Pertama sekali, marilah sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, atas limpah izin dan kurnia-Nya, dapatlah kita berhimpun pada petang yang berbahagia ini, di Dewan Utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bagi menjayakan satu majlis yang amat bererti kepada Bumiputera, Malaysia.

Sesungguhnya, saya diberita­hu, di hadapan saya ini antaranya terdiri daripada lebih ku­rang 1,500 orang hadirin, yang ma­joriti­nya direct beneficiaries atau penerima langsung manfaat kepada program-program kerajaan, atau dalam erti kata lain, tuan-tuan dan puan-puan adalah saksi dan bukti terhadap pelbagai usaha kerajaan, dalam memperkasakan Agenda Bumiputera. 

Makanya, program hari ini, sebenarnya adalah susulan daripada inisiatif Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera pa­da 2011, yang kemudiannya diperkukuhkan lagi dalam satu majlis bersejarah pada 14 September 2013, iaitu Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. 

Sebelum saya berbicara lebih lanjut, elok diimbau dari segi sejarahnya, dasar berkaitan Bumiputera yakni Dasar Ekonomi Baru yang lebih dikenali sebagai DEB, telah digagaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, pada 1971.

Dasar ini telah terbina sebagai satu instrumen untuk mengimbangi jurang antara kaum yang me­runcing ketika itu sehingga terjadinya rusuhan, baru kira-kira 12 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. 

Realitinya, walaupun dasar ini telah berlangsung secara rasminya sehingga awal 1990-an, namun secara umumnya,bukan sahaja roh dan semangat, bahkan prinsip serta falsafah DEB masih kekal membara dan berhembus segar, terus dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Di era 1990-an, membawa kepada tahun 2010, pelbagai wawasan, dasar dan misi nasional, telah terus berkesinambungan, melaksanakan Agenda Bumiputera. 

Justeru, selepas saya mengambil alih kepimpinan negara selaku Perdana Menteri, saya melihat ini­siatif, prakarsa dan perjuang­an terhadap kepentingan bumiputera, sewajibnya terus menjadi Agenda Utama. 

Sesungguhnya, justifikasi kepada kenapa pihak kerajaan mesti prihatin dan memikul tanggungjawab yang besar terhadap Agenda Bumiputera, adalah kerana menurut statistiknya, terkini, daripada segi jumlah kependudukannya pun, masyarakat bumiputera mewakili seramai 68.6 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 31.7 juta orang. 

Diunjurkan pula, jumlah ini akan mencecah 69.1 peratus, kira-kira tiga tahun dari sekarang, dan apabila tibanya tahun 2030, akan mencapai 70.7 peratus.

Bercakap tentang bumiputera dan tuntutan untuk memelihara kepentingannya, ia sangat jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan antaranya melalui Perkara 153, yang menyebut bahawa, hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera, baik di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, mesti dilindungi, mesti dipelihara dan semestinya dipertahankan sampai bila-bila.    

Oleh itu, adalah amat wajar bagi pihak kerajaan, yang ditunjangi oleh UMNO dan Barisan Nasional, bukan sahaja untuk terus memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu serta bumiputera Islam dan bukan Islam, bahkan kekal memartabatkannya sebagai Agenda Nasional.

Namun demikian, pihak kerajaan sentiasa beringat-ingat bahawa, dalam memperjuangkan Agenda Bumiputera, bukan bermakna kita sewenang-wenang­nya boleh mengambil hak orang lain. Sebaliknya, secara beriring-iring dan selari, kerajaan wajib menjaga kepentingan sah kaum-kaum yang ada di negara ini.  

Begitulah dengan berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut dan juga hasil daripada pelbagai dasar, kita telah menyaksikan bagaimana sejak 1970, kadar kemiskinan yang dahulunya pada tahap 49.3 peratus, telah berkurangan kepada 3.8 peratus pada 2009, dan terus menyusut kepada 0.6 peratus pada 2014. 

Yang lebih membanggakan kita, atas segala usaha Kerajaan Barisan Nasional sejak berpuluh-puluh tahun, dan suka saya ula­ngi dalam ucapan di mana-mana bahawa, faktanya, kemiskinan tegar di Malaysia, kini telah hampir disifarkan kesemuanya.

