Umum amat mengetahui rakyat Perancis cukup kuat mempertahankan penggunaan bahasa mereka. Mereka le­bih mengutamakan bahasa mereka berbanding bahasa lain. Dalam hal ini, tidak keterlaluan dikatakan ramai pemain bola sepak ternama dunia tetap menggunakan bahasa me­reka sendiri dalam sidang media. Mereka langsung tidak kekok, jauh sekali malu berkata-kata dalam bahasa rasmi negara mereka.

Namun, mereka mampu memiliki kualiti seorang ahli sukan bertaraf dunia dan pada masa sama tetap me­nge­kalkan penggunaan bahasa mereka. Tiada langsung ma­salah untuk menjadi atlet bertaraf dunia yang mewakili kelab-kelab bola sepak ternama di dunia meskipun menggunakan bahasa sendiri. Semangat jati diri inilah yang membawa mereka ke mana sahaja tanpa melupakan asal usul mereka.

Dalam hal ini, tiada alasan yang kukuh bahawa bahasa Melayu tidak boleh digunakan meskipun di peringkat antarabangsa. Bayangkan orang asing pun sanggup bela­jar bahasa Melayu, tak akanlah rakyat Malaysia sendiri ti­dak fasih berbahasa Melayu?

Sesuatu yang amat janggal apabila orang asing fasih berbahasa Melayu dan melihat rakyat Malaysia sendiri tidak mahu atau tidak fasih menggunakan bahasa mereka sendiri. Perkara ini cukup penting kerana bahasa Melayu itu adalah bahasa rasmi Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai tunjang perpaduan rakyat Malaysia. Meskipun mahir dalam pelbagai bahasa adalah satu kelebihan, namun rata-rata negara di dunia akan menggunakan satu bahasa rasmi untuk menyatukan rakyat mereka.

Perlembagaan jelas me­nyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia. Jadi, penggunaan bahasa Melayu perlu menyeluruh melibatkan semua peringkat dan lapisan rakyat yang berbilang kaum.

Selain itu, Perlembaga­an Malaysia menyatakan aga­ma rasmi Malaysia ialah aga­ma Islam. Hal ini menggambarkan betapa martabat agama Islam perlu dijaga dalam apa jua si­tuasi. Pada masa sama agama lain boleh dianuti dan diamalkan oleh penganut agama lain. Sejak dari merdeka sehingga sekarang, umat Islam Malaysia sentiasa me­mentingkan kesucian aga­ma Islam.

Jika terdapat umat Islam di negara lain dianiaya dan dizalimi, pastinya rakyat dan pemimpin Islam Malaysia tidak kira ideologi politik akan sentiasa mempertahankan umat Islam yang dizalimi tersebut. Mi­salnya, semasa perang Bosnia, Malaysia adalah antara negara ke hadapan yang mempertahankan nasib umat Islam Bosnia.

Contoh lain, bagaimana sejak dari dahulu lagi, pe­mimpin Islam Malaysia sentiasa mempertahankan nasib umat Islam Palestin. Menjadi antara barisan hadapan dalam kalangan negara-negara Islam mempertahankan nasib umat Islam Palestin. Malah, kita memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia. Mereka ini sebenarnya berkemampuan untuk melonjak diri ke peringkat tertinggi.

Namun, ekoran kezaliman yang dilakukan oleh orang lain ke atas mereka, maka peluang tersebut sukar untuk diperoleh meskipun di negara sendiri. Kita boleh lihat bagaimana umat Islam Palestin sentiasa diserang oleh Zionis di bumi sendiri. Terbaharu, Gaza diserang secara besar-besaran oleh Israel. Sudah tentulah ramai yang menjadi mangsa kezaliman Israel dan Zionis. Namun, nasib umat Islam Palestin sentiasa di hati rakyat Malaysia.

Ramai pakar dan alim ulama Islam yang sentiasa membela nasib umat Islam di seluruh dunia. Malah, pakar asing dalam bidang agama Islam pun berasa selesa dengan keamanan Malaysia. Pada masa sama sentiasa menjaga hubungan baik dengan penganut agama lain.

Sebab itulah, negara kita sentiasa dicemburui kerana cukup aman damai dalam suasana rakyat pelbagai kaum dan agama.

Jauhilah isu-isu yang boleh mengguris hati orang lain. Bertolak ansur dengan memahami dan menghayati asas kenegaraan Malaysia. Malah, majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam. Agama Islam adalah antara asas kenegaraan Malaysia selain daripada penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Islam itu sendiri adalah agama yang adil dan saksama serta sentiasa meletakkan sesuatu pada tempat yang betul. Tidak pula sesekali prejudis terhadap penganut agama lain. Dengan ini, keamanan dan kemakmuran sentiasa dinikmati oleh rakyat Malaysia. Justeru, dalam hal ini, memartabatkan agama Islam perlu sentiasa dipertahankan pada bila-bila masa sahaja dalam apa jua keadaan sekalipun.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).