NIK MOHAMMAD AZLI NIK ARIFFIN
NIK MOHAMMAD AZLI NIK ARIFFIN

Masakan tidak, dimaklumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk geran itu tetapi sehingga kini hanya baru RM13 juta yang ­diagihkan.

Itu pun hasil usaha Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk, Dr. Nik Mohammad Azli Nik Ariffin yang bersungguh-sungguh mahu membantu belia khususnya di Bagan Datuk dan Perak menambah pendapatan dengan melibatkan diri dalam sektor pertanian.

Nik Mohammad Azli memberitahu, kesedaran dalam kalangan belia tentang geran itu agak rendah, menyebabkan peruntukan yang disediakan masih banyak belum digunakan.

Berikutan itu, beliau mengambil inisiatif membantu anak-anak muda di kawasannya dengan mendapatkan peruntukan geran tersebut supaya pada masa sama hasrat kerajaan mahu melihat lebih ramai belia khususnya di kawasan luar bandar menceburi sektor pertanian berjaya direalisasikan.

“Saya pergi sendiri ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mencari ruang serta peluang bagi membantu golongan belia ini. Ketika itulah saya tahu mengenai geran ini.

“Dengan sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggalakkan saya membantu rakan-rakan belia di kawasan Bagan Datuk, akhirnya saya berjaya mendapatkan geran berjumlah RM13 juta.

“Geran ini akan diagihkan kepada usahawan-usahawan belia yang berhasrat menceburi bidang pertanian dan penternakan di Bagan Datuk. Saya juga akan turun ke kawasan-kawasan di Perak untuk membantu belia-belia kita yang berminat menjadi usahawan tani,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nik Mohammad Azli menjelaskan, menerusi geran itu, kerajaan membantu usahawan belia dari ‘A’ sampai ‘Z’.

Sebagai contoh, kata beliau, sekiranya ada usahawan belia mahu jalankan projek fertigasi cili, kerajaan akan membantu daripada semua aspek termasuklah agihan barang, kursus dan cadangan agensi yang akan membantu mengurus serta memantau projek.

“Melalui pendekatan ini, dengan pemantauan secara berterusan agensi-agensi berkaitan pertanian, projek boleh berjalan dengan lancar dan baik dengan risiko ditipu yang minimum.

“Kalau tidak ada pengetahu­an tidak apa kerana kerajaan juga menyediakan kursus serta bimbingan untuk mencebu­ri sektor ini. Ke­rajaan sangat prihatin, sebab itu saya katakan kerajaan membantu dari ‘A’ sampai ‘Z”, cuma kita yang tidak mahu cari,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai syarat-syarat permohonan geran itu, Nik Mohammad Azli memberitahu sudah tentunya pemohon perlu berusia di bawah umur 40 tahun kerana fokus adalah kepada pembangunan usahawan tani belia.

Selain itu, katanya, untuk pertanian, pemohon perlu mempunyai tanah sendiri atau sekurang-kurangnya tanah pajakan atau sewaan bagi membolehkan projek pertanian dijalankan.

“Sudah tentu pemohon perlu menyediakan kertas cadangan mengenai projek pertanian yang ingin dijalankan, sama ada secara sendirian atau berkelompok,” ujar beliau.

Oleh sebab itu, Nik Mohammad Azli menyeru anak-anak muda khususnya di Bagan Datuk dan Perak me­nyahut peluang keemasan ini untuk menaik taraf kehidupan masing-masing dengan menjadi usahawan tani berjaya.

“Program ini sangat baik. Perdana Menteri telah memberi ruang dan peluang kepada belia terutamanya di luar bandar, jadi rakan-rakan belia harus rebut peluang ini.

“Jangan kita kekal di dalam kepompong, peluang dan ruang untuk kita meningkatkan ekonomi sudah disediakan kerajaan,” katanya.

Menurut Nik Mohammad Azli, beliau akan memulakan dengan Perak terlebih dahulu sebelum mengorak langkah membantu belia-belia di negeri lain yang menyimpan hasrat menjadi usahawan pertanian dan penternakan.