Meskipun begitu, Malaysia bukanlah antara ahli PBB yang telah memberikan ratifikasi perjanjian tersebut. Sebaliknya, Malaysia adalah salah satu daripada 27 negara yang masih tidak menandatangani perjanjian itu.

ICESCR ini tidak dinafikan ada kebaikannya. Atas dasar itu, terdapat beberapa pihak menyarankan kerajaan Malaysia untuk meratifikasi perjanjian ini. Cadangan ini dengan harapan dapat membantu meningkatkan mutu hidup masyarakat sesebuah negara memandangkan salah satu kandungan yang terdapat dalam ICESCR adalah memperkasakan hak-hak sosial pekerja.

Ini jelas menurut Perkara 6 ICESCR, seseorang itu seharusnya diberikan hak bekerja tanpa diskriminasi manakala Perkara 7 Konvensyen tersebut pula secara ringkasnya menjelaskan seorang pekerja itu diberikan hak-hak sosial seperti gaji minimum, hak bekerja dalam persekitaran yang selamat berserta hak untuk diberikan cuti minimum. Perkara 9 Konvensyen pula adalah ber­kenaan insurans pekerja manakala Perkara 10 memaktubkan tentang kepentingan cuti ibu bapa (parental leave) kepada pekerja bagi menjaga kebajikan anak-anak mereka.

Walaupun Malaysia bukanlah sebuah negara yang menandatangani ICESCR ini, beberapa langkah proaktif tetap diambil oleh kerajaan bagi melaksanakan perkara ini. Antara lain, pekerja di Malaysia diberikan hak sewajarnya yang mana hak-hak pekerja ini dijamin di bawah Akta Pekerja 1955 (Akta 265) dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177). Malah kerajaan Malaysia sebelum ini juga telah meluluskan cuti tiga bulan bersalin tanpa potongan bagi mereka yang bekerja di sektor kerajaan. Beberapa syarikat swasta lain seperti CIMB Bank Berhad juga telah mengambil langkah sama.

Ini jelas menunjukkan meskipun Malaysia bukan ahli kepada ICESCR, pihak kerajaan dan swasta telah mengambil banyak langkah proaktif bagi menjamin hak kebajikan dan sosial masyarakat Malaysia ini terjaga. Dari satu sudut yang berbeza, perlu dilihat keburukan ICESCR yang dikhuatiri akan membawa impak-impak negatif kepada ekonomi sesebuah negara.

Sebagai contoh, memandangkan sesebuah negara itu perlu memastikan hak-hak dalam ICESCR itu dijaga, dikhuatiri akan adanya banyak campur tangan kerajaan dalam urusan perniagaan swasta. Ini dikhuatiri dalam jangka masa panjang akan menyebabkan rasa tidak puas hati pelabur-pelabur di sesebuah negara dan kurangnya pelabur yang berminat untuk melabur di negara tersebut.

Selain itu, dikhuatiri ICESCR ini akan membawa kepada kritikan dan tekanan negara luar kepada sesebuah negara dalam melaksanakannya. Ini kerana tidak semua negara mempunyai keadaan sosial yang sama. Sebagai contoh, Malaysia sebagai negara majmuk telah lama menghormati `kontrak sosial’, semangat persefahaman timbal balas ini dirasai melalui peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan secara tersirat. Namun, tidak semua negara memahami konsep ini dan dikhuatiri hanya kerana mahu melaksanakan tanggungjawab dalam ICESCR, prinsip-prinsip Malaysia seperti ini akan diketepikan.

Natijahnya, ICESCR ini seperti perjanjian lain, ada kesan positif dan negatifnya. Sekalipun Malaysia tidak menandatangani ICESCR, dapat dilihat kerajaan tetap menjalankan tanggungjawab menjaga hak-hak kebajikan dan sosial masyarakat. Malah, dengan tidak menjadi ahli ICESCR, amanah itu tetap dijunjung dengan baik tanpa campur tangan atau kritikan negara lain. Justeru, persoalan yang perlu dilemparkan adalah masih perlukah Malaysia menjadi warga ICESCR ? Tepuk dada, tanya minda.

PENULIS ialah pengamal undang-undang.