Kejatuhan kuasa politik orang Melayu khasnya kerajaan Melaka pada waktu itu tidak berlaku secara total akibat kekuatan senjata pasukan Portugis semata-mata. Kejatuh­an kerajaan Melaka berlaku akibat merosotnya Budaya Tinggi yang diasaskan oleh Tun Perak, Bendahara Melaka sejak peme­rintahan Sultan Muzaffar Shah. Sebelum itu, kerajaan Melaka telah pun mempunyai sistem pemerintahan yang teratur bersesuaian dengan zaman tersebut. Sistem yang unggul itu adalah hasil Budaya Tinggi berpaksi kepada ajaran Islam yang dianuti oleh pemerintah dan penduduk Me­laka pada masa itu.

Para sarjana seperti Oswarld Spengler, Arnold Toynbee dan Bierens De Hann menjelaskan bahawa ciri-ciri Budaya Tinggi ialah apabila wujudnya nilai-nilai non-physic dan fizikal hasil ketinggian teknologi, budi dan daya manusia dalam suatu peradaban. Keduanya, Budaya Tinggi akan terhasil apabila masyarakat tidak berfikiran jumud dan terkongkong. Aspek ketiga ialah bahasa dan komunikasi antara masyarakat berkembang dalam suasana yang harmoni. Aspek keempat ialah adanya sistem pemerintahan yang tertib kesan daripada undang-undang dan resam hidup rakyat. Kelima, berkembangnya pelbagai bidang ilmu pengetahuan baru dan wujud­nya kemajuan teknologi dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat. Dan keenam ialah terbentuknya masyarakat yang kompleks dalam pelbagai jenis pekerjaan, keahlian dan strata sosial. Ciri-ciri budaya inilah yang wujud pada zaman kege­milangan kerajaan Melayu Melaka dahulu sehingga menjadikan kerajaan tersebut pusat kebudayaan yang agung di Nusantara.

Berbalik kita kepada faktor kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis. Antara faktor utama ialah akibat sistem pemerintahan yang lemah ber­punca daripada kegagalan melihat perubahan masyarakat yang berkembang pesat. Peme­rintah pada masa tersebut tidak membuat perubahan terhadap cara urus tadbir kerajaan seiring dengan perkembangan global pada masa itu. Ini bermakna pemerintah pada masa itu jumud, tidak cekap dan ditambah dengan wujudnya perpecahan dalam barisan kepimpinan. Konsep wala’ terhadap pe­mimpin tidak berlaku secara jelas. Apatah lagi pada masa itu wujudnya perpecahan antara golongan Tamil-Islam dengan golongan Melayu-Islam yang menjadi pemimpin dalam kerajaan.

Kemerosotan ekonomi kerajaan Melayu Melaka akibat merosotnya perdagangan yang berpunca daripada kelemahan pentadbiran yang korup telah menjatuhkan kewibawaan ma­syarakat perdagangan pada masa itu. Perkara ini menyebabkan para pedagang telah beralih ke Aceh sebagai sebuah pusat perdagangan yang baharu. Akibatnya, kemakmuran masyarakat kian merosot dan mengundang kepada anasir pembelotan kepada kuasa-kuasa luar seperti Portugis yang ingin­ menguasai Melaka.

Akibat merosotnya Budaya Tinggi ini, orang Melayu telah kehilangan sesuatu yang amat bernilai, iaitu kuasa, jati diri dan juga kemerdekaan. Empayar Melayu telah berpecah sehingga tidak mampu lagi untuk bersatu. Kerajaan-kerajaan kecil yang wujud selepas kejatuhan Empayar Melaka tidak mampu untuk bersatu dan kuat bagi mengalahkan kuasa Portugis. Akibat hilangnya kuasa politik telah menyebabkan jati diri orang Melayu menjadi lemah dan perlu disokong oleh penga­ruh luar seperti Bugis dan Belanda pada abad-17, serta Inggeris pada tahun 1786 (Francis Light menduduki Pulau Pinang).

Orang Melayu bukanlah bangsa yang lemah dan jumud. Perjuangan menuntut kebebas­an dan kemerdekaan bermula apabila orang Melayu sedar kepentingan ilmu. Pada akhir abad ke-19 ramai pelajar Mela­yu melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar telah terpengaruh dengan Muhammad Abduh. Mereka telah mengasas budaya ilmu kepada orang Melayu dengan menerbitkan majalah Al-Imam yang mengajak masyarakat keluar daripada kemunduran. Pembudayaan ilmu oleh golongan berpendidikan agama ini telah mewujudkan perkembangan ilmu yang sihat sehingga menghasilkan perdebatan antara Kaum Tua dan Kaum Muda.

Perdebatan yang membentuk Budaya Tinggi ini melahirkan satu keputusan bahawa orang Melayu tidak mahu dijajah dan hidup dalam kemunduran selamanya. Kesedaran orang Melayu dalam pendidikan te­rus berkembang dengan munculnya golongan yang berpendidikan Melayu hasil daripada pendidikan sekular Inggeris. Golongan ini kuat memperjuangkan hak-hak orang Me­layu dan menentang penjajahan Inggeris secara keras. Golongan ketiga ialah kumpulan yang berpendidikan Inggeris. Golong­an ini menyedari bahawa dasar-dasar pentadbiran Ingge­ris tidak membawa kemajuan kepada orang Melayu. Mereka menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam bidang pentadbiran dan politik.

Penguasaan orang Melayu dalam membudayakan Budaya Tinggi dalam aspek pendidik­an telah membawa kesedaran politik yang hebat sehingga berjaya membawa negara mencapai kemerdekaan. Kewibawaan Bu­daya Tinggi orang Melayu yang sanggup berkongsi kuasa de­ngan bukan Melayu melalui gagasan Barisan Nasional telah membawa kemajuan dan kemakmuran kepada semua selama 60 tahun negara mencapai kemerdekaan. Di bawah ke­pimpinan Melayu, semua pihak mendapat hak yang sama tanpa prejudis. Namun, perkembang­an mutakhir sosiopolitik semasa telah menghasilkan cabaran kepada orang Melayu.

Perbezaan orientasi politik dalam kalangan orang Melayu dikhuatiri boleh melemahkan kelangsungan politik Melayu dan Islam. Budaya Tinggi dalam membina penyatuan ummah amatlah dituntut. Meleraikan perbezaan dalam aspek sudut pandang bagi memperkasa kalimat tauhid di bumi Malaysia yang merdeka menjadi satu kewajipan utama bagi orang Me­layu. Pengorbanan membina Budaya Tinggi dengan bersatu dan membentuk kekuatan ummah berdasarkan konsep wala’ kepada kepimpinan Melayu-Islam akan menjamin kekebal­an jati diri Melayu menghadapi segala cabaran sambil memberi keharmonian kepada semua tanpa prejudis.

DR. MARZUDI MD. YUNUS ialah pereka komunikasi visual di Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka, Jabatan Penerangan.