PEMBENTANGAN Akta Aksem di Parlimen mampu meningkatkan keupayaan agensi itu dalam mengawal sempadan negara. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Syaratnya mudah, selagi kedua-dua pihak boleh menjana keuntungan, aktiviti itu akan terus berlaku dan terjadi. Malah boleh dikatakan hampir mustahil dibanteras sepenuhnya. Namun masih ada ruang dan harapan untuk mengurangkannya.

Dua perkara penting yang boleh dilakukan adalah memantapkan agensi penguatkuasaan dan keduanya, me­ningkatkan integriti penguat kuasa. Dalam hal ini, agensi penguat kuasa yang diberi tanggungjawab di sempadan sudah tentulah Agensi Kawalan Sempadan (Aksem).

Namun tahukah kita sejak penubuhan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang kemudian dijenamakan kepada Aksem pada 2015, agensi itu mempunyai keupayaan yang agak terhad. Perkara itu berkaitan kekangan ke­upayaan untuk menyiasat dan mendakwa disebabkan mereka tidak diperuntukkan sebarang akta.

Sebaliknya apa yang berlaku, Aksem hanya boleh menahan menerusi sekatan di pos-pos kawalan keselamatan sahaja. Ini bermakna, setiap penahanan atau rampasan barangan yang menyalahi undang-undang, ia akan diserahkan kepada agensi terlibat.

Sudah tentu ini menyulitkan bukan sahaja Aksem sendiri, tetapi juga agensi-agensi berkaitan yang menerima atau diserahkan rampasan itu. Sebagai contoh, sekiranya Aksem merampas satu barang kawalan, barangan itu akan diserahkan kepada kementerian terlibat.

Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kementerian terbabit untuk menyiasat kes sehinggalah melakukan pendakwaan di mahkamah. Persoalannya, dalam hal ini, pihak manakah sepatutnya diberi pujian atau mendapat nama atas kejayaan itu, Aksem atau pihak kedua?

Walaupun mana-mana agensi penguat kuasa tidak mendambakan nama, tetapi sedikit sebanyak boleh menjejaskan moral salah satu pihak. Ini termasuklah penahanan melibatkan percukaian, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rampasan kenderaan.

Kita tidak mahu pepatah mengatakan ‘lembu punya susu tetapi sapi yang mendapat nama’. Disebabkan itu, sekiranya Akta Aksem yang bakal dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali kedua diluluskan nanti, diharap boleh menyelesaikan perkara-perkara seumpama itu.

Menerusi akta tersebut juga, semua pasukan ke­selamatan yang bertugas di sempadan hanya akan menerima perintah dan kawalan daripada satu pihak sahaja iaitu Ketua Pengarah Aksem.

Ini seperti mana dipraktikkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetuai agensi-agensi terlibat.

Pada masa ini di sempadan darat negara, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di Kedah dan Perlis menerima arahan daripada PDRM. Begitu juga agensi-agensi lain yang menerima arahan daripada pucuk pimpinan mereka masing-masing termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan di sempadan Kedah sehingga Kelantan.

Namun dengan ada­nya Akta Aksem, semua agensi di sempadan darat negara akan berada di bawah satu arahan iaitu Ketua Pengarah Aksem, Datuk Mohamad Ismail. Diharapkan, Akta Aksem ini akan mampu meningkatkan keupayaan agensi tersebut ke arah memantapkan kawalan keselamatan di sempadan negara.