Tidak semua penjawat awam dalam negara ini langsung tidak mengamalkan budaya integriti seperti yang ditetapkan. Kebanyakan penjawat awam masih mendukung dan mengamalkan prinsip integriti dalam ­melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Apa yang dimaksudkan dengan integriti? Integriti secara umumnya adalah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan pada individu dan sesebuah organisasi. Isu integriti berkait rapat de­ngan etika dan nilai-nilai murni dalam diri seseorang dan sesebuah organisasi.

Integriti penjawat awam pula merujuk kepada apabila seseorang menjawat apa-apa sahaja jawatan yang diamanahkan dalam perkhidmatan kerajaan, penjawat awam terbabit perlu bertindak secara ju­jur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada segala peraturan ditetapkan

Amanah atau integriti adalah salah satu sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW. Ajaran untuk bersifat amanah ini sejalan dengan perintah Allah di surat An Nisa ayat 58 yang ertinya: “Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang Memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat”.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga pernah ber­sabda tentang amanah, yang diriwayatkan oleh Ahmad: “Tidak ada iman yang sempurna bagi orang yang tidak memiliki sifat amanah, dan tidak ada agama yang sempurna bagi orang yang tidak menepati janji”.

Kerajaan di bawah kepimpinan Pakatan Harapan mengiktiraf bahawa sektor perkhidmatan awam negara pernah dianggap sebagai sektor perkhidmatan awam terbaik dalam kalangan negara membangun dan di rantau ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan meletakkan sektor perkhidmatan awam kembali ke tempat sewajarnya dengan memastikan pegawai kerajaan tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Aspek kepercayaan dan penghormatan yang lebih tinggi akan diberikan kepada para pegawai kerajaan yang pastinya lebih arif dan mahir mengenai selok belok governs dan integriti pengurusan pentadbiran kerajaan. Amalan budaya kreatif dan kebolehan berfikir di luar kotak akan digalakkan, agar semua warga perkhid­matan awam boleh mempertajamkan dan mengaplikasikan kebolehan mereka.

Perjawatan awam harus menyokong sepenuhnya kepada kepimpinan barisan Kabinet dalam Pakatan Harapan dalam usaha bersama-sama untuk membersihkan Malaysia dari najis rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan yang mana menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International, menjelang tahun 2030.

Inisiatif terbaharu kerajaan dalam menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) amat disambut baik dalam usaha mengintegrasikan beberapa agensi yang fungsi dan peranan seakan-akan sama. Penubuhan GIACC ini tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidang dan tanggungjawab dengan agensi yang sedia ada, sebaliknya penstrukturan semula akan dilakukan agar pelaksanaan akan berlaku lebih efektif atau dibubarkan mengikut kesesuaian dengan mengambil kira penubuhan GIACC. Menerusi GIACC juga satu kerangka Pelan Anti-Rasuah Nasional atau National Anti-Corruption Plan (NACP) bakal digubal.

Di antara matlamat Penubuhan GIACC, diyakini akan bertindak sebagai satu pendekatan yang lebih komprehensif dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi. Di samping menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

Bukan itu sahaja, ia juga bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai dasar bagi memastikan urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Dalam konteks kepimpinan yang berintegriti hari ini, kita boleh mengambil contoh kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya yang berjaya menakluk Kota Konstantinopel. Sebenarnya, antara faktor besar yang menyumbang kejayaan tersebut adalah kesepaduan nilai integriti kepimpinan dan nilai integriti sepasukan yang cukup kental.

Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad iaitu: Mafhumnya: “Berkata Abdullah bin Bisyr al-Khas’amiy daripada bapanya yang telah mendengar Nabi SAW bersabda: Konstantinopel (kini Istanbul) akan dibuka (jatuh ke tangan tentera Islam), maka sebaik-baik raja adalah rajanya, dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu”.

PENULIS ialah Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Koordinasi dan Pemantauan, Pusat Koordinasi dan Pemantauan, Institut Integriti Malaysia (Integriti).