Tidak pernah terlintas di fi­kiran kita kematian seumpama ini boleh berlaku di sebuah kawasan perumahan yang teratur, diwujudkan khusus untuk menempatkan semula penduduk­ setinggan sebagai memenuhi ke­perluan tempat tinggal golongan berpendapatan rendah.

Kejadian tersebut juga menimbulkan banyak persoalan me­ngenai tahap keselamatan orang ramai di kawasan PPR. Isu ke­selamatan ini ibarat bom jangka yang boleh meletus pada bila-bila masa. Sebelum ini yang sering menjadi isu di kawasan perumahan PPR adalah soal kebersihan, perbuatan vandalisme, lif rosak dan tidak berfungsi, yang umpama masalah yang tidak berkesudahan.

Mungkin telah tiba masanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) me­rangka satu strategi untuk menangani isu-isu berkaitan PPR ini secara keseluruhan dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) PPR.

Strategi ini perlu disokong oleh semua penduduk di sesebuah PPR kerana ia dibuat untuk mereka demi keselesaan kehidupan penghuninya. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang sepanjang masa amat perlu bagi memastikan peraturan yang digubal dipatuhi. Usaha untuk memastikan peraturan dipatuhi selalunya akan mengambil masa tetapi ia perlu bermula sekarang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mempelajari daripada pihak berkuasa Singapura tentang bagaimana mereka mengekalkan unit-unit kediaman ini sebagai tempat tinggal yang selesa untuk warganya. Um­pamanya, pasu bunga tidak dibenar diletakkan di kawasan atas balkoni kerana khuatir ia boleh jatuh dan mendatangkan kecelakaan.

Kaki lima di depan unit-unit kediaman perlu bebas daripada apa-apa halangan. Kegagalan mematuhi undang-undang yang ditetapkan boleh mengakibatkan pemilik unit-unit ini didenda atau saman.

Walaupun tindakan mengenakan denda atau saman ini dilihat sebagai tindakan yang keras, ini boleh dilakukan demi kebaikan penduduk sendiri, khususnya pada waktu-waktu kecemasan.

Kerjasama daripada penghuni adalah sangat diperlukan kerana merekalah penduduk PPR.

Di negara ini, PPR umumnya adalah bangunan antara lima hingga 18 tingkat dengan keluasan tidak kurang daripada 700 kaki persegi. Ia dilengkapi tiga bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah ruang dapur, dan dua buah bilik air.

Program PPR sewa diperkenalkan pada Februari 2002, untuk disewakan kepada golongan yang berpendapatan rendah dan se­tinggan pada kadar RM124 sebulan.

Kerajaan turut menjual unit PPR bertujuan membolehkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Rumah-rumah PPR ini dijual pada harga RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak.

Walaupun PPR dikhususkan sebagai kediaman golongan pendapatan rendah, ia tidak bermakna penghuninya perlu tinggal dalam persekitaran yang kusam, comot, kotor dan tidak teratur.

Penulis percaya semua pihak sama ada KPKT, PBT, JPP yang diwujudkan telah berusaha me­lakukan banyak usaha untuk menjadikan di mana-mana kawasan PPR tempat tinggal yang paling indah untuk penghuninya.

Cuma keberkesanannya tidak kekal kerana hambatan utama adalah kurangnya kerjasama da­ripada penghuni. Penghuni masih mentaliti duduk di setinggan. Tidak peka kepada kebersihan dan tidak menghargai kemudahan.

Ini bukan cerita baharu malah isu yang sama di hampir semua PPR. JPP perlu bersikap profesio­nal dalam menjalankan tanggungjawab mereka dan membuat a­duan kepada pihak bertanggungjawab terhadap penghuni yang enggan bekerjasama.

Ini adalah tempat tinggal anda dan anda sendiri perlu bersama-sama menjaga dan menguruskannya. Memulakan sesuatu kempen secara berterusan perlu dilaksa­nakan bagi mengubah minda penduduk untuk menyayangi tempat tinggal mereka. Pemasangan kamera litar tertutup di lokasi tertentu perlu bagi mengesan pelaku yang membuat onar.

Yang penting revolusi minda dalam kalangan penghuni PPR perlu bermula sekarang kerana jika tidak, usaha KPKT menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk penghuninya akan menjadi kerja sia-sia.

Penghuni perlu menghargai rumah PPR dan ia harus diterjemahkan dengan sikap bersama-sama menjaga kebersihan, keselamatan dan keselesaan hidup berjiran. Mungkin ini agak sukar di peringkat permulaan tetapi percayalah jika semua pihak mempunyai iltizam untuk memperbaiki persekitaran dan taraf kediaman masing-masing, semua pihak akan menuai hasilnya satu hari nanti.

Semoga kisah ‘kerusi terbang’, sampah melayang, kekotoran dan bau yang kurang menyenangkan di sana sini di sekitar PPR menjadi kisah silam dan PPR menyinar umpama kondominium kelas mewah.