Namun, apabila kita melawat atau melancong ke luar negara, nilainya berubah-rubah. Hari ini nilainya mungkin mahal berbanding wang negara yang kita kunjungi. Esok, nilai mata wang RM mungkin sahaja lebih murah. Ini berasaskan tukaran mata wang asing. Tukaran mata wang asing ini bukanlah baharu berlaku. Sudah lama berlaku. Bagi mereka yang tidak pernah pergi ke luar negara, mungkin tidak begitu terasa perubahan kadar mata wang RM berbanding mata wang asing yang lain.

Sebenarnya, kita semua terlibat dengan kadar tukaran mata wang asing ini. Maklumlah, terdapat produk atau perkhidmatan yang dibeli atau dikenakan terlibat dengan tukaran mata wang asing. Mungkin ada yang tidak nampak secara jelas dengan mata kasar. Kita hanya membeli sahaja. Tidak nampak bezanya. Misalnya, ambil contoh apabila kita membeli buah yang berasal dari negara asing, harganya berubah-rubah mengikut tukaran mata wang RM berbanding mata wang negara yang mengeluarkan buah tersebut.

Jadi, persoalannya, sejauh manakah kesan turun naik kadar mata wang RM terhadap kita? Itu mengikut situasi siapakah kita? Jika kita terlibat dalam menjual barangan ke luar negara, nilai mata wang RM yang murah membolehkan lebih banyak produk boleh dijual di pasaran luar negara. Dengan kata lain, kuantiti eksport akan lebih tinggi.

Namun, bagi pengguna, mereka terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi kerana terpaksa menggunakan RM lebih tinggi untuk membayar sesuatu barangan yang diimport. Ambil contoh, bagaimana pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi ke atas harga minyak petrol jika kadar tukaran mata wang RM lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (ASD).

Bagaimanapun, situasi ini akan berbeza jika harga minyak di pasaran dunia rendah meskipun nilai tukaran mata wang RM berbanding ASD juga rendah. Situasi ini berlaku jika kadar penurunan harga minyak lebih tinggi berbanding kadar penurunan RM berbanding dolar. Dengan ini, harga minyak dijangka lebih murah memandangkan pengguna tidak perlu membayar lebih menggunakan RM untuk membeli minyak.

Maka, sudah tentulah ketika nilai tukaran RM lebih mahal berbanding ASD, pengguna mampu membeli minyak dengan lebih banyak liter lagi. Situasi ini dikenali sebagai kuasa beli. Kuasa beli bukan setakat bergantung pada harga sesuatu barangan atau perkhidmatan tetapi juga nilai sesuatu mata wang tersebut. Pada ketika kadar tukaran RM lebih mahal berbanding ASD, maka kuasa beli pengguna akan meningkat. Misalnya, kadar tukaran mata wang asing pada hari Jumaat lalu bernilai RM3.97 bagi satu ASD akan mampu membeli sesuatu barangan yang diimport dengan lebih banyak berbanding nilai tukaran RM3.985 bagi satu ASD pada hari Khamis lepas.

Jadi, persoalannya, mana lebih baik, nilai tukaran yang rendah atau yang tinggi berbanding ASD. Kedua-duanya memiliki kebaikan dan kelemahan bergantung pada kedudukan seseorang. Jika kita mengetahui bahawa kadar tukaran RM berbanding ASD lemah, maka kurangkan membeli barangan import. Beralihlah membeli barangan alternatif yang dikeluarkan oleh pengeluar tempatan. Lebih tepat lagi, belilah barangan tempatan. Malah, pelabur institusi juga dijangka mengurangkan pelaburan luar negara pada masa ini.



Faktor harga minyak

Namun, ketika nilai tukaran mata wang RM lebih mahal berbanding ASD, pengguna boleh membeli barangan import dengan lebih banyak lagi bergantung pada harga sesuatu barangan tersebut. Tekanan inflasi dan kadar faedah ke atas hutang luar negara berkurangan. Dengan itu, pada masa ini, berbelanjalah membeli dengan lebih banyak lagi barangan import terutamanya barangan keperluan pengguna yang tidak dapat dikeluarkan oleh pengeluar tempatan.

Dalam konteks harga minyak yang tidak menentu pada masa kini, kadar tukaran RM berbanding ASD juga tidak menentu. Pada masa kini, kadar tukaran RM3.97 berbanding satu ASD menunjukkan betapa pemulihan harga minyak dunia semakin jelas kelihatan dengan harga minyak pada hari Jumaat lalu meningkat kepada paras AS$70 setong.

Kenaikan harga minyak dunia yang telah mengukuhkan nilai RM berbanding ASD telah melonjakkan Bursa Malaysia kepada 1,822.67 pada hari penutup minggu ini. Namun, sukar untuk diramal kenaikan harga minyak sehingga AS$100 setong pada masa akan datang. Jika ini berlaku, pastinya jangkaan kadar tukaran RM berbanding satu ASD akan lebih baik berbanding ketika harga minyak dunia berada di bawah paras AS$40.

Kadar tukaran RM berbanding ASD bukan setakat bergantung pada harga minyak, faktor-faktor lain terutamanya kekuatan ekonomi Malaysia yang boleh menarik pelaburan asing juga boleh memberi kesan terhadap kenaikan kadar mata wang RM berbanding ASD. Sayugia diingatkan kenaikan ini bukanlah bermaksud lebih tinggi kadar tukaran RM berbanding ASD, maka ini menunjukkan mata wang RM lebih mengukuh berbanding ASD. Sebaliknya, pengukuhan RM berlaku apabila hanya sedikit wang RM digunakan untuk ditukar kepada satu ASD. Maka, dalam hal ini, lebih mahallah tukaran mata wang RM berbanding ASD daripada sebelum ini. Lebih mahal RM berbanding ASD, maka lebih tinggilah kuasa beli pengguna.

Faktor kadar faedah juga boleh memberi kesan terhadap kadar tukaran mata wang RM berbanding ASD. Misalnya, jika Rezab Persekutuan AS mengumumkan kenaikan kadar faedah ASD, maka wang panas akan beralih ke pasaran AS. Dengan itu, dijangkakan kadar tukaran RM akan mengalami kejatuhan berbanding ASD. Begitulah sebaliknya jika BNM menaikkan kadar faedah.

Sebenarnya, sukar bagi RM untuk berada di bawah paras RM3 bagi satu ASD sebagaimana sebelum krisis kewangan Asia 1997/98. Hal ini berlaku sedemikian rupa kerana impak besar krisis kewangan tersebut terhadap RM pada masa tersebut masih terasa sehingga kini. Bagi memastikan Malaysia berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju dan kekal mapan, mahu tidak mahu kadar mata wang RM perlu sentiasa kukuh berbanding ASD. Dengan itu, kuasa beli rakyat Malaysia akan sentiasa tinggi.

Usah bimbang dengan nilai eksport yang sedikit mahal jika pengeksport tempatan berkemampuan menjual produk yang berkualiti tinggi dan sukar ditukar ganti dengan produk negara lain. Dengan itu, kesan tukaran mata wang tidaklah begitu terasa kepada pengeksport tempatan. Apa yang penting, kadar tukaran mata wang yang kukuh mencerminkan kekuatan dan kestabilan ekonomi sesebuah negara.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (ISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.