Pakar ekonomi dari Norway, mendiang Tan Sri Just Faaland adalah tokoh penting di sebalik idea penubuhan dasar tersebut.
Dr . Rais Saniman pula antara individu yang turut bersama sewaktu pelaksanaan dasar itu dijalankan. Sebagai kenalan rapat mendiang, tokoh pembangunan ekonomi negara ini sudi berkongsi pengalamannya menyumbang idea serta tenaga dalam dasar itu. Beliau juga sempat bercerita tentang sebuah buku tulisannya bertajuk DEB Dan TN50 yang akan diterbitkan dengan kerjasama Kumpulan Utusan tidak lama lagi.
Wartawan ABD . AZIZ ITAR dan SAFINA RAMLI bersama jurufoto HALIM KHALID menemui Dr. Rais di kediaman beliau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, barubaru ini. Ikuti temu bual tersebut.

 

MINGGUAN: Boleh Dr. ceritakan mengenai latar belakang dan pengalaman Dr. dalam bidang ekonomi ?

DR. RAIS: Saya adalah Perunding Kanan di Chr. Michelsen Institute (CMI) yang berpangkalan di Bergen, Norway. Dari tahun 1970 lagi saya sudah ada di sana. Saya juga di sana sebagai penyelidik, tetapi sekarang telah bersara dari CMI sejak Jun tahun ini. Namun, saya masih mempunyai kaitan dengan CMI. Institut ini diasaskan oleh Tan Sri Just Faaland.

Ia selaras dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mengenai hak-hak asasi manusia. CMI juga merupakan organisasi yang tidak berasaskan keuntungan di mana dananya separuh datang daripada kerajaan Norway, manakala bakinya melalui dana sendiri.

Dr. antara orang yang mengenali secara dekat mendiang Tan Sri Faaland, boleh Dr. kongsi sumbangan Tan Sri Faaland kepada dunia terutamanya sektor ekonomi di Malaysia?

DR. RAIS: Tan Sri Faaland menjalankan banyak tugas sebagai penasihat ekonomi di pelbagai negara antaranya Sudan. Antara sumbangan beliau yang utama ialah di Malaysia.

Beliau datang ke negara ini pada tahun 1967 sebagai Penasihat Ekonomi kepada Allahyarham Tun Abdul Razak dan beliau diletakkan di bawah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri. Pada waktu itu saya bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM). Malaysia ketika itu dalam perancangan untuk membentuk Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2).

Tetapi isi kandungan RMK-2 itu kita tidak tahu apa. Kemudian berlaku pula rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969 dan selepas rusuhan itu berlaku ada debat mengenai kandungan pelan yang akan dibuat mengikut dasar RMK-1 atau dasar baru. Ada dua pandangan iaitu yang pertama kita teruskan polisi seperti RMK-1. Maknanya, kita tekankan kepada perkembangan ekonomi maksimum dan biar pasaran yang menentukannya. Tetapi Tan Sri Faaland kata beliau tidak setuju.

Rusuhan kaum itu adalah petanda bahawa struktur ekonomi Malaysia ketika itu adalah tidak memihak kepada majoriti kaum ketika itu yakni orang Melayu dan juga bumiputera yang ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Tan Sri Faaland mengetuai suatu pandangan baru yakni yang disebut sebagai Dasar Ekonomi Baru.

Apa kelebihan DEB kepada Malaysia pada ketika itu?

DR. RAIS: Ini adalah polisi yang apabila kita lihat balik kandungannya adalah 50 tahun ke depan berbanding di negara-negara lain. Ini adalah polisi yang inklusif di mana ada dua teras utama dalam DEB. Pertama adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum atau agama, semua rakyat di Malaysia. Ia adalah polisi inklusif yang pertama yang dibuat pada 1969 di mana pembasmian kemiskinan mendahului mana-mana negara ketika itu.

Keduanya, DEB menyusun semula struktur ekonomi Malaysia supaya bumiputera dapat memainkan peranan dalam ekonomi moden dan dasar ini diharapkan berkesan selepas beberapa tahun untuk membasmi kemiskinan dalam semua struktur masyarakat. Dasar seperti DEB ini tidak pernah digubal di mana-mana negara dan Malaysia 50 tahun awal ke depan.

Boleh Dr. ceritakan tentang buku yang Dr. bakal lancarkan di Norway pada minggu depan, adakah ia juga melibatkan dasar-dasar seperti yang terdapat dalam DEB?

