Tidak habis dengan rasa kecamuk dek rentetan peristiwa yang menaruhkan nyawa muda pejuang negara Muhammad Adib Mohd. Kassim, negara menerima pula berita keputusan kerajaan untuk mengadakan inkues bagi mengenal pasti punca kematiannya.

Ramai yang terpinga-pinga mengapa perlu menjalankan in­kues di bawah Bahagian VIII Kanun Tatacara Jenayah. Apakah inkues benar satu keperluan lebih-lebih lagi memandangkan mereka yang menjadi suspek dalam kes ini sudah dibebaskan dengan jaminan?

Sudahlah ramai yang marah dengan punca rusuhan yang meragut nyawa anak muda ini, dan dalam pada masyarakat masih mendesak keadilan disegerakan untuk Allahyarham Muhammad Adib, timbul pula video seorang hadirin lelaki memaki hamun Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sebuah dialog yang diaturkan di London.

Mungkin benar, caci, maki dan kritikan pedih adalah lumrah orang berpolitik dan berdakwah. Tetapi apakah wajar kritikan memanggil al-Quran sebagai alat kawalan yang menjumudkan orang Malaysia dibiarkan lepas tanpa sebarang tindakan?

Pejuang hak asasi akan terus menuntut agar lebih banyak ruang untuk bersuara dan kebebasan berlunak-lunak untuk me­nyatakan pandangan.

Ada benar hak untuk mengkritik adalah batu loncatan untuk penambahbaikan sesebuah masyarakat, namun bukankah hak ini juga tidak wajar disalah guna tanpa sebarang peraturan untuk mengawal selia?

Jika hamburan kata-kata lelaki yang menyerang Presiden Pas itu hanya berkisar tentang politik kepartian dan polisi Pas semata-mata, mungkin benar apa yang dikritikkan hanya dengan semangat untuk membina.

Namun apabila apa yang dikatakan menyentuh pula bagaimana Islam dilihat sebagai membebankan dan mana-mana pengikut yang menegakkan syariat Islam sebagai duduk di bawah tempurung, adakah bacul sudah orang Islam di Malaysia sehingga kita masih boleh diperkotak-katikkan tanpa sekelumit bantahan?

Lelaki yang tidak dikenal pasti itu melihat agama orang Melayu sebagai sekatan kepada perpaduan nasional kerana Islam terlalu meletakkan syariat sebagai panduan untuk mengadakan dasar negara. Persoalan yang timbul adalah sejauh mana kenya­taan ini dilihat benar.

Tuduhan yang mengatakan Islam adalah agama yang menyekat kemajuan negara merupakan hamburan biadab yang menyemarakkan amarah yang semakin jelas di dalam negara ini.

Adakah benar kaum Melayu terlalu bongkak, sombong dek kejumudan kita kerana agama yang dianuti melemahkan akal bangsa ini sehinggakan perpaduan gagal dek keangkuhan Melayu?

Walhal sepanjang Malaysia terbentuk, Islam telah pun diangkat sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

Keberadaan dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara adalah dengan menghormati kedudukan Islam yang dimuliakan dalam rangka dan dasar negara. Begitu juga dengan setiap satu kemajuan yang berjaya dijangkau rakyat Malaysia adalah dengan memahami bahawa Islam dipaksikan kemas dalam acu­an kebangsaan.

Jika benar orang Melayu bongkak dan angkuh dengan kejumudan kita, adakah boleh Malaysia terus maju dengan membenarkan kuasa ekonomi negara ini dikawal penuh oleh bangsa luar?

Mainan religiopolitik di Malaysia semakin bercambah dan bahang api isu ini semakin meminarkan pandangan majoriti kaum Melayu yang melihat bagaimana ruang untuk terus mempertahankan agama, budaya dan sejarah bangsa semakin dikecilkan oleh tuntutan-tuntutan bongkak orang luar yang enggan melihat sejarah sebagai garis untuk mengikat perpaduan.

Sama ada masyarakat kembali belajar untuk mengenal erti hormat atau perpaduan nasional yang bobrok akan langsung terkoyak dan menjinjit mati.

Semuanya kerana orang Melayu yang dikatakan ‘bongkak’ ini sudah lelah memberikan terlalu besar ruang untuk kaum lain memperlekehkan agama, budaya dan sejarah bangsa ‘angkuh’ ini.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi WAFIQ.