Wabak selesema burung adalah penyakit pernafasan pada populasi avian iaitu termasuk ayam, burung, itik, ayam turki, angsa dan lain-lain. Pengumuman itu dilakukan selepas wabak jangkitan yang dikesan pada kelompok ternakan ayam di Kampung Pulau Tebu di Tunjong yang seterusnya dilaporkan oleh portal akhbar tempatan merebak ke beberapa daerah di Kelantan termasuk Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok.

Melalui peruntukan Majlis Ke­selamatan Negara 20 ber­kenaan, jabatan kerajaan terlibat perlu mengambil langkah ­berusaha mengekang penularan wabak berkenaan. Pada masa ini, hanya Jabatan Veterinar Negeri bertanggungjawab menguruskan wabak pada populasi ternakan domestik yang telah dikenalpasti.

Sehingga hari ini, laporan menyebut sejumlah 24,768 ternakan telah dilupuskan. Dalam konteks ini juga, apa yang paling penting tiada kes mahupun wabak dalam kalangan manusia yang telah dilaporkan. Virus penyebab jangkitan ialah virus avian influenza A, yang mana dikelaskan pula kepada kumpulan berkeupayaan tinggi menyebabkan jangkitan (Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI) viruses) dan juga kumpulan ber­keupayaan rendah menyebabkan jangkitan (Low Pathogenic Avian Influenza (LPAI) A viruses).

Virus berkenaan dikumuhkan keluar dari badan haiwan yang dijangkiti melalui air liur, bendalir salur pernafasan dan juga najis haiwan terbabit. Kejadian ­selesema burung dalam kumpulan haiwan burung di habitat semula jadi berlaku melalui jangkitan pada sistem usus dan pernafasan haiwan. Bagaimanapun, gejala sakit akibat jangkitan virus ini tidak ketara dalam kalangan burung akuatik yang liar.

Jika virus penyebab selesema burung ini menjangkiti kumpulan ternakan domestik, jangkitan sa­ngat mudah merebak melalui bendalir dan najis yang me­ngandungi virus. Ia juga berjangkit secara tidak langsung iaitu melalui sentuhan permukaan struktur atau alatan yang tercemar dengan virus berkenaan. Haiwan domestik biasanya menunjukkan gejala sakit teruk ketara sehingga boleh menyebabkan kematian.

Pada umumnya manusia bukan sasaran utama jangkitan virus namun risiko jangkitan tetap ada. Melalui bendalir haiwan yang infektif, seseorang itu boleh mendapat jangkitan melalui sentuhan tangan ke atas bendalir haiwan tersebut dan memindahkannya secara langsung ke bahagian mata, hidung, mulut atau melalui udara pernafasan ke dalam paru-paru. Ini terjadi apabila individu itu tidak mengendahkan kebersihan tangan dan diri selepas memegang atau menyentuh haiwan domestik (avian) yang infektif. Jangkitan ke atas manusia juga berlaku apabila individu yang mempunyai sentuhan dengan haiwan burung atau permukaan tercemar tetapi tidak menggunakan peralatan perlindungan diri.

Apabila berlaku jangkitan, sindrom yang direkodkan adalah pelbagai iaitu pada spektrum jangkitan ringan sehingga jangkitan teruk. Jangkitan akibat virus dalam kategori HPAI pada manusia, didokumentasikan menyebabkan gejala demam selesema dan masalah pernafasan teruk, radang paru-paru dan kematian akibat kegagalan fungsi paru-paru.

Sementara itu, jangkitan virus avian dalam kumpulan LPAI pula dilaporkan menyebabkan gejala konjunktivitis dan demam ­selesema yang ringan. Individu yang mempunyai gejala jangkitan pernafasan dengan maklumat mempunyai sejarah pendedahan kepada populasi burung perlu mendapat rawatan segera dan mungkin memerlukan rawatan intensif. Buat masa ini terdapat antivirus yang dapat mengurangkan gejala teruk, penggunaan vaksin pencegahan pula belum lagi terbukti berkesan. Meskipun jangkitan sesama manusia dalam kes selesema burung belum pernah dilaporkan namun langkah pencegahan perlu dilakukan untuk mengelakkan penularan wabak.

Kesemua produk seperti ­daging dan telur haiwan selamat untuk dimakan dengan syarat dibersihkan menurut langkah amalan kebersihan makanan yang disyorkan serta dimasak sempurna. Biasanya virus penyebab mati akibat pemanasan pada suhu masakan iaitu pada suhu melebihi 70 darjah Celsius. Sehingga kini, tiada kes jangkitan pada manusia dilaporkan melalui memakan makanan produk ternakan burung.

Oleh itu, pengisytiharan bencana akibat wabak selesema burung di Kelantan adalah langkah berjaga-jaga untuk mengekang mengelakkan penularan virus dalam haiwan domestik ke daerah lain di luar kawasan terjejas. Wabak berkenaan pada masa ini hanya melibatkan populasi ternakan domestik, tiada kes pesakit klinikal. Jabatan Veterinar Negeri dengan kerjasama agensi terlibat melaksanakan prosedur operasi piawai bagi mengekang penula­ran haiwan yang dijangkiti virus.

Langkah pencegahan pada masa ini yang perlu dilakukan oleh masyarakat adalah mengelakkan perhubungan langsung dengan haiwan domestik (semua jenis burung) tersebut yang hidup atau mengelakkan dari menyentuh secara langsung bangkai haiwan mati. Produk makanan dari haiwan berkenaan adalah selamat dimakan dengan syarat dibersihkan dengan sempurna serta dimasak pada suhu biasa dapur masakan.

Kesimpulannya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT dan terus melipatgandakan usaha semoga negara ini terus sejahtera dan terpelihara dari wabak pe­nyakit selesema burung ini dan juga sebarang wabak penyakit.

PROFESOR MADYA DR. MALINA OSMAN ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik), Jabatan Mik­robiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.