Bercakap tentang hal bumi­pu­tera, sejak mencapai kemer­dekaan, kerajaan telah berjaya mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi, demi kepentingan Melayu serta bumiputera antaranya, Lembaga Tabung Haji, Felda, RISDA, Felcra, UDA, DARA, Jengka, Kete­ngah, Kesedar, Mara dan UiTM.

Ternyata, institusi-institusi bu­mi­putera ini telah berjaya membawa banyak manfaat kepada pemerkasaan ekonomi dan pendidikan bumiputera.

Sebagai contohnya, Lembaga Tabung Haji yang telah diiktiraf sebagai institusi terbaik dalam pe­ngurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif oleh kebanyakan negara Islam di dunia.

Menyentuh hal perjuangan Agen­da Bumiputera di bidang pen­didikan pula, pastinya, kita tidak dapat tidak, terus mengangkat tinggi Universiti Teknologi Ma­ra (UiTM). Apa yang ingin saya tegaskan ialah, kerajaan terus tegar dalam memperjuangkan agen­da pendidikan bumiputera.

Justeru, kerajaan menyasarkan supaya pengambilan pelajarnya mencapai seramai 250,000 orang menjelang tahun 2020. Setakat November 2016 sahaja, bilangan pelajarnya telah mencecah lebih 165,000 orang, di 36 kampus UiTM seluruh negara.

Apa yang paling membanggakan kita, UiTM sebagai institusi Bumiputera, telah berjaya me­lahirkan seramai lebih 700,000 graduan anak-anak Melayu dan bumiputera yang berjaya, antaranya menjadi golongan profesional dan teknokrat di pelbagai bidang serta sektor. Semoga terus maju jaya dan tahniah kepada UiTM!

Tidak terhenti setakat itu, me­lalui program Jelajah Pendidikan Bumiputera, kita telah berjaya membantu 37,324 orang pelajar bumiputera yang tercicir, miskin dan kurang berkemampuan, untuk menyambung pendidikan ke peringkat pendidikan tinggi. 

Bahkan, pada tahun ini, saya ma­hukan sekurang-kurangnya, seramai 50,000 lagi pelajar bumiputera dibantu melalui inisiatif ini. Program ini melibatkan usaha pencarian hingga ke desa-desa, demi membela untung nasib anak-anak bumiputera di pedalaman. 

Seperti yang ramai maklum, da­lam era pentadbiran kerajaan sekarang ini pula, kita telah memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN semenjak 2010. 

Dasar ini, memayungi terutamanya, Program Transformasi Nasional atau NTP yang bersifat inklusif, sebagai pemangkin untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju High Income Advanced Economy dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Di bawah DTN juga, terdapat antara lain, Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi, Program Transformasi Politik serta Program Transformasi Sosial.

Jika kita andaikan secara metafora, seperti yang boleh dilihat di layar putih, framework atau kerangka utama membina keja­yaan Malaysia, bumbungnya adalah Dasar Transformasi Nasional, yang dipancang oleh tiang-tiang seri atau tonggak-tonggak yang menunjang DTN, seperti saya sebutkan tadi. 

Seluruh struktur ini, berlantaikan pula, kemajmukan rakyat yang berpegang kepada prinsip dan falsafah 1Malaysia. 

Jadinya, pada hemat saya, bertolak daripada itu, sebarang dasar yang melibatkan bumiputera, tidak boleh menjadi satu program yang bersifat tersendiri, terasing atau stand alone. Dalam erti kata, bukan juga hanya menjadi salah satu tiang yang menonggak Dasar Transformasi Nasional.

Lalunya, sekali lagi, jika kita melakarkan ibarat, dasar dan Agenda Bumiputera, sewajib­nya terangkum serta bersifat all encompassing yakni merentasi se­tiap daripada tiang-tiang utama yang menjunjung Dasar Transformasi Nasional.

Menelusuri proses pembikin­an Malaysia sebagai sebuah negara bangsa, yang berdaulat lagi merdeka, kita telah bertatih, bertapak dan berjalan jauh selama 60 tahun ini, membangunkan negara ini melalui pelbagai dasar, rancangan serta inisiatif tanpa kunjung jemu.

Kita bermula sebagai sebuah negara yang kecil, berasetkan kemajmukan rakyat, bergantung kepada hasil pertanian, bahkan kenangan manis belanjawan pertama negara pabila dibentangkan, hanya pada nilai RM888 juta. Sekarang, setelah enam dekad berlalu, Bajet 2017 menyaksikan telah meningkat sebanyak hampir 300 kali ganda nilainya iaitu, RM260.8 bilion.

