meja pengadilan), mereka perlu berhati-hati apabila membuat laporan atau komen mengenai kes itu.

Ini kerana andainya tersilap tulis atau komen, mereka akan diheret ke mahkamah kerana melakukan kesalahan menghina mahkamah (contempt of court).

Malangnya seperti telah saya katakan berulang kali dalam tulisan saya di Utusan Malaysia sebelum ini, Malaysia pada masa ini tidak ada satu undang-undang khas mengenai kesalahan menghina mahkamah seperti yang ada di India (Contempt of Court Act 1971), England dan Wales (Contempt of Court Act 1981), dan Kenya (Contempt of Court Act 2016).

Matlamat undang-undang melarang orang awam atau warga media membuat komen yang tidak wajar mengenai sesuatu kes yang sudah menjadi subjudice adalah untuk memastikan mahkamah terus bebas dan berupaya mendengar sesuatu kes itu tanpa pengaruh atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Perbuatan mengganggu-gugat perjalanan mahkamah, memberi tekanan kepada hakim, menuduh hakim berat sebelah, mengatakan kes akan pasti berakhir dengan sabitan, mengatakan tertuduh memang patut dihukum (atau sebaliknya) tertuduh akan pasti dibebaskan, bahawa saksi 'telah dibeli' oleh pihak-pihak tertentu adalah dilarang sama sekali.

Perbuatan seperti saksi pasukan pendakwa tidak boleh dipercayai, bahawa keterangan saksi sengaja diada-adakan atau dicipta, bahawa saksi tertuduh bercakap bohong atau sebagainya, juga adalah komen atau ulasan yang dilarang.

Begitu juga, menyatakan sesuatu itu sebagai 'fakta' manakala mahkamah masih lagi belum memutuskannya sebagai fakta kes, atau menzahirkan sesuatu kepada pengetahuan orang ramai walaupun telah diarah oleh mahkamah untuk merahsiakannya, adalah juga salah.

Dengan bahasa mudah, komen mengenai suatu kes yang sudah menjadi subjudice adalah dilarang kerana jika dibenarkan ia boleh mendatangkan prejudis atau mudarat kepada tertuduh atau kepada kelancaran perjalanan kes tersebut atau boleh menggugat kedudukan hakim atau maruah 
dan martabat mahkamah itu sendiri.

Perbuatan sedemikian itu dipanggil 'menghina mahkamah' dan pihak yang menghina mahkamah boleh dipenjarakan (setelah disabitkan kesalahannya).

Kesimpulannya, bagi mereka yang masih jahil dalam isu ini atau mereka yang mungkin berdegil mahu terus membuat kenyataan tanpa mengambil kira apa kesannya kepada perjalanan kes ini, ia adalah satu perintah larangan yang amat wajar.

Dalam pada itu, sekiranya tidak ada perintah larangan sekalipun, apa-apa ulasan yang dikategorikan sebagai menghina mahkamah tetap salah dan boleh dikenakan tindakan.

* DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.