Ulama bukan sekadar memiliki imej luaran semata-mata tetapi harus memiliki kebijaksanaan bagaimana sumber al-Quran dan hadis, ijmak dalam kalangan ulama tersohor dijadikan panduan dan pedoman dan terlihat dalam sistem dan model perubahan dan kemajuan.

Menginsafi umumnya orang yang berimej ulama memiliki keterbatasan dalam bidang ilmu dan pengkhususan, para ilmuan dalam bidang yang tertentu dan profesional yang berjiwa Islami amat diperlukan untuk melengkapkan kerja-kerja ulama.

Perubahan dalam sistem dan pemerintahan tidak boleh didekati dengan semangat dan retorik semata-mata. Ulama, ilmuan dan profesional yang memiliki kepakaran dalam bidang syariah umpamanya dan memiliki latar fiqh dan usul-fiqh yang hebat akan sentiasa menyumbang terhadap pembangunan tijarah dan muamalah dan akhir­nya mampu membangunkan sistem ekonomi Islam itu sendiri.

Cabaran yang sedang menunggu di hadapan kita kini tidak sekadar ulama dan ilmuan yang tinggi produktiviti rohaniahnya tetapi sekali gus hebat dalam produktiviti amaliahnya. Hasil kerjanya tidak saja terlihat dalam watak dan peribadi yang tawaduk sifatnya tetapi memiliki kebijaksanaan yang tinggi dan terus istiqamah dalam melakukan perubahan meskipun berdepan dengan cabaran yang pelbagai.

Kadang-kadang para ulama mengharapkan orang lain atau pihak lain melakukan perubahan ikut acuan yang Islami. Tetapi orang atau pihak yang diharapkan itu tidak memiliki keupayaan dan kekuatan untuk melakukan perubahan. Di sini pentingnya ulama, profesional, orang atau pihak lain melakukan sinergi atau kerjasama supaya kemam­puan dan bidang peranan yang berbeza boleh menyebabkan tercetusnya perubahan dan kemajuan mengikut acuan yang diperlukan.

Sebab itu amat penting ulama diprofesionalkan dan profesional diberikan orientasi ulama supaya sinergi ini mampu mengangkat martabat Islam. Malah kalau pemerintah dapat diulamakan dan ulama yang holistik kemampuannya diberikan peranan memimpin cetusan perubahan boleh terjadi.

Islam bukan sekadar suatu sistem kepercayaan yang rohaniah sifatnya. Ia adalah suatu cara hidup yang membangun landasan tamadun. Ilmu yang diperlukan tidak sekadar Ilmu Mengurus Diri yang sifatnya diniah tetapi juga Ilmu Mengurus Sistem yang memberi kemampuan sains dan teknologi supaya Islam tidak saja terlihat dalam disiplin diri dan hati tetapi terpancar dalam disiplin sains dan teknologi untuk mengurus sistem.

Al-Quran tidak sahaja menekankan pentingnya manusia memiliki kekuatan ibadah yang tinggi tetapi juga sebagai khalifah mengurus diri, keluarga, umat dan sistem. Sebagai ibadullah dan ibadur rahman kualiti ketaatan, kepatuhan, keakuran dan ketundukan amat dituntut supaya terbangun jiwa kekhalifahan yang mampu mengurus sistem.

Oleh itu sinergi ulama dan profesional adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Menginsafi latar pendidikan dan pengkhususan yang dilalui oleh ulama kini dan profesional berbeza, kepentingan dakwah dan tarbiyah menjadi jawapan terbaik supaya ulama mampu mengembangkan ilmu dan pengetahuannya dalam bidang profesional dan para profesional mengetahui pemikiran dan pedoman Islami dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Adalah suatu kemujuran pengalaman profesional hari ini terdedah dengan kesedaran rohaniah dan tarbiyah sejak belajar di dalam dan luar negara lagi. Dukungan ulama’ menyantuni profesional boleh menyebabkan perubahan tercetus dan model Islami dalam sistem terjadi.

Ulama tidak sewajarnya terlihat dalam pengasingan dan dirujuk dalam hal-hal agama semata-mata. Ulama yang relevan dengan perubahan zaman dan cabaran lingkungan adalah ulama yang bersedia mengajar orang lain dan belajar dari orang lain juga.

Profesional pula tidak harus hanya bergantung kepada pengkhususan yang dimiliki tetapi menghubungkan daya profesionalnya dengan pedoman agama supaya hasil kerjanya menjadi sebahagian daripada kerja-kerja ibadah.

Cabaran masa kini adalah cabaran teknologi tinggi (high-tech). Bagaimana ulama mampu menyantuni sains dan teknologi dengan pendekatan keinsanan (high-touch) supaya teknologi dilihat selamanya alat bukannya matlamat. Keupayaan memahamkan nilai guna yang betul adalah suatu keperluan supaya teknologi dipedoman dengan etika dan nilai yang baik di samping perisian dan program yang bermanfaat.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).