DR. RAIS: Buku ini tajuknya In Memory of Just Faaland, bagaimana DEB digubal, apa intisari DEB, pengajaran daripada pengalaman, kebaikan dan juga kekurangan dalam DEB. DEB ini digubal berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan berasaskan kepada Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.

Buku itu juga menceritakan mengenai sumbangan beliau kepada pembangunan ekonomi dunia. Sumbangan beliau bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di banyak negara di dunia. Beliau adalah Pengerusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bahagian Perancangan Pembangunan Ekonomi. Beliau adalah penasihat ekonomi di Sudan, Bangladesh, Pakistan dan beliau juga adalah salah seorang pakar dalam pembangunan ekonomi dunia.

Kita bertuah kerana beliau datang ke Malaysia tepat pada waktunya di saat ekonomi kita yang kritikal. Beliau datang pada tahun 1967, sebelum tragedi 13 Mei, 1969 terjadi. Saya rasa orang Melayu orang yang baik kerana kuatnya pegangan agama mereka. Orang baik mesti Allah akan tolong.

Masa itu saat yang memang kritikal untuk polisi ekonomi kita. Kita tengah bersiap sedia untuk melaksanakan RMK-2. Polisi ekonomi ketika itu boleh menjadi seperti cara Amerika Syarikat di mana pertumbuhan ekonomi bermakna persaingan untuk semua.

Kalau ia berlaku di negara ini Melayu dan bumiputera selama-lamanya tidak akan mempunyai peluang dan dibiarkan ketinggalan selama-lamanya. Namun, Tan Sri Faaland melalui DEB telah membantu bumiputera untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan ekonomi negara.

Pada pendapat Dr. mengapa generasi muda Malaysia pada hari ini termasuk yang berada di Norway perlu tahu tentang DEB?

DR. RAIS: Pada pandangan saya, polisi ini digubal sejak lama dahulu tetapi ia masih relevan sampailah sekarang. Maknanya, polisi ini tidak lapuk ditelan zaman. Generasi hari ini bagaimanapun tidak mengetahui dengan menyeluruh polisi DEB, melainkan jika mereka membaca buku atau naskhah asal fakta-fakta mengenai DEB. Generasi muda bukan sahaja di Norway, malah di Malaysia ramai yang tidak tahu apa unsur-unsur yang ada dalam DEB.

Ia antaranya mengenai perlunya ada pertumbuhan ekonomi secara maksimum enam hingga tujuh peratus setahun pada kadar sebenar tanpa membabitkan inflasi. Elemen kedua secara serentak untuk mengurangkan ketidaksamaan daripada segi kekayaan dan peluang pekerjaan kepada semua kaum. Struktur ekonomi Malaysia kena disusun semula agar majoriti golongan bumiputera boleh mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negara selain pertumbuhan dan pengagihannya juga perlu seimbang antara semua kaum.

Kemudian daripada segi pekerjaan pula, semua orang kena ada kerja. Jadi, taraf hidup akan meningkat dan seterusnya bidang pendidikan juga dapat dimantapkan di mana semua rakyat terutama bumiputera mampu ke sekolah. Semua elemen ini iaitu pertumbuhan ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan pemilikan harta adalah antara elemen yang perlu ada dalam pembinaan perpaduan negara yang juga merupakan matlamat utama dalam DEB.

Apakah cabaran utama untuk menjayakan pelaksanaan DEB di negara ini?

DR. RAIS: DEB kena pecahkan sistem penjajahan British pada waktu itu yang berlawanan dengan kehendak bumiputera. Dari zaman penjajahan British sehingga negara merdeka, sistem yang diguna pakai adalah bertentangan dengan kepentingan bumiputera. Jadi disebabkan itulah bumiputera dibiarkan hidup di kawasan pedalaman, di kawasan miskin dan produktivitinya rendah.

Bumiputera tidak ada peluang untuk sama-sama terlibat dalam ekonomi moden. Just Faaland kata kita kena pecahkan sistem tersebut. Banyak orang tidak bersetuju dengan pandangan beliau pada masa itu tetapi pemikirannya ternyata ke depan.

Sekarang baru kita sedar polisi itu yang bersifat inklusif. Kalau kita kaitkan DEB dengan dasar-dasar ekonomi yang diamalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, kita boleh lihat bapa beliau yang telah memulakan dasar ekonomi yang inklusif dan kini beliau pula melengkapkan dasar tersebut. Kita dapat lihat pendekatan itu melalui Bajet 2018 yang inklusif.

