Di manakah pula kedudukan Raja Berperlembagaan di negara ini? Bukankah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan itu adalah sistem atau corak pemerintahan di negara ini?

Pernyataan hanya Demokrasi Berparlimen sebenarnya telah menimbulkan kekeliruan rakyat di negara ini sehingga terciptalah istilah kuasa rakyat.

Siapa itu rakyat dan siapa pula raja? Banyak definisi tersendiri akan tercipta. Bagaimanapun mengikut Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang utama di negara ini di bawah Perkara 4, mendefinisikan rakyat di bawah Perkara 14 menyebut warganegara dan raja yang dimasukkan dalam sistem pemerintahan negara dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 32 iaitu ketua utama negara bagi Persekutuan serta bacaan bersama beberapa perkara lain yang menyatakan dengan jelas fungsi dan kuasa institusi raja di negara ini.

Demokrasi Berparlimen merupakan ruang kepada setiap warganegara ini terlibat di dalam proses pentadbiran negara ini. Tetapi sejauh mana Demokrasi Berparlimen ini difahami apabila mereka yang diberi hak untuk menentukan siapakah wakil rakyat di kawasan mereka menerusi proses pilihan raya enggan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi?

Pernahkah terlintas di fikiran mereka bahawa dengan mengundi sebenarnya mereka turut sama menentukan masa depan generasi yang berumur kurang 21 tahun yang tidak layak bergelar sebagai pengundi di bawah perkara 119 tetapi mengharapkan masa depan mereka lebih baik bersandarkan prinsip moral, keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Kuasa rakyat yang dilaungkan sebenarnya hanya sehari sahaja bermula dari 8 pagi hingga 5.30 petang pada hari mengundi. Selepas itu kuasa rakyat yang disebut itu akan terletak di bahu seorang yang bergelar wakil rakyat.

Berat sebenarnya tanggungjawab seorang pengundi ini kerana pemilihan mereka akan menentukan siapakah yang akan mewakili kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Berdasarkan peratusan mereka yang keluar mengundi di tiga pilihan raya kecil yang lalu iaitu Sungai Kandis (49.8 peratus), Seri Setia (44 peratus) dan Balakong ( 43 peratus) menunjukkan trend yang agak membimbangkan. Ia seolah-olah memberi isyarat salah bahawa untuk menentukan hala tuju dan kelestarian negara ini bukan menerusi pilihan raya seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

Maka rule of law bertukar kepada rule by law. Di mana rule of law iaitu mengikut proses undang-undang diganti dengan rule by law iaitu melaksanakan undang-undang sendiri disebabkan termakan hasutan kononnya pilihan raya berkenaan tidak mengubah apa-apa. Kesannya apabila tidak berpuas hati dengan calon yang menang maka protes berlaku sehingga menyebabkan ketidaktenteraman awam seterusnya memberi implikasi buruk terhadap sistem demokrasi di negara ini.

Bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku, maka mereka yang bergelar pengundi memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan negara ini seterusnya menidakkan hasutan pihak tidak bertanggungjawab kerana sekiranya jumlah mereka yang keluar mengundi dalam setiap pilihan raya sekurang-kurangnya 95 peratus bermakna pengundi di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri telah membuat pemilihan.

Mereka yang bukan pengundi di kawasan berkenaan tidak mempunyai locus standi untuk mencampuri urusan pemilihan kerana pengundi berdaftar telah memilih wakil rakyat mereka secara sah mengikut perlembagaan negara.

Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober ini menampilkan tujuh calon selaras di bawah Perkara 48 dan syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Kenapa tujuh calon? Bukankah semua warganegara Malaysia terutama pengundi di kawasan berkenaan yang berjumlah 75,212 pengundi layak dicalonkan sebagai calon? Asalkan layak di bawah Perkara 48 dan mampu menyediakan wang deposit seseorang itu berhak mencalonkan dirinya untuk bertanding.

Ini membuktikan betapa Perlembagaan Persekutuan berlaku adil kepada setiap warganegaranya dan seharusnya ketujuh-tujuh calon berkenaan diraikan kerana mereka sanggup menawarkan diri memikul tanggungjawab sebagai ahli parlimen sekiranya menang.

Justeru diharap PRK Port Dickson yang diadakan selaras perkara 54 iaitu kekosongan di dalam Dewan Negara dan kekosongan luar jangka mampu memperbetulkan persepsi bahawa sistem Demokrasi Berparlimen di negara ini masih subur dengan Raja Berperlembagaan melengkapkan hubungan antara rakyat dengan Raja yang telah berakar umbi sejak beratus tahun lalu.

Seperti mana termaktub di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 dan Pemasyhuran Malaysia 1963 yang tertulis: “Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai raja yang berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen”.