Seterusnya, jika dibandingkan dengan Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional, yang akan masuk tahun keenam pembentangannya tanggal 23 Mei 2017 nanti, Inisiatif Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dimulakan pada 2011, kini telah memasuki fasa kedua dari 2017 sehingga 2025, yakni sekitar lapan tahun dari sekarang.

Justifikasinya, jika kini, pada keseluruhan nilaian ekonomi dan dagangan semasa negara, yakni RM1.3 trilion, kek penyertaan, kekayaan dan penglibatan bumiputera di bidang ekonomi, menurut laporan Unit Perancang Ekonomi atau EPU, sejak 2012 hingga 2014, kadar kenaikan purata pendapatan kasar isi rumah Bumiputera adalah sebanyak 24.5 peratus, lebih tinggi dari kadar kenaikan purata pendapatan kasar negara. 

Melihat kepada peratusan ini, bagi tahun-tahun yang mendatang, dalam istilah yang mudah, apa yang saya ingin lihat tentang kedudukan dan pencapaian ekonomi bumiputera, adalah bertolak dari mana kita berada sekarang, dan ke manakah hala tuju selanjutnya, berbanding dahulu.

Oleh itu, sebagai langkah memperkasakan Agenda Bumiputera, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi sebuah ekonomi RM2 trilion menjelang tujuh hingga lapan tahun dari sekarang, maka pada hari ini, selain daripada kita melaporkan kisah-kisah kejayaan, kita akan melancarkan satu lagi inisiatif yang besar oleh Teraju iaitu, Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0.


KEJAYAAN DAN PENCAPAIAN EKONOMI BUMIPUTERA  SEJAK 2011
Justeru kini, saya ingin melaporkan kisah-kisah kejayaan Bumiputera sebentar lagi, yang telah dilakar melalui pelbagai inisiatif Teraju, selaku Agensi Pelaksana kepada Majlis Ekonomi Bumiputera sejak ia ditubuhkan.

Seperti yang disebutkan, pada 2011, saya telah melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, yang mempu­nyai dua matlamat penting iaitu pertama, memperkukuhkan pe­nyertaan bumiputera dalam

ekonomi negara melalui penciptaan kekayaan dan keduanya, penyertaan seimbang dalam guna tenaga bidang bernilai tinggi serta pembangunan keusahawanan.

Dalam Fasa Pertama inisiatif bumiputera di bawah DTN ini, antaranya lahirlah inisiatif Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau Teras, Dana Mudah Cara dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. Alhamdulillah, kera­na inisiatif ini telah membuahkan pelbagai kejayaan. 

Menerusi program Teras sebanyak 1,014 buah syarikat te­lah diberikan sokongan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan sokongan pembiayaan.

Di bawah program ini, kerajaan telah mewujudkan Dana Teras bercagarkan RM332 juta, dan telah menarik penyertaan  lima buah institusi iaitu SME Bank, RHB Islamic­, Maybank, MIDF dan Malaysian Debt Ventures, yang memberi serta menggandakan kemudahan pembiayaan kepada RM3.14 bilion. 

Suka saya maklumkan sehingga Mac 2017, sebanyak 306 buah syarikat Teras telah menerima kelulusan pembiayaan bagi pembe­lian aset dan modal kerja bernilai RM1.3 bilion.

Dalam hal ini, saya ingin menceritakan dua kisah kejayaan syarikat Teras, iaitu System Consultancy Services Sdn. Bhd. atau SCS, yang telah berjaya memecah monopoli syarikat luar negara dalam perkhidmatan IT yang berkaitan tentang industri pertahanan. 

Begitu jugalah kepada AUEI Teras Holdings Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembangunan dan pelaburan hartanah dari Kota Bharu, Kelantan, yang bermula hanya mengendalikan projek bernilai lebih RM25 juta, telah melonjak kepada lebih RM300 juta. 

Tepukan syabas kepada pe­ngarah urusan kedua-dua syarikat tersebut iaitu,  Mat Asis Mahnoon dan Rita Sarbani Ismail!

Selanjutnya, Dana Mudah Cara adalah satu insentif bagi menggalakkan pelaburan swasta bumiputera yang mana sebanyak 469 buah projek telah mendapat kelulusan pembiayaan. 

Hasilnya, syarikat-syarikat bumiputera tersebut telah membuat pelaburan domestik bernilai RM13.18 bilion iaitu 8.4 kali ganda daripada nilai geran yang diberikan oleh kerajaan, sekali gus mewujudkan lebih 43,000 peluang pekerjaan.

Sebagai contoh syarikat SMR Aquaculture Sdn. Bhd. telah menerima geran sebanyak RM2.6 juta, untuk menjalankan perniagaan serampang tiga mata iaitu akuakultur, pertanian hidroponik dan pengeluaran tenaga solar di Tawau, Sabah. 

Projek yang bernilai RM48.35 juta ini akan merangsang industri pelancongan Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan. Jus­teru, marilah kita berikan tepukan tahniah kepada saudara John Nip yang berketurunan Sino-Kadazandusun! 

Manakala dalam hal kejayaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera pula, bermatlamat untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera mendapatkan pendidikan dan pekerjaan lebih baik. 

Misalannya, saya begitu ter­sentuh dan berasa bangga de­ngan pencapaian Auni Wadhiah Azahar, pelajar berumur 15 tahun, dari SMK Agama Dato’ Haji Abbas, Terengganu, kini tinggal bersama ibunya, yang berpendapatan RM700 sebulan sebagai tukang jahit. 

Namun melalui program Pene­raju Tunas Geliga, Alhamdulillah, pada 2016, atas kegigihannya telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 11A dalam peperiksaan PT3. Marilah kita berikan tepukan tahniah dan Selamat Maju Jaya kepada Adik Auni! 

Melalui sidang Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 2013, lahirnya pula antara yang terpen­ting adalah Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB, Skim Permulaan Ekonomi Bumiputera atau Superb dan Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Sebagai membuktikan komitmen kerajaan terhadap Agenda Bumiputera, MEB yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan kita telah menetapkan ia bersidang sekurang-kurangnya setiap sebulan sekali dan jika
berkeperluan lebih sekali, de­ngan memanggil pelbagai pihak bumiputera yang berkepenting­an menurut isu yang berbangkit untuk dibincang serta diselesaikan. 

Demikianlah tingginya martabat yang diletakkan oleh kerajaan pimpinan saya, terhadap ehwal bumiputera, kerana dalam hierarki kekerapan mesyuarat utama selepas Kabinet, saya letakkan mesyuarat berkaitan bumiputera.

Malah, tidak pernah diperbuat sebelum daripada ini, ditubuhkan Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di semua 24 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri. 

Bahkan, saya telah mengarahkan agar Agenda Bumiputera menjadi pertimbangan penting pada sebarang keputusan GLC dan GLIC. 

Menerusi SUPERB yang memperuntukkan sejumlah RM100 juta sebagai modal permulaan, setakat ini telah berjaya membantu seramai 125 orang anak muda di bawah umur 40 tahun, merea­lisasikan idea perniagaan mereka yang inovatif, dengan jumlah ke­seluruhan geran bernilai RM62.5 juta.

Saya mahu mengambil contoh kejayaan Muhamad Nuruzon Wagiman, berusia 26 tahun yang berasal dari Muar, Johor. 

Beliau telah menubuhkan Nuruzon Technology Resources Sdn. Bhd. dengan membina sebuah bengkel yang lebih bersistematik dan mempunyai SOP dalam pembuatan jentera gerabak. Kepada anak muda berjiwa kental ini, syabas diucapkan!

Melalui kedua-dua Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 2011 dan 2013 tersebut, Alhamdulilah, setakat Mac 2017, sejumlah RM108 bilion berjaya dijana melalui kesemua inisiatif bumiputera.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM80 bilion adalah daripada peluang perniagaan bumiputera, khususnya RM54 bilion melalui dasar Carve-out and Compete.

Contoh terbaik Carve Out and Compete yang ingin saya kongsikan adalah kejayaan fasa pertama projek InfraRakyat mega yakni MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer. 

Bagi projek MRT Fasa 1 sahaja, daripada nilai pakej pembangunan projek RM21.2 bilion, seba­nyak 51 peratus telah diberikan kepada kontraktor bumiputera. 

Mustahaknya, dalam peng­anugerahan kontrak atau tender, if we choose the right bumiputera,  dalam erti kata bukan sekadar atas dasar kawan mahupun kroni, tetapi kalau kenalan sekali pun, mestilah bumiputera yang berdasarkan merit dan kebolehan.

Ini akan memastikan kontraktor berjaya menyiapkan projek mengikut jadual dan menepati bajet kos pembinaan yang ditetapkan.

Bahkan, kerajaan komited untuk menyediakan 50 peratus tempat perniagaan baharu lain yang strategik seperti di stesen-stesen MRT, sebagai memberi ruang dan membuka peluang kepada usahawan bumiputera.

Tidak lagi di tempat-tempat yang gelap, tersorok dan langsung tidak mempu­nyai daya komersial. 

Lantaran demikian, pada perjumpaan penuh bermakna lagi bersejarah ini, kita akan menong­kah Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang selanjutnya. 

Pucuk pangkalnya, kita tidak boleh berhenti setakat ini atau berasa selesa dan berpuas hati berada pada takuk yang sama, iaitu menjadi jaguh kampung semata-mata. 

Untuk itu, hasil dapatan daripada Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0, beberapa penambahbaikan telah diterima dan akan diberi pertimbangan.


TRANSFORMASI KESEJAHTERAAN BUMIPUTERA
Lantaran itu, bagi membawa komuniti dan usahawan bumiputera yang lebih berfokus, berdaya maju, kreatif serta inovatif dan bersedia untuk bersaing di peringkat global, pada petang ini saya ingin membentangkan satu
lembaran berwajah baharu kepada perjuangan memperkasakan Agenda Bumiputera, yang saya namakan sebagai, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB.

Kenapa TKB? Kerana jika sebelum ini, Agenda Bumiputera lebih tertumpu kepada sudut ekonomi sahaja. 

Maka, pada hari ini, apa yang saya mahukan ialah Transformasi Kesejahteraan Bumiputera ini bersifat inklusif atau terangkum lagi holistik.

Maksudnya di sini, dalam membela dan memperkasakan Agenda Bumiputera, ia tidak terhad kepada bidang-bidang tertentu seperti ekonomi semata-mata.

Bahkan lebih mustahak dan jauh daripada itu, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera ini, turut merangkumi segenap aspek Kesejahteraan Hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya, duduk dalam persekitaran yang selesa serta dinamik, seraya  membela untung nasib serta meng­angkat martabat bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.

Sesungguhnya lagi, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera sebagai memasuki Fasa Kedua yang berasaskan kepada Lima Transformasi Utama Bumiputera:

* Pertamanya: Dengan Cara Melonjakkan Skala Bumiputera. Seperti yang kita maklumi, terdapat pelbagai fasa dan kategori syarikat bumiputera di Malaysia, dari yang berskala kecil atau mikro, sederhana hinggalah kepada yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa. 

Justeru, apa yang kita mahukan adalah, memastikan setiap syarikat bumiputera ini mempunyai laluan yang jelas dari fasa permulaan perniagaan sehingga fasa matang seperti sebuah syarikat multinasional bumiputera. 

Ertinya di sini, bagi setiap pe­ringkat perniagaan, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan, sebagai pemangkin untuk sesebuah perniagaan itu meningkat maju ke fasa yang selanjutnya. 
Misalnya, sesebuah perniagaan mikro berpeluang menjadi syarikat SME, dan seterusnya menjadi syarikat besar yang mampu menjana pendapatan lumayan serta satu hari nanti, tersenarai di Bursa Saham, dan
berkebolehan untuk mengeksport produk ke luar negara. 

Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan Skim Jejak Jaya Bumiputera atau SJJB bagi membantu meningkatkan jumlah syarikat untuk disenaraikan secara kolaborasi dengan Ekuiti Nasional atau Ekuinas.
Pada 2011, program SJJB telah diletakkan di bawah Teraju yang mana pada ketika itu sebanyak lima syarikat bumiputera telah berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dengan jumlah nilai modal pasaran yang direkodkan ketika itu ha­nyalah sebanyak RM969 juta sahaja.

Syukur. Kini, program SJJB telah berjaya menambah lapan lagi syarikat bumiputera ke Bursa Malaysia dan telah mencatatkan jumlah nilai pasaran sebanyak RM7.8 bilion.

Jika dibandingkan dengan nilai pasaran mereka ketika IPO, kesemua 13 syarikat SJJB ini telah mencatatkan pertumbuhan nilai modal pasaran sebanyak RM4.5 bilion.

Contoh terkini, Serba Dinamik Holdings Berhad dari Sarawak, merupakan syarikat yang ke-13 daripada program ini, selepas ha­nya satu bulan disenaraikan, mo­dal pasarannya telah meningkat seba­nyak 20 peratus iaitu daripada RM2 bilion kepada RM2.4 bilion pada Mac 2017. Tahniah kita ucapkan!

Merujuk kepada usahawan mikro pula, melalui dapatan Makmal Sindikasi TKB, secara puratanya terdapat sembilan daripada 10 buah syarikat bumiputera di negara ini yang masih berskala mikro. 

Justeru, saya menyarankan agar organisasi dan syarikat besar yang mendapat kontrak serta konsesi kerajaan termasuklah GLIC dan GLC untuk melaksanakan Dasar Mesra-Bumiputera Mikro dan Kecil.

Seterusnya, program penembusan pasaran atau market access akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada program pembangunan keusahawanan, terutamanya dalam e-dagang atau e-commerce.
Juga, untuk meluaskan pasaran perniagaan mereka,  usaha peng­antarabangsaan syarikat-syarikat bumiputera akan dilaksanakan termasuklah pembangunan produk dan perkhidmatan yang memenuhi spesifikasi
eksport atau export-ready, pembangunan pusat pengedaran di luar negara dan kerjasama dengan Matrade.

Jelas sekali, TKB diperlukan bagi memastikan pelan-pelan dapat dilaksanakan secara berkesan dalam setiap fasa ini. 

Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang keduanya ialah dengan cara Memperkasakan Modal Insan Bumiputera. Sebagai penduduk majoriti di negara ini, seharusnya, bumiputera menjadi penyumbang utama
kepada pembangunan dan ekonomi negara, termasuklah di bidang akademik, agama, sains teknologi, kebudayaan mahupun sukan.

It is my hope and dream, to see we produce world class sportsmen, more world class scientists, artists, novelists and Insya-Allah, one day, Nobel Prize winners.

Sebenarnya, pemerkasaan modal insan kaum bumiputera, bukan sahaja terhad kepada pe­ningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi juga peningkatan jati diri dari segi jasmani dan rohani. 

Dari perspektif ekonomi pu­la, pemerkasaan modal insan haruslah dibina untuk mensiapsiagakan kaum bumiputera menghadapi pelbagai arus cabaran dari dalam dan luar negara.

Menjengah sudut pemikiran dan budaya kerja, untuk maju dan bergerak ke hadapan, kita seharusnya mampu melakukan anjakan paradigma supaya tidak terperangkap dalam kepompong pemikiran konvensional. 

Apabila kita menuju Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, ia bererti dasar Bumiputera yang melahirkan dan mencerminkan budaya tinggi, high order thinking skills, high performance culture dan high resilience, yang sesekali tidak mudah menyerah kalah. 

Malah, sudah sampai masanya untuk kita menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai pemacu kepada penjanaan kekayaan dan berdaya maju agar usahawan atau syarikat bumiputera mampu berdiri sama gagah, bersaing megah dengan usa­hawan-usahawan lain. 

What is important here, we bumiputera have the capacity to be at par with the rest as long as we are willing to shift our paradigm and embrace innovation.

Makanya, yakinlah pada kebolehan diri sendiri, sepertimana saya yakin dengan kemampuan masing-masing. Maksudnya, untuk anda lebih berjaya, bukan sahaja di halaman sendiri, malah juga menembusi pasaran antarabangsa.

* Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang ketiganya ialah dengan cara Meningkatkan Daya Saing Bumiputera.

Sebetulnya, kedudukan bumiputera kini lebih baik dari dahulu. Jika sebelumnya, syarikat bumiputera sering dikaitkan de­ngan kontrak yang mahal ataupun kualiti yang kurang memuaskan. 

Tetapi kini, kita berbangga, mutu kerja dan penyampaiannya adalah tinggi, setanding dengan syarikat bukan bumiputera, mahupun syarikat antarabangsa. 

Sebagai contoh, dasar Carve Out and Compete menyediakan ruang dan peluang kepada syarikat bumiputera untuk mendapat kontrak dan menyertai projek-projek mega yang ditawarkan oleh kerajaan, GLC dan swasta berdasarkan merit sesama bumiputera, di samping rekod cemerlang dan keupayaan untuk deliver atau membuat penyampaian.

Setelah melihat kejayaan pelaksanaan program ini, kerajaan berhasrat memperluaskannya beyond projek-projek infrastruktur seperti sektor perkhidmatan.

Sukacita saya maklumkan, setakat ini, peluang penyertaan bumiputera melalui Carve Out and Compete secara keseluruhannya telah mencapai 47.2 peratus atau bersamaan RM54.24 bilion.

Contohnya, Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bermula dari jajaran Teluk Melano ke Lawas di Sarawak, sejauh 1,089 kilo­meter, membawa ke Sabah dari Sindumin hingga ke Tawau, sepanjang 1,236 kilometer, program Carve Out and Compete dijangka mencecah 60 peratus penyertaan kontraktor Bumiputera.  

Bercakap tentang industri pembinaan ini, suka saya menyen­tuh tentang kaedah Industrialised Building System atau IBS yang melibatkan kos yang rendah, penjimatan masa pembinaan dan bersifat lestari. 

Oleh itu, kita akan menumpukan penggunaan teknologi IBS ini di dalam kebanyakan projek-projek kerajaan, dan   saya mahu serta galakkan lebih banyak penyertaan kontraktor bumiputera dalam bidang teknologi IBS ini.

Melalui contoh-contoh di atas, saya menyarankan agar syarikat-syarikat bumiputera yang lain mengambil contoh kejayaan itu, membina daya saing yang tinggi, terutamanya dalam menghadapi pasaran terbuka di arena global. 

* Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang keempatnya ialah dengan cara Mendaya Mobiliti Sosial Bumiputera.

Sesungguhnya, kerajaan amat prihatin dan mementingkan kese­jahteraan hidup rakyatnya. Apa yang kita hasratkan dari semasa ke semasa, kerajaan dapat membantu meningkatkan status ekonomi dan kualiti hidup
rakyatnya kepada yang lebih baik serta selesa. 

Dalam konteks Malaysia, mobiliti sosial yang kerajaan mahukan ialah berlakunya peningkatan taraf hidup rakyat daripada kepompong persekitaran yang rendah kepada tahap yang lebih tinggi. Ia juga boleh dilihat dari pelbagai aspek seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan dan pendapatan.

Maksudnya, berlaku perubahan status individu dan masyarakat daripada miskin menjadi kaya, mereka yang unskilled dilatih menjadi berkemahiran tinggi serta golongan berpendapatan rendah pula, akan menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

Malahan, melalui pelaksanaan secara pragmatik oleh kerajaan, telah meningkatkan mobiliti sosial negara ini menjadi di antara yang terbaik di dunia, setara de­ngan negara maju seperti Kanada, bahkan lebih baik dari negara Sweden dan Jerman.

Contohnya, anak-anak petani dan nelayan di negara ini, cuma melalui satu generasi sahaja, telah mampu memperbaiki taraf kehidupan mereka, sehingga ada yang telah memegang jawatan utama negara seperti profesor, ketua eksekutif dan menteri.Malah, kita juga berjaya dalam beberapa bidang profesional se­perti perubatan dan kejuruteraan.

Pada sudut ini, Digital Economy atau Ekonomi Digital yang menjadi industry of the future, berpotensi sebagai salah satu lonjakan dalam mobiliti sosial. Justeru, baru-baru ini, saya te­lah melantik Jack Ma, seorang bilionair terkemuka  dari China, sebagai Penasihat Khas Ekonomi Digital kepada Kerajaan Malaysia. 

Malah, pada 23 Mac 2017 pula, saya telah melancarkan Zon Per­dagangan Bebas Digital atau DFTZ, hab ekonomi pertama di dunia di luar China, yang memberi tumpuan terhadap pengembangan pasaran digital usahawan PKS dan usahawan muda. 

Melalui inisiatif seperti ini, Ekonomi Digital dijangka mampu mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan baharu, sekaligus berupaya menyumbang lebih 20 peratus penghasilan kepada KDNK negara.

Mustahak untuk difahami oleh bumiputera bahawa, menjadi hasrat saya apabila DFTZ diwujudkan, ia memungkinkan level playing field atau padang saingan terbuka bagi bumiputera bebas-lepas untuk menembus masuk pasaran dengan lebih meluas.

Peluang sebeginilah yang sepatutnya usahawan bumiputera te­roka dan ceburi, kerana pada masa ini, saya lihat kebanyakan usahawan bumiputera hanya menumpukan perniagaan di peringkat domestik sahaja yang mana pasarannya sangat terhad. 

Jadinya, boleh saya rumuskan bahawa, mobiliti sosial ini perlu terus diperkasakan demi manfaat masyarakat bumiputera.

* Kelimanya ialah dengan mentransformasikan kesejahte­raan bumiputera secara tuntas dan holistik.

Dalam hal ini, sebagai tambahan dan pelengkap kepada 30 peratus ekuiti yang disasarkan melalui DEB, sesuai dengan tuntutan zaman masa kini serta me­nuju TN50.

Pencapaian ekonomi bumiputera juga akan diukur dari segi pendapatan korporat dan isi rumah, peningkatan bilangan profesional berdaftar serta penyertaan di peringkat pengurusan dan berkemahiran tinggi.

Maknanya, kalau selama ini DEB melihat dari segi pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat sebagai penanda aras, TKB kini mengambil kira dimensi  yang lebih meluas dalam meng­ukur kesejahteraan bumiputera.

Sebagai contoh, usaha gigih kerajaan selama ini telah pun membuahkan hasil di mana, purata pendapatan isi rumah bumiputera, telah meningkat dari RM3,624 pada 2009, kepada RM5,548 pada 2014, iaitu sebanyak 53 peratus.

Lanjutan itu, TKB ini, bukan sahaja menjadi Agenda Nasio­nal, bahkan ia dijadikan juga sebagai asas kepada dasar-dasar, pelan induk dan tindakan, dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan yang melibatkan pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Bertolak dari itu, hendak saya pertegaskan bahawa, kerajaan ini merupakan kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan ini akan terus berjuang dalam membela untung nasib orang-orang Me­layu dan bumiputera, sama ada bumiputera Islam mahupun bukan Islam. 

Semestinya juga, kerajaan ini akan terus memperjuangkan ke­pentingan seluruh lapisan rakyat Malaysia, demi keamanan dan ke­stabilan, makmur serta sejahtera.


OPTIMIS 
Ahli cerdik pandai pernah menyebut bahawa, meski dunia ini dipenuhi dengan persaingan, namun bagi mereka yang bijaksana akan pantas menyerlahkan potensi diri, sentiasa optimis menghadapi segala rintangan dengan penuh daya, sehingga mampu mencapai kejayaan. 

Kesimpulannya, jika diamati dan dirumuskan,  berdasarkan apa yang telah saya sampaikan, menjadi bukti bahawa, impak dasar yang membabitkan kese­jahteraan bumiputera di negara ini, yang mana manfaatnya tetap dan turut dinikmati oleh semua kaum. 

Oleh itu, kepada orang-orang Melayu serta bumiputera Islam dan bukan Islam, yang menginduki negara ini, usahlah berasa gundah serta bimbang, kerana, selagi nyawa dikandung jasad, agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB ini akan tetap kita perjuangkan sampai bila-bila.

Atas segalanya, saya bersama-sama dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berserta barisan jemaah menteri, demi Melayu, demi bumiputera, demi rakyat Malaysia seluruhnya akan bersatu hati, seia dan sekata, untuk terus berjuang  memakmurkan negara, sehingga terjulang berada pada kedudukan negara 20 termaju di dunia. Insya-Allah.

Ketahuilah bahawa, setelah 45 tahun berlalu, daripada DEB yang dimulakan oleh ayahanda saya, perjuangan saya demi kesejahtera­an bumiputera bukanlah  sekadar atas sifat dan kedudukan saya selaku pemim­pin dan Perdana Menteri, tetapi sebenarnya datang dari leluhur saya yang ikhlas dan jujur sebagai seorang pemimpin yang sangat sayang akan jati bangsanya.

Pokoknya, kita mahu melihat akan munculnya masyarakat bumiputera yang dapat merasai setiap daripada detik nikmat kemajuan negara. Kerana itulah erti sebenarnya kesejahteraan dan kemakmuran kepada bumiputera. 

Kendati itu, ingatlah bahawa: 
Negaraku ini Berdaulat Terbilang,
Tanah Tumpah Darah Pejuang,
Meski Diasak Oleh Penentang,
Jangan Sampai Dirampas Orang.
Masyarakat Majmuk 
Formula Keramat,
Walau Didomba oleh Petualang,
Hiduplah Malaysia 
Damai dan Selamat,
Hak Bumiputera 
Selamanya Dijulang.
Akhirul Kalam, dengan lafaz Bismillahi Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera.
HIDUP BUMIPUTERA!
HIDUP MALAYSIA!