Dengan kata lain, apabila berlaku pertembungan antara hak golongan homoseksual dengan kebebasan beragama, maka kebebasan beragama yang dimiliki seseorang atau sesebuah masyarakat perlu dihadkan. Hal ini semata-mata, menurut Muntarbhorn disebabkan kebebasan beragama tidak mutlak sifatnya dan harus “tunduk” pada hak-hak homoseksual.

Berbicara tentang sifat mutlak, hakikatnya tiada suatu apa pun yang demikian keadaannya kecuali Allah SWT. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan misalnya kekuasaan Allah SWT yang mutlak. Antaranya termasuklah: “Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah 2 : 20).

Sebaliknya bagi manusia, mereka memiliki keka­ngan, sekatan, dan batasan tertentu termasuk dalam soal hak atau kebebasan. Secara fitrahnya, manusia diciptakan ­Allah dengan kecenderungan untuk menurut ajaran tauhid (Surah al-Rum, ayat 30). Hal ini disebabkan ajaran tauhid sesuai dengan akal manusia bagi membimbing mereka kepada pemikiran dan perlakuan yang benar.

Fitrah itulah juga yang menjadi faktor yang mengekang mereka daripada membuat pilihan atau melakukan tindakan yang bertentangan dengan perintah Allah SWT. Setiap perintah dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT semata-mata bertujuan memelihara mas­lahah manusia dan mengelakkan daripada ditimpa kemudaratan.

Justeru, al-Quran menegaskan agar semua batasan (hudud) atau peraturan yang ditetapkan Allah SWT tidak sama sekali dilanggar, “Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan kezaliman terhadap dirinya.” (Surah al-Talaq 65 : 1) Demikianlah kita dapat melihat bagaimana agama memainkan peranan besar dalam kehidupan seorang Muslim. Agama adalah cerminan bagi ketundukan terhadap kekuasaan Allah yang mutlak. Selain itu, agama yang berasaskan tanzilan wahyu yang benar itu berperanan membim­bing insan untuk mengetahui hakikat dirinya, matlamat kehidupan, dan nasib akhirnya.

Sebaliknya bagi masyarakat Barat, Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mutlak, hidayah, dan petunjuk agama dinafikan. Krisis penolakan agama (antaranya dengan perisytiharan God is Dead) dan institusinya seperti gereja oleh golongan tertentu seperti ahli falsafah, saintis, ahli teologi, sasterawan dapat dilihat berlaku antara abad ke-17 hingga 19. Justeru, masyarakat Barat tidak dibimbing untuk mengenalkan mereka kepada batasan dan sekatan.

Apa yang tinggal bagi mereka hanyalah hawa nafsu. Justeru, timbullah desakan pemikir serta pendukung fahaman liberalisme agar manusia diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang diingini.

Selain itu, berasaskan fahaman sekular pula, nilai-nilai tradisi masyarakat Barat termasuk prinsip moral, menjadi relatif, tidak kekal atau pasti malah berubah-ubah. Begitu juga seterusnya dengan fahaman humanisme sekular yang menolak supernaturalisme dan menekankan ma­ruah individu. Lantas, fahaman ini menegaskan kebebasan individu semaksimum mungkin dan memberikan hak serta peranan kepada manusia untuk memberikan makna selain membentuk sendiri kehidupan mereka tanpa rujukan kepada mana-mana sumber. Apatah lagi agama!

Maka, tidak mengejutkan jika kita mendengar kewujudan hak untuk membunuh diri (Suicide Tourism:Travelling for the Right to Die) disebabkan ketidakmampuan menderitai sesuatu penyakit, perkahwinan sesama mahram berasaskan kerelaan dan cinta antara sesama pasangan terbabit, dan perkahwinan sesama jenis.

Jelas sekali penegasan Muntarbhorn bahawa kebebasan beragama tidak bersifat mutlak dan perlu memberikan keutamaan kepada hak-hak homoseksual bersandarkan fahaman liberalisme serta humanisme tajaan Barat. Malah kelihatannya, hak-hak homoseksual begitu diutamakan sehingga dituntut agar hak-hak lain, termasuk beragama dikorbankan. Turut mengecewakan kerana Muntarbhorn yang berasal dari Thailand mengetepikan begitu sahaja pendirian negara-negara anggota untuk tidak memasukkan hak-hak LGBT dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada 17 dan 18 November 2012.

Sebagaimana diungkap oleh Pengarah Pembangunan Masyarakat, Sekretariat ASEAN, Danny Lee: “Pengisytiharan itu adalah dengan sendirinya merupakan mercu tanda. Bukanlah mudah untuk bersetuju tentang sesuatu perkara dengan mengambil kira 10 buah negara yang memiliki perlembagaan yang berbeza. Di negara-negara ASEAN, kebebasan sepenuhnya tidak mungkin dapat dinikmati kerana terdapat begitu banyak agama dan perbezaan etnik.”

Kemunafikan dan dwistandard pihak Barat begitu jelas. Mereka berbicara dan menuntut agar kebebasan manusia sentiasa dipertahankan. Namun pada sama, mereka tidak memberikan kebebasan kepada pihak lain untuk menjalani kehidupan berasaskan nilai agama, adat resam, peraturan, dan pilihan sendiri.

Hal inilah yang diberikan peringatan oleh al-Quran bahawa golongan Yahudi dan Nasrani hanya akan reda, bersetuju, dan suka sekiranya umat Islam menurut agama (millah) mereka yang telah terpesong itu (Surah al-Baqarah 2 : 120).

Dengan peringatan yang diberikan ini, umat Islam tidak harus sama sekali menerima dan mengamalkan fahaman, pemikiran, dan gaya hidup pihak Barat secara membuta-tuli. Umat Islam juga perlu sedar agama Islam tidak menentang kebebasan. Namun, kebebasan yang dimiliki manusia ada batasannya sebagaimana ditetapkan Allah SWT melalui syariat-Nya. Hanya dengan mematuhi syariat inilah kebahagiaan sejati yang begitu didambakan manusia dapat dikecapi, bukan sahaja di dunia ini bahkan juga kehidupan sesudahnya yang kekal abadi.

PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).