Sekarang agenda bumiputera strukturnya sudah berubah kerana kita kena beri tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah, B40 dan M40. Dulu bumiputera 60 peratus hingga 70 peratus berada di bawah paras kemiskinan tetapi sekarang paras itu meningkat ke golongan B40 dan M40.

Jadi, adalah relevan DEB ini di bawah dasar ekonomi yang digunakan oleh Datuk Seri Najib yang dilihat inklusif. Justeru, DEB yang dimulakan oleh Tan Sri Faaland sebenarnya telah melangkaui zaman daripada segi ekonomi dan juga teori.

Di Norway adakah mereka mengkaji DEB yang diamalkan di Malaysia ?

DR. RAIS: Di CMI antara tugas utamanya adalah memastikan hak asasi manusia dipraktikkan berdasarkan amalan PBB yang mana ia juga banyak dilaksanakan di negara-negara membangun seperti Malaysia dan negara-negara di Afrika.

Jadi DEB adalah polisi baharu ekonomi yang lengkap dan mempunyai elemen-elemen penting seperti agihan pekerjaan, pendidikan dan sosial. Semua elemen ini kena ada kalau tidak mana-mana polisi dalam negara ini tidak akan kekal lama.

Mengenai buku yang akan dilancarkan di Norway itu, boleh Dr. ceritakan berapa lama masa yang diambil untuk menyiapkannya ?

DR. RAIS: Persiapannya telah dibuat sepanjang tahun ini di mana penulisnya terdiri daripada lima orang golongan profesional termasuk saya yang pernah bekerja secara rapat dengan Tan Sri Just Faaland. Saya bekerja dengan beliau di Malaysia dan yang lain-lainnya bertugas di tempat-tempat lain seperti di Sudan dan PBB di New York. Jadi, kami akan bergabung. Cuma saya seorang sahaja orang Melayu, manakala yang lainnya orang Norway.

Pada pandangan saya, generasi sekarang perlu bertanya apa yang mereka mahu pada masa depan iaitu pada tahun 2050 nanti? Masyarakat yang bagaimana akan dibentuk? Kalau boleh kita mahukan sebuah masyarakat pelbagai kaum yang hidup bersatu padu. Untuk sebuah masyarakat yang maju dan makmur pula, sesebuah masyarakat itu mesti berkembang ekonominya dan tidak terhad kepada satu-satu kaum sahaja.

Perlu ada agihan kekayaan yang meluas meliputi semua kaum supaya setiap orang ada kerja dan barulah kemakmuran ekonomi itu dapat dikecapi. Ekonomi yang berkembang secara maksimum perlu ada bagi mencapai matlamat itu. Kita perlu perkembangan ekonomi sekurang-kurangnya enam peratus setahun.

Daripada situ perlu dibangunkan juga sistem pendidikan yang tinggi selain tahap kesihatan rakyat yang baik supaya ia akan lebih cepat dalam memajukan sesebuah negara itu.

Bagaimana pula kalau ada yang masih mempersoalkan tentang orang Melayu dikatakan masih memerlukan ‘tongkat’ supaya mereka boleh keluar daripada garis kemiskinan?

DR. RAIS: Elemen utama dalam polisi dasar kedua-duanya berdasarkan ‘frame work’ yang sama, biarpun ‘intisari’ di dalamnya berbeza. ‘Tongkat’ itu tidak salah, itu bukan sahaja polisi di Malaysia tetapi PBB juga memang membolehkan perkara itu berdasarkan keperluan dan kesesuaian di sesebuah negara.

Ia bagi mengimbangi ketidakseimbangan dalam bidang ekonomi membabitkan pemilikan harta, pekerjaan dan jumlah pendapatan. Dalam tiga elemen itu memang terbukti orang Melayu dan bumiputera berada di tangga yang paling corot. Contohnya, dalam buku tulisan penganalisis ekonomi tempatan, Muhammad Abdul Khalid bertajuk The Colour of Inequality, ia menunjukkan hakikat taraf hidup dan ekonomi yang berlaku dalam masyarakat di Malaysia.

Buku itu memaparkan banyak fakta yang menunjukkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini. Tetapi melalui pendekatan Perdana Menteri melalui TN50 dan juga Bajet 2018 baru-baru ini, ia jelas menunjukan dasar inklusif kerajaan dalam usaha membantu orang Melayu dan bumiputera.