Menurut Pemikir Falsafah Politik Islam yang terkemuka, Al Farabi, meskipun negara memerlukan karisma dan kebolehan pemimpin yang luar biasa, peranan setiap warga diiktiraf dalam menyumbang fikiran dan usaha untuk merealisasikan tuntutan hidup bersama dalam sesebuah masyarakat.

Pandangan beliau cukup menjelaskan bahawa, dalam menjayakan proses pembangunan dan kemajuan, tidak boleh bergantung kepada kerajaan mahupun pemimpin tertentu semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama masyarakat yang faham akan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

Kesalinghubungan ini sewajarnya diberi perhatian yang sangat tinggi lebih-lebih lagi apabila kita berhadapan dengan cabaran kehidupan yang semakin kompleks. Cabaran ini bukan sahaja memperlihatkan kos hidup yang semakin meningkat, tetapi membawa isu sosial yang kritikal dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Oleh kerana itu, gagasan Muafakat Johor telah diper­kenalkan sebagai cara untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan semua pihak meski­pun mempunyai latar belakang yang berbeza. Kita percaya, nilai muafakat yang saling bersedia me­nerima kepelbagaian, adalah satu sumber kekuatan bagi mencorak dan mewarnai kejayaan Johor pada hari ini. Justeru, apabila semua pihak mengambil peranan masing-masing, segala pencapai­an akan dikongsi bersama kerana semua pihak telah memainkan peranan penting dalam menjayakan pemba­ngunan dan kemajuan negeri Johor.

Pelbagai inisiatif dan pembangunan prorakyat telah dijayakan khususnya sejak 2013. Melalui gagasan Johor Berkemajuan, Johor telah berada di landasan yang tepat ke arah menjadi sebuah negeri yang berjaya dan berkemajuan. Walau bagaimanapun, kejayaan Johor pada hari ini perlu dikekalkan dengan semangat muafakat yang lebih kukuh dan lestari. Lebih-lebih lagi, Johor bukan sekadar mahu menjadi kuasa ekonomi Selatan, tetapi negeri yang benar-benar berkemajuan khususnya dalam konteks peng­upayaan masyarakat dan pemikirannya.

Justeru, sewaktu menyampaikan Amanat Tahun 2017 awal tahun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin telah memperkenalkan konsep Team Johor bagi meningkatkan lagi tahap muafakat Bangsa Johor. Konsep ini juga bertujuan menzahirkan rasa berterima kasih kepada Bangsa Johor yang telah bersama-sama me­lakar kejayaan negeri dengan harapan, dapat dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi lagi pada masa akan datang.

Bagi 2017, Khaled menjelaskan Johor komited untuk memberi fokus kepada beberapa perkara. Antaranya menggiatkan inovasi dan memanfaatkan teknologi dan sains. Dalam hal ini, kita percaya bahawa penyelesaian hampir semua masalah lingkungan adalah pada sains dan teknologi, bukannya politik. Justeru, usaha memupuk masyarakat yang saintifik bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan. Hal ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai mereka yang gagal memanfaatkan sains dan teknologi serta memisahkan sains daripada dasar kita sekali gus menjauhkan teknologi sebagai instrumen terbaik memajukan masyarakat.

Selain itu, Johor akan terus menjayakan Johor Berkemajuan melalui lonjakan agresif pertumbuhan ekonomi Johor. Berdasarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSJ), pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Johor mesti berpendekatan demokratik dan inklusif. Justeru, hasrat ini hanya boleh dijayakan apabila Bangsa Johor menjadi ‘intrapreneurs’ yang mampu bertindak dan berfikir seperti seorang usahawan dalam sistem kerajaan dan agensinya.

Dalam ledakan Revolusi Industri Keempat, ekonomi digital akan mendominasi landskap ekonomi Johor dan Malaysia. Sehubungan itu, Johor harus bersedia mengurus, membangun, mengintegrasi dan mengukur ekonomi ini khususnya dalam mengharmonikannya dengan pelbagai sektor ekonomi tradisional yang kita bangunkan selama ini. Pada masa sama, masyarakat perlu mengambil manfaat ekonomi digital dengan menghasilkan dan memasarkan produk, perkhidmatan dan kebolehan mereka ke seluruh dunia dengan cakupan terluas dan terpantas.

Melihat kepada fokus yang ingin dijayakan ini, amat jelas memerlukan dukungan semua pihak. Pembangunan dan kemajuan yang lestari sangat bergantung kepada penyertaan semua pihak melalui pengupayaan potensi dan bakat masing-masing. Tidak ada sesiapa boleh tercicir dan dicicirkan dalam memberi sumbangan yang bermakna kepada kejayaan negeri Johor. Malah tidak ada pihak yang boleh sekadar menjadi pemerhati dan penerima nikmat semata-mata.

Oleh kerana itu, sumbangan Bangsa Johor melalui semangat Team Johor mesti digelorakan agar semua dapat bergandingan untuk membangunkan Johor. Melaluinya, rakyat dan masyarakat akan bangkit menjadi pendukung, pencipta, penggerak dan pemain dalam setiap detik pembaharuan dan nadi pembangunan Johor. Dan hanya de­ngan semangat inilah, akan dapat mengurangkan sikap bergantung sepenuhnya kepada pemerintah.

Untuk melangkah dengan lebih berkeyakinan, amalan dan budaya yang terangkum dalam Muafakat Johor perlu diunggulkan lagi dengan semangat Team Johor. Penulis percaya, jika semangat seumpama ini diraikan oleh semua pihak di seluruh Johor dan Malaysia, pasti akan menghasilkan satu kekuatan luar biasa yang menjadikan negeri dan negara kita lebih kuat dan selamat. Insya-Allah.

PENULIS ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu di Majlis Profesor Negara (